Rahsia kebahagiaan Badrul Amin

Nama Dr. Badrul Amin Bahron memang tidak asing lagi. Petua-petua mendidik anak ke arah melahirkan keluarga bahagia sering menjadi sebutan, malah ada yang mengambil iktibar melaluinya.

Satu keistimewaan Badrul Amin dalam setiap ceramahnya, beliau tidak pernah lupa menyelitkan peristiwa hidupnya sama ada sewaktu kecil mahupun yang dilaluinya sekarang. Isteri dan anak-anak sentiasa di tepi bibirnya.

Kenangan silam dihukum ibu kerana mengambil timun dari kebun Loh Pak yang berbangsa Cina, sering dijadikan contoh dalam mendidik anak-anak.

‘Bayangkan saya menangis di tepi pokok timun sehingga petang kerana mak menyuruh saya melekatkan semula timun tersebut pada pokoknya.

‘Itulah hukuman yang saya terima setelah mak mengetahui saya ‘mencuri’ timun.Tetapi, kesannya sehingga ke saat ini, ia masih segar dalam ingatan, dan apabila terkenangkan kisah timun ini, saya amat berterima kasih pada mak,” ujarnya.

Mengimbas zaman kanak-kanaknya, Badrul menceritakan, waktu kecil beliau dan adik-beradik seramai tujuh orang dilatih susah.

‘Setiap minggu mak membawa kami ke kebun, kami diajar berkebun. Saya pernah memikul air sejauh satu batu dari sungai untuk sampai ke rumah. Sampai rumah, air tinggal separuh baldi.

‘Saya turut menjual kacang goreng dan keropok di sekolah. Kadang-kadang habis, jika hari hujan jualan tidak habis.’

‘Sebenarnya bukan keuntungan yang mak harapkan tetapi yang lebih utama adalah untuk melatih kami supaya berusaha.

‘Malah ketika saya hendak kahwin, pesanan mak: ‘Dun, jika dapat anak, tolong latih dia hidup susah, jangan latih senang.’

HIDUP SUSAH

Bagaimanapun, menurut Badrul, dalam keadaan sekarang, beliau tidak tahu bagaimana hendak melatih anak cara hidup susah, yang beliau nampak jangan terlalu memberi kemewahan.

‘Bagi saya latihan yang berat pada anak-anak saya sekarang adalah menghafaz al-Quran, sebab jika dulu mungkin falsafah untuk maju adalah orang yang kuat bekerja, tetapi sekarang, yang akan maju adalah yang berilmu.

“Jika boleh anak-anak saya mewarisi ilmu dan banyak menghafaz. Sebab itu, saya paksa mereka menghafaz al-Quran.”

Pun begitu, beliau masih berharap, walaupun dalam keadaan senang, anak-anaknya tidak lupa bahawa ayah mereka dahulu daripada orang susah.

Menyentuh tentang ayahnya pula, Badrul berkata, “sebenarnya saya anak seni.Ayah guru silat, zapin dan pemain gambus. Kami adik-beradik seramai tujuh orang diajar bersilat kuntau. Saya juga boleh berjoget zapin.”

“Banyak pengajaran yang saya perolehi daripada ibu dan kini saya terapkan pula kepada anak-anak saya,” kata Badrul lagi yang banyak mengambil iktibar daripada didikan ibu dan bapanya dahulu.

MAKAN BERTALAM

Badrul seterusnya menekankan, setiap anak memerlukan belaian dan sentuhan. Ibu bapa hendaklah selalu membelai anak dengan menyentuh kepala atau tangan mereka.

“Biasakan mencium anak. Sentuhan amat meninggalkan kesan. Apabila ibu bapa sering membelai dan mencium dengan kasih sayang, dan anak juga dibiasakan dengan budaya mencium ibu bapa, ia akan melahirkan perasaan sayang, hormat dan taat.

“Saya juga mengamalkan makan bertalam. Jika pergi berkelah, kami cuma membawa talam tanpa pinggan. Begitu juga air, kami tidak bawa gelas, sebaliknya akan minum bersama-sama dalam satu botol.

“Bukankah perkongsian itu menandakan kita mengambil berat!” katanya. Kesibukan Badrul sebagai pendakwah tidak memisahkannya dengan anak-anak dan isteri. Sebaliknya setiap program yang diadakan pada hujung minggu, seboleh-bolehnya anak-anak dan isterinya akan dilibatkan bersama.

Pendek kata dari Perlis hingga ke Sabah, mereka turut serta. Prinsip hidupnya; apa sahaja yang dilakukannya, mesti dikongsi bersama isteri. Bukan kesenangan sahaja, bahkan kesusahan.

Hampir setiap minggu beliau keluar berjumpa masyarakat, masuk kampung, keluar kampung. Seboleh-bolehnya anak isteri turut terlibat dengan kerja dakwah kerana ia bukan tugas suami seorang.

“Selain itu, mereka juga terpaksa dilatih bagaimana berhadapan dengan orang ramai. Apabila keluarga memahami tugas saya, ia lebih memudahkan saya menjalankan tugas-tugas dakwah.”

TIDAK PERLU CEMBURU

Sebagai pendakwah, beliau bersyukur kerana memiliki isteri, Zumrah Husni yang memahami dan menaruh sepenuh kepercayaan kepadanya.

“Kadang-kadang anak dara, janda, isteri orang telefon tengah malam. Pernah pukul 3.30 pagi, seorang janda yang bermasalah menelefon saya di rumah, kebetulan Zumrah yang menjawab telefon. Tetapi sebab dia sudah memahami tugas saya, tidak timbul cemburu atau syak wasangka.

“Kami sudah bina kepercayaan. Dia mempercayai saya. Bagi saya kunci kebahagiaan keluarga adalah saling mempercayai. Kami saling mempercayai. Zumrah percaya sepenuhnya kepada saya, langsung tidak ada cemburu.”

Untuk mendapat kepercayaan isteri, katanya, suami mesti bersifat jujur. “Jangan menyembunyikan sesuatu daripada isteri. Antara suami isteri yang paling penting adalah berterus terang. Jika berahsia, akan membuatkan isteri tambah cemburu.”

Kebiasaannya, menurut Badrul, suami terlalu banyak berahsia dengan isteri. “Saya pernah menerima surat luahan perasaan daripada wanita. Saya serahkan surat tersebut kepada Zumrah. Dia baca. Tidak timbul marah atau cemburu, apatah lagi syak wasangka.

“Alhamdulillah, Zumrah faham dan memberi sepenuh kepercayaan dan ini memudahkan kerja saya.”

Mengimbas kembali pertemuan dengan isterinya, Badrul yang berasal dari Tawau,Sabah, memberitahu, “sebetulnya saya dan Zumrah berada dalam sekolah yang sama di Sekolah Agama Maahad Salahudin Abdul Aziz Shah, Selangor.

“Ketika berada dalam tingkatan satu, saya dihantar melanjutkan pelajaran di sekolah tersebut dan Zumrah yang sememangnya berasal dari Sabak Bernam, Selangor, waktu itu berada dalam darjah empat. Kami masih kanak-kanak, tidak timbul persoalan cinta, cuma pertemuan biasa.”

Badrul yang dihantar oleh Yayasan Sabah hanya pulang ke Sabah sekali sahaja dalam satu tahun, iaitu pada cuti penggal tiga persekolahan. Pada cuti penggal satu dan dua, pelajar diserahkan kepada keluarga angkat.

“Nak dijadikan cerita, saya diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Zumrah. Setiap tahun cuti sekolah penggal satu dan dua, saya duduk di rumah keluarganya.

“Kerana ikatan itu sudah ada, walaupun saya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang pada tahun l977, setiap musim cuti, saya tetap mengunjungi keluarga angkat di Sabak Bernam.

“Saya tidak memutuskan hubungan dengan keluarga angkat di Sabak Bernam sebab sudah sebati, sejak tingkatan satu bersama mereka,” Badrul mengenang masa remajanya.

Sehinggalah pada tahun l979, beliau melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir, hubungan ini masih berterusan. Ketika itu Badrul berusia 18 tahun, manakala Zumrah14 tahun.

“Pada saat itu, kami masih belum menjalin apa-apa hubungan, tambahan dengan usia kami yang masih mentah,” jelasnya.

KAHWIN ADIK ANGKAT

Dalam waktu empat tahun Badrul menuntut di Semenanjung Malaysia, ibu dan bapanya di Tawau pernah ke Kuala Lumpur, dan kesempatan ini mereka gunakan untuk mengunjungi keluarga angkat Badrul sebagai mengucapkan tanda terima kasih kerana menjaga anak mereka.

Kebetulan pula dua orang kakak dan tiga orang adik Badrul turut melanjutkan pelajaran di Semenanjung. Jadi, hampir setiap tahun ibu dan bapanya berkunjung ke Semenanjung.

Setiap kali berada di Semenanjung, mereka akan menziarahi keluarga angkat Badrul di Sabak Bernam.

“Ketika saya berada dalam tahun tiga di Mesir, saya menerima sepucuk surat daripada mak menyatakan bahawa adik angkat saya sudah dewasa, ketika itu usianya 17 tahun, manakala saya 21 tahun.

“Surat mak saya balas dengan mengatakan jika mak suka, buatlah apa yang patut. Mak yang sememangnya sudah lama berkenan dengan Zumrah, mula merisik.

“Sekembalinya saya dari Mesir pada tahun l984, saya bertugas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai penolong pensyarah.

Ketika itu Zumrah berusia 20 tahun, mak menyampaikan hasrat kepada keluarganya, kemudian melakukan upacara peminangan dan seterusnya kami bernikah pada awal tahun l985.”

Pada akhir tahun l985, Badrul melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Undang-Undang Perbandingan di Universiti Kent, England, dengan membawa bersama isterinya.

“Di England, kami dikurniakan anak sulung kembar lelaki, Amin Farhan dan Amin Rafiq.Balik dari England tahun l987, saya menjadi pensyarah di UIA. Kami dikurniakan tiga orang lagi cahaya mata perempuan, Ain Najwa , Ain Nuha,dan Ain Najhan” ceritanya lagi.

Pada tahun l991 sekali lagi beliau melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran dalam bidang Undang-Undang Perlembagaan di Birmingham. Isteri dan kesemua lima orang anaknya dibawa bersama.

“Alhamdulillah saya berjaya menghabiskan pengajian pada Oktober l995 dan membawa balik sijil Ph.D dan seorang lagi anak, Ain Najma” ujarnya penuh syukur.

Menurut Badrul, perkahwinannya tidak menimbulkan sebarang masalah sebab isterinya adalah pilihan orang tua, ditambah pula beliau sendiri pun memang menyintai gadis pilihan ibunya.

Tambah memudahkan lagi kerana antara kedua-dua keluarga tersebut sudah saling mengenali antara satu sama lain.

Sebab itu sehingga sekarang ikatan kekeluargaan antara keluarga Badrul dengan keluarga isterinya semakin teguh.

Source:Utusan Malaysia
Date: 08-04-1997
Author: NORITAH SULAIMAN

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s