Hak Muslim: Sedia dokumen elak permohonan cerai tertangguh

SAYA dan isteri sudah bersetuju untuk bercerai. Secara logik dan tulusnya, tiada sesi kaunseling lagi diperlukan. Malah, keputusan kami diperoleh dalam keadaan sedar menerusi perbincangan dari hati ke hati dan selepas meneliti segala fakta permasalahan. Namun, kami masih kabur dari segi prosedur proses perceraian. Di harap pihak tuan dapat membantu. Apakah bentuk tuntutan perceraian yang sesuai, adakah khuluk atau fasakh

Suami nekad,
Selangor.

—————————–

Pertama, kita perlu lihat kedudukan perceraian dulu. Walaupun perceraian adalah suatu yang amat dibenci Allah, namun sekiranya perkahwinan itu tidak lagi dapat melahirkan suasana mawaddah dan rahmah dalam kehidupan pasangan, maka perceraian jalan keluar disediakan Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “…… dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.” (Surah al- Ahzab, ayat 49)

Kedua, mengenai apakah kaedah perceraian bersesuaian. Pada pandangan saya, permohonan perceraian khuluk (tebus talak) atau fasakh tidak sesuai dimohon dalam keadaan kedua belah pihak bersetuju untuk bercerai secara baik .

Perceraian khuluk bermaksud perceraian yang berlaku dengan tebusan dibayar isteri kepada suami berdasarkan kadar dipersetujui, manakala fasakh pula adalah perceraian yang berlaku disebabkan kecacatan pada salah satu pihak atau atas sebab tertentu misalnya suami tidak membayar nafkah kepada isteri atau suami menganiaya isteri.

Ketiga, ke mana perlu diketengahkan permohonan itu? Apabila kedua belah pihak bersetuju untuk bercerai, maka prosedur sesuai diikuti adalah permohonan bercerai atas persetujuan bersama. Jika di Selangor, permohonan boleh dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Sesi kaunseling di Pejabat Agama sememangnya tidak diwajibkan untuk dihadiri pasangan yang pada dasarnya sudah mempunyai kata sepakat untuk bercerai. Apa yang perlu dilakukan, salah satu pihak sama ada suami atau isteri boleh membuat permohonan untuk bercerai di mahkamah rendah syariah berdekatan dengan alamat tempat tinggal. Borang permohonan perceraian boleh diperoleh di mana-mana mahkamah rendah syariah.

Dokumen yang perlu dibawa bersama-sama adalah:

1. Salinan kad pengenalan (tiga salinan)

2. Sijil nikah (tiga salinan)

3. Sijil kelahiran anak (tiga salinan).

Pihak pemohon juga akan dikehendaki membuat Surat Akuan yang antara lain mengatakan mengenai maklumat pernikahan dan maklumat peribadi seperti alamat surat-menyurat, tempat bernikah, wali, pekerjaan, anak hasil perkahwinan dan maklumat lain berkaitan pernikahan. Surat Akuan itu hendaklah diikrarkan di hadapan Pendaftar Mahkamah atau Pesuruhjaya Sumpah Islam.

Jika kedua belah pihak, isteri dan suami sudah mempunyai kata sepakat mengenai nafkah edah, mutaah dan nafkah anak hasil perkahwinan iaitu ia adalah masih bidang kuasa mahkamah Rendah Syariah iaitu jika persetujuan itu tidak melebihi RM100,000, maka persetujuan itu boleh dinyatakan dalam borang permohonan perceraian supaya boleh di rekodkan di mahkamah dan seterusnya mahkamah boleh mengeluarkan perintah berdasarkan persetujuan kedua belah pihak.

Walau bagaimanapun jika tiada persetujuan dicapai merujuk kepada isu di atas, maka mahkamah hanya akan memutuskan permohonan cerai yang dimohon oleh kedua-dua pihak.

Pemohon akan diberi tarikh sebutan pertama dalam masa 21 hari daripada tarikh permohonan perceraian difailkan dan pada tarikh sebutan pertama itu, jika mahkamah berpuas hati tiada peluang untuk kedua-dua pihak bersama semula dan atas persetujuan kedua belah pihak untuk bercerai, maka mahkamah boleh membenarkan suami melafazkan cerai pada tarikh berkenaan di hadapan mahkamah.

Kebenaran mahkamah itu dengan syarat isteri mesti berada dalam keadaan suci. Jika tidak satu tarikh sebutan lain akan diberikan iaitu ketika isteri berada dalam keadaan suci bagi membolehkan suami melafazkan talak di hadapan mahkamah.

Kedua belah pihak akan memperoleh surat cerai, selepas tamat tempoh edah isteri iaitu dengan membawa surat keputusan atau perintah perceraian daripada mahkamah ke pejabat agama Islam yang berdekatan dengan tempat tinggal untuk mendapatkan surat cerai.

Perlu diingat bahawa sesuatu lafaz cerai yang ingin dilafazkan mestilah dengan kebenaran mahkamah syariah dan di hadapan mahkamah. Jika berlaku lafaz cerai di luar mahkamah dan bukan dengan kebenaran mahkamah, maka ia bersalahan dengan peruntukkan undang-undang dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya mengikut Seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Saya menasihatkan pihak yang datang ke mahkamah supaya memahami dan mengetahui apa yang ingin dimohon di mahkamah bagi mengelakkan kes tertangguh. Segala dokumen yang difailkan di mahkamah hendaklah dibawa bersama bagi memudahkan kedua belah pihak membuat rujukan jika ditanya mahkamah.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Marlina Amir Hamzah. Sebarang persoalan boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com

5 thoughts on “Hak Muslim: Sedia dokumen elak permohonan cerai tertangguh

  1. saya su shyan,saya mahu tanya kalau saya tinggal deat klang,mana satu mahkamah saya perlukan pergi?dan saya cuma bawa 3 dokumen saja?dan saya kena cari peguam tak?

  2. tuan/puan,
    saya dan isteri saya tinggal berasingan selama 2 tahun. kami mempunyai 2 orang anak yg berumur 3 tahun dan 2 tahun. kami berpisah disebabkan keluarga isteri saya yg terlampau disebabkan kasta. tapi sekarang isteri saya menghantar saya divorce petition kat saya. saya tak bercerai dengan isteri saya sebab saya masih sayangkan dia dan anak saya..saya mementingkan masa hadapan anak saya.. saya cuba berbincang dengan isteri saya tapi dia tak nak dengar. saya tidak mahu bercerai ngan isteri. tuan/puan apakah saya patut buat? 03.11.2009 kes dekat mahkamah shah alam. isteri saya menafikan yang dia tidak datang jumpa saya selama 2 tahun ini. tetapi dia datang jumpa saya dan kita pernah bersetubuh ngan saya beberapa kali tanpa pengfetahuan keluarganya.. pada masa tu saya meminta isteri saya datang tapi dia takut dengan keluargannya..tapi sekarang isteri saya terpengaruh dengan perkataan keluarga dia. Tuan/puan saya meminta bahawa tuan/puan akan memberikan saya idea atau nasihat untuk saya tidak bercerai dengan isteri..
    dengan hati yg terluka,
    louiis

  3. sy dan suami dah x tggal serumah lebih kurang 1 tahun lebih, dan kami dah sedia unutk berpisah secara baik. ya saya tau islam melarang sekali kt bercerai berai, namun hanya itu jak yg mampu kami lakukan.kami dah bt yag terbaik,tp kami masih jgk mcm ini…

  4. jika permohonan cerai bersama sudah di failkan dan ingin membatalkan sebelum tarikh bicara apakah prosuder nya kerana dalam tempoh tarikh bicara suami dan saya telah cuba berdamai semula dan kami cuba untuk tidak ke arah penceraian adakah boleh batalkan kes

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s