Perancang perkahwinan ringankan tugas

Sebelum diadakan sebarang majlis perkahwinan, pastinya pelbagai perancangan dibuat untuk memastikan majlis berkenaan berjalan lancar. Maklumlah, melaksanakan sebuah majlis perkahwinan sudah tentu memerlukan satu komitmen yang besar di kalangan anggota keluarga.

Ketika ini ahli-ahli keluarga, terutama ibu bapa pasangan mempelai akan sibuk menentukan pengendalian majlis yang bakal diadakan berjalan dengan lancar dan meriah.

Selalunya, seminggu dari tarikh perkahwinan satu majlis pembahagian kerja akan dibuat untuk mengagih-agihkan tugas kepada individu yang terlibat terutama di kalangan ahli keluarga yang terdekat.

Perbincangan

Secara sedar atau tidak, semua mereka yang terlibat dengan perbincangan berkenaan akan dipanggil ‘pengendali’ dan ‘perancang perkahwinan’.

Namun, kini sudah ada pihak yang bersedia melakukan segala tugas-tugas tersebut. Malah, keluarga mempelai tidak perlu lagi risau mengenai soal pengendalian majlis yang bakal diadakan.

Tugas perancang perkahwinan (wedding planner) memang sudah tidak asing lagi kepada masyarakat Melayu sekarang.

Atas faktor desakan kesibukan dan inginkan majlis berjalan dengan sempurna tanpa ‘pening-pening’ atau berserabut kepala memikirkannya, tugas berat mengurus majlis perkahwinan diserah sepenuhnya kepada pengendali atau perancang perkahwinan.

“Dalam hal ini pihak keluarga hanya tahu majlis berjalan lancar seperti yang diingini,’’ tegas Rashidah Mat Zain, 45, pemilik syarikat perancang perkahwinan, Bayu Wedding.

Bersama suaminya, Ronifira Rejab, 42, mereka berpadu tenaga mengatur dan mengurus sesebuah majlis perkahwinan sehingga ia menjadi majlis yang meninggalkan kenangan manis bukan saja kepada mempelai bahkan seluruh ahli keluarga terbabit.

“Kami melakukan semuanya, apa sahaja yang berkaitan dengan urusan perkahwinan. Biasanya kami akan memulakan kerja lapan atau enam bulan sebelum majlis perkahwinan diadakan.

“Tugas kami memastikan kaum keluarga, pengantin dan ibu bapa mereka tidak akan berasa resah. Mereka hanya tahu ‘cuci tangan’ sahaja. Kita yang akan mengendalikan semuanya daripada A hingga Z dan mereka tidak perlu bersusah payah,’’ kata Rashidah yang berkelulusan dalam bidang Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Perhubungan Awam dari Kolej Stamford.

Biarpun mengetahui bidang perancang perkahwinan ini masih baru di kalangan masyarakat Melayu, namun semakin ramai yang menggunakan perkhidmatan ini.

Apatah lagi, pada zaman yang mana ibu bapa dan pihak pengantin sibuk bekerja yang tidak memungkinkan mereka melakukan persiapan perkahwinan dengan lengkap dan mengikut cita rasa yang diimpikan.

“Bayu Wedding menawarkan perkhidmatan perancang dan perunding perkahwinan secara lengkap mengikut bajet yang mereka mahukan.

“Sebaik sahaja perkhidmatan kami diperlukan, apa yang kami lakukan ialah membuat cadangan ke atas apa sahaja kelengkapan yang diingini,’’ katanya

Antaranya, bentuk majlis yang diadakan, tema, pelamin, tata rias, kad undangan perkahwinan, hantaran, bekas bunga rampai dan sebagainya. Semuanya dibuat dalam satu pakej sehingga ke acara bersanding, muzik iringan, berinai dan membuka hadiah pada hari persandingan.

“Mempelai yang ingin ke berbulan madu selepas majlis itu juga kita akan aturkan.

“Sekiranya bajet yang ada berjumlah RM65,000 untuk jemputan 800 orang, ia sudah dikatakan eksklusif untuk ‘orang-orang biasa’,’’ kata beliau yang pernah mengendali majlis perkahwinan untuk 6,000 tetamu orang kenamaan dalam suasana eksklusif.

Selain pihak perunding perkahwinan memberikan idea dan pandangan, keluarga pengantin juga akan diminta memberi pendapat bentuk bagaimana majlis berkenaan ingin diadakan.

“Sekarang ini ramai di kalangan pasangan yang memilih bentuk persandingan di dalam taman.

“Kita akan menjadikan persandingan mereka satu bentuk yang terindah dan menjadi kenangan manis,’’ katanya.

Malah, menurut ibu kepada dua anak berusia 17 dan 18 tahun ini, menggunakan perkhidmatan perancang perkahwinan menjimatkan masa dan kos perbelanjaan kepada pihak yang ingin mengadakan majlis perkahwinan.

Selain mempunyai Bayu Wedding yang boleh dihubungi di talian 03-26953232, pasangan suami isteri juga mengendalikan syarikat Perhubungan Awam yang diberi nama Brainwave Communication.

Ia adalah hasil pengalaman memegang jawatan pegawai perhubungan awam di beberapa syarikat terkemuka.

Bermula tahun 2000, syarikat ini juga sukses dengan menyediakan perkhidmatan pengiklanan, pengurusan majlis dan sukan serta latihan.

Oleh ROSMAH DAIN

—————————————————————————————–


Rahsia Malam Pertama. Keterangan lanjut, sila klik sini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s