Suri rumah patut amal sistem kitar semula

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Wanita boleh bertindak mengawal sisa buangan, jumlah sampah dihasilkan ahli keluarga setiap hari

DALAM satu hadis diriwayatkan, bagaimana Rasulullah SAW mencela mereka yang membiarkan seekor kambing mati tanpa memanfaatkan kulit kambing berkenaan. Kejadian berlaku ketika Rasulullah sedang berjalan, Baginda ternampak seekor kambing yang mati, lalu Baginda bersabda ‘Kenapa kamu tidak memanfaatkan kulitnya?’

Lalu mereka menjawab, ‘Bukankah kambing itu sudah mati wahai Rasulullah’. Lalu Baginda menjawab, ‘Yang diharamkan adalah memakan dagingnya bukan kulitnya’ (riwayat Ibn Abbas).

MEMBUANG tin susu tanpa berfikir panjang selepas isinya habis dimanfaatkan, mungkin tabiat biasa kita lakukan. Tetapi sedarkah kita dengan mengumpulkan tin berkenaan sebelum dibawa ke pusat kitar semula, dapat menjimatkan ruang pembuangan sampah yang semakin tenat?

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Datuk Seri Ahmad Sarji Abdul Hamid menegaskan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) melaporkan bahawa sisa pepejal di Malaysia secara puratanya terdiri daripada 45 peratus sisa makanan, 24 peratus plastik, tujuh peratus kertas, enam peratus besi dan tiga peratus kaca dan bahan lain dan ternyata kebanyakan isi rumah Malaysia membuang sampah yang kebanyakannya boleh dikitar semula.

Ketika ini ada 230 tapak pelupusan sampah di Malaysia dengan keluasan antara 20 hingga 150 ekar setiap satu, tetapi berdasarkan kadar pembuangan sampah masyarakat hari ini lama-kelamaan tapak berkenaan akan mencapai had maksimum.

Walaupun ada cadangan menggunakan kaedah pembakaran sampah (incinerator), kaedah itu dijangka tidak dapat menyelesaikan masalah pelupusan sampah sepenuhnya di samping kos penyelenggaraan yang juga tinggi.

“Kadar kitar semula negara ini cuma lima peratus. Jumlah ini adalah kecil berbanding kadar kitar semula negara lain, seperti Belanda dengan 45 peratus; Jerman (42 peratus), Sweden (39 peratus), Norway (38 peratus), Denmark (35 peratus) dan Kanada (32 peratus). Malah, negara jiran di Asia seperti Korea dan Singapura masing 44 peratus dan 41 peratus.

“Dalam hal ini saya melihat wanita mempunyai peranan yang besar dalam amalan mengitar semula dan mempertingkatkan amalan ini di kalangan masyarakat. Sebagai pengurus rumah tangga wanita boleh mengawal jumlah sampah yang dihasilkan oleh ahli keluarganya dan mengitar semula sampah yang ada.

“Jika wanita memiliki kesedaran mengenai kepentingan mengitar semula sampah dan mengamalkannya dengan penuh iltizam, maka jumlah sampah yang terhasil daripada setiap isi rumah dapat dikurangkan,” katanya pada seminar Penjanaan Pendapatan Untuk Wanita Melalui Aktiviti Kitar Semula baru-baru ini.

Seminar sehari itu anjuran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Malaysia.

Ahmad Sarji berkata, wanita mempunyai peranan yang besar dalam amalan kitar semula dan mempertingkatkan amalan itu di kalangan masyarakat.

Sebagai pengurus rumah tangga, wanita boleh mengawal jumlah sampah yang dihasilkan oleh ahli keluarganya dengan mengitar semula sampah dan mengamalkannya dengan penuh iltizam, maka jumlah sampah yang terhasil daripada setiap isi rumah dapat dikurangkan.

“Sifat mendidik yang ada dalam diri wanita selain peranan wanita sebagai ejen sosialisasi generasi baru akan memastikan kempen kitar semula ini menjadi satu amalan yang tertanam dalam jiwa dan diamalkan di kalangan ahli keluarga yang lain, seterusnya menjadi budaya dalam sebuah keluarga.

“Jika kita berjaya menggembleng potensi wanita untuk mengitar semula secara konsisten, kita bakal menyelesaikan separuh daripada masalah pengurusan sisi di negara ini kerana jika wanita mengamalkan kitar semula, maka lebih banyak sisa boleh dihalang daripada memasuki tapak pelupusan sampah mahupun pusat pembakaran,” katanya.

Selain itu, katanya, kesedaran wanita terhadap peluang penjanaan pendapatan melalui aktiviti kitar semula juga perlu diuar-uarkan. Usaha itu sebenarnya bukan angan-angan kosong, malah sudah terbukti berjaya.

Antara orang terkaya di China ialah seorang wanita berusia 50 tahun, Zhang Yin pemilik syarikat ‘9 Dragon Paper Industries Co Ltd’ yang ditubuhkan pada 1990-an. Syarikat ini kini menjadi syarikat pembuat kertas terbesar di China dengan menggunakan kertas kitar semula dari Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah untuk diproses menjadi kadbod dan kotak untuk membungkus mainan, barangan elektronik serta perabot lalu dieksport termasuk ke AS dan Eropah.

“Amalan kitar semula ini sebenarnya amat digalakkan dalam Islam kerana ia berkait rapat dengan ajaran Islam seperti menjaga kebersihan dan menghindari pembaziran. Dengan mengitar semula, jumlah sampah akan semakin berkurangan dan ia dapat diurus dengan baik dan teratur selain mengelakkan pembaziran.

“Allah berfirman dalam surah Al-Israa bahawa ‘Sesungguhnya pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya’,” katanya.
Kitar sendiri bermula daripada dalam diri

FELO Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Abu Bakar Yang, berkata dalam al-Quran ada banyak ayat yang menerangkan fenomena alam terbentang luas menerusi kejadian alam ini, malah Allah memperlihatkan kepada manusia akan kebesaran dan keesaannya serta menyuruh manusia berfikir dan mengkaji fenomena ini agar dapat diambil pengajaran daripadanya.

Beliau berkata, apabila alam ini lebih difahami dengan kefahaman menerusi ilmu yang benar, maka barulah manusia itu dapat memahami kaedah yang betul untuk berinteraksi dan menguruskan alam dengan baik dan sempurna.

“Untuk memahami alam ini, manusia perlu menjadi sahabat yang akrab kepada alam dengan memiliki ilmu yang benar dan sah mengenai alam itu sendiri dan bukannya menjadi musuh yang sentiasa mengancam dan merosakkannya. Ini adalah kerana ilmu yang secara luaran mengenai alam tidak akan dapat mengungkap kepada manusia akan keagungan Allah.

“Di mana kekeliruan dan salah faham ini adalah disebabkan oleh konsep dan pendekatan Barat yang lebih banyak mendatangkan bencana dan masalah kepada alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata, pemuliharaan alam sekitar ialah memahami bahawa menjaga alam sekitar sama seperti menjaga agama yang mana ia berkaitan dengan pemikiran serta tingkah laku.

“Seorang Muslim perlu memahami bahawa segala usaha untuk memelihara atau membaikpulih alam sekitar adalah sama halnya dengan usaha menjaga agama. Ini kerana segala kemungkaran dan dosa mencemari dan memusnahkan alam sekitar sebenarnya mengganggu inti pati hidup beragama kerana secara tidak langsung menodai kewujudan manusia di muka bumi ini, sekali gus menyimpang daripada perintah Allah dalam konteks hubungan baik antara manusia dan alam sekitarnya.

“Pembaziran adalah amalan yang keji dan wajib ditinggalkan oleh orang yang mengaku dirinya benar-benar beriman kepada Allah. Apabila kefahaman ini dapat dikaitkan dengan amalan kitar semula sebagai satu wadah untuk mengelakkan pembaziran, maka ia adalah satu amalan yang sangat digalakkan.

“Lanjutan daripada itu amalan kitar semula ini juga dapat dilihat sebagai pelengkap kepada tuntutan asas yang dinyatakan sebelum ini yang juga menjadi saluran terbaik untuk memulihara alam sekitar. Secara umumnya memang tidak ada ayat al-Quran yang secara jelas menyatakan amalan kitar semula ini dituntut atau disyariatkan kepada manusia.

“Bagaimanapun, penjelasan terhadap fenomena alam yang diterangkan oleh Allah kepada kita seolah-olah menampakkan bahawa amalan kitar semula adalah seperti suatu yang sangat penting di dalam kehidupan manusia. Persoalan alam sekitar serta kesedaran untuk mengitar semula barang-barang terbuang pada dasarnya adalah persoalan moral.

“Penyelesaian yang paling efektif ternyata bergantung pada moral manusia iaitu dengan cara menghayati nilai moral, keadilan, kebaikan, kasih sayang, keramahan, sikap tidak sewenang-wenang, tidak membazir dan sebagainya,” katanya.
Bagaimana kitar semula

1. Perniagaan daripada kitar semula termasuklah menjual barangan rumah terpakai.

2. Menghasilkan barangan perhiasan wanita daripada alat kereta lumba seperti rantai, gelang tangan dan sebagainya.

3. Menjual perabot yang dihasilkan daripada bangunan atau rumah yang diruntuhkan.

4. Kitar semula komputer lama

7 thoughts on “Suri rumah patut amal sistem kitar semula

  1. kitar semula tu pentng..malaysia membuat kempen berkaitan dengan isu ini adalah untuk menyelamatkan bumi untuk generasi yang akan datang.setiap apa yang dirancang dan akan dilaksanakan adalah untuk membantu para pengguna dalam merealisasikan matlamat yang ingin dicapai bagi mewujudkan persekitaran yang bersih. kitar lah semula bahan2 yang boleh dikitar semula kerana ia adlah untuk kebaikan kita semua..

  2. apa yang paling penting bagi setiap orang ialah kesedaran. jika kita masih lagi membuat sesuatu perkara tanpa memikirkan, kita akan menjadi negara sampah.
    hidup kita akan di kelilingi sampah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s