Cabaran latih anak berdikari di sekolah

Oleh Hidayah Mohammad

Kemampuan fahami kerenah bantu hadapi pelbagai ragam pada minggu pertama

HARI ini, ribuan kanak-kanak bakal memulakan persekolahan di Tahun 1. Kecil, comel dan manja. Itulah yang dapat digambarkan kanak-kanak berkenaan. Saban tahun, rakaman gambar murid Tahun 1 menangis yang disiarkan media sama ada media cetak mahupun elektronik pada hari pertama persekolahan pasti menjadi paparan wajib.

Pelbagai ragam dapat disaksikan, ada yang enggan berpisah dengan ibu dan ada juga yang tidak dapat melakukan semua perkara sendiri sehingga terpaksa ibu atau bapa menjadi penunggu setia di sekolah. Jika selama ini makan, pakai, mandi, membuang air dan sebagainya dilakukan ibu, bapa atau pengasuh, kini semua perkara itu perlu dilakukan sendiri selepas kaki mula menjejak ke sekolah.
Bagi ibu bapa yang pertama kali menghantar anak mereka ke sekolah, mungkin itulah cabaran utama yang bakal dihadapi. Usahawan, Suzaini Md Shukor, mengakui menghantar anak pertamanya ke sekolah adalah pengalaman paling menyeronokkan kerana pelbagai ragam dan telatah dapat dilihat ketika minggu pertama di sekolah.

“Lain budak lain caranya. Jika mereka yang sudah biasa dengan persekitaran di pusat tadika, maka tidak hairanlah mereka boleh mencari kawan dan boleh berdikari dengan sendiri. Malah, dengan cara menghantar anak lebih awal di tadika secara tidak langsung mengajar mereka membiasakan diri dengan suasana sekolah. Mungkin, mereka tidak menangis ketika hari pertama masuk ke sekolah rendah.

“Budak kecil zaman sekarang berbeza dengan zaman dulu. Budak dulu sering menangis apabila ditinggalkan ibu bapa di sekolah kerana mereka tidak biasa dengan suasana tempat baru. Tetapi, kanak-kanak sekarang berbeza. Mereka tidak kisah dan jarang sekali menangis apabila dibiarkan kerana ibu bapa kini lebih gemar menghantar anak kecil mereka menghadiri pelbagai kelas aktiviti,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Suzaini mempunyai tiga anak lelaki iaitu Faruq Hakim Ahmad Nizam yang kini berusia 10 tahun, Faris Hazim (7) dan Fandi Hariz (3). Beliau yang sudah berpengalaman menghantar Faruq Hakim ke sekolah sebelum ini, bagaimanapun agak bimbang untuk menghantar Faris Hazim ke sekolah tahun ini.

Beliau berkata, anak pertamanya, Faruq Hakim tidak menangis malah lebih mudah mendapat rakan mungkin kerana Faruq Hakim belajar di tadika sejak berusia tiga tahun dan biasa dengan suasana persekitaran sekolah selama empat tahun.

Bagaimanapun, katanya, Faris Hazim tidak seperti abangnya yang bijak berdikari kerana anak keduanya itu hanya mengikuti kelas tadika sekali-sekala saja.

“Ini adalah cabaran kepada saya. Ketika menghantar Faruq Hakim ke sekolah, saya belum bekerja dan sempat meluangkan masa bersamanya selama seminggu di sekolah. Tetapi, kali ini saya terpaksa membahagikan masa untuk menghantar Faris Hazim ke sekolah dan bekerja, lebih-lebih lagi, Faris Hazim tidak biasa dengan persekitaran sekolah.

“Ketika menghantar Faruq Hakim, saya tunggu dia sehingga habis waktu sekolah selama seminggu walaupun dia tidak meragam seperti kanak-kanak lain. Ketika itu, saya sempat mengajarnya cara membelanjakan duit apabila tiba waktu rehat di kantin. Saya mengingatkan dia supaya mengira sendiri harga makanan yang diambil dan mengambil duit lebih daripada peniaga kantin sekolah,” katanya.

Selain itu, Suzaini yang berkahwin dengan jurutera Petronas, Ahmad Nizam Dani, 39, berkata, beliau turut mengajar anaknya membersihkan diri selepas membuang air di tandas. Sekiranya mahu muntah atau buang air, beliau menggesa si kecil supaya segera ke tandas bagi tidak menyusahkan guru dan kawan yang lain.

“Saya akan melakukan perkara yang sama terhadap Faris Hazim dan anak seterusnya kerana mahu mereka belajar berdikari sekiranya ibu mereka tiada di kawasan sekolah. Mereka perlu membiasakan diri mencari kenalan sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai pandangan dan panduan kepada ibu bapa cara menangani masalah anak pertama kali ke sekolah, Suzaini berkata, cara terbaik ialah menghantar anak lebih awal ke tadika pada usia muda.

“Cara ini secara tidak langsung dapat mengajar mereka membiasakan diri dengan suasana sekolah dan tahu apa yang seharusnya dilakukan ketika mengalami kecemasan. Selain itu, sebagai ibu bapa, kita perlu memberi semangat kepada mereka supaya lebih yakin dan tidak bergantung harap pada ibu dan bapa ketika berada di sekolah.

“Kita juga perlu membiarkan mereka mencuba sesuatu bagi melatih diri untuk berdikari. Selain itu juga, ibu bapa perlu ambil tahu mengenai suasana dan persekitaran sekolah bagi mudah kita mencari anak sekiranya memerlukan sesuatu,” katanya.

Hari pertama di sekolah sudah pasti mendebarkan kanak-kanak terbabit. Pelbagai aksi dan ragam dapat dilihat pada hari pertama persekolahan. Ada yang menangis ada pula yang tidak kisah.

Bagaimanapun, perhatian perlu diberikan lebih kepada anak yang pertama kali ke sekolah supaya mereka dapat membiasakan diri. Kata-kata semangat juga perlu diucapkan setiap pagi supaya mereka tidak akan berasa takut dan bimbang apabila ditinggalkan tanpa perhatian ibu dan bapa pada keesokan harinya.

INFO
Cara menangani masalah anak pertama kali ke sekolah:

  • Membiarkan mereka mencuba bagi melatih diri berdikari.
  • Latih anak dua minggu awal untuk membersihkan diri dan membeli makanan.
  • Ibu bapa tidak seharusnya terlalu mengawal anak yang pertama kali ke sekolah kerana ia boleh membantutkan aktiviti anak mereka ke sekolah pada esok hari.
  • Ibu bapa perlu ambil tahu mengenai suasana dan persekitaran sekolah.
  • Ibu bapa perlu percaya anak di sekolah mampu melakukan perkara dengan sendiri.
  • Berbincang dan bahagikan masa bersama suami, siapa yang boleh datang lebih awal menjemput anak pulang dari sekolah.
  • Persediaan terhadap peralatan persekolahan, pakaian dan buku sekolah anak.
  • Memberi semangat kepada mereka supaya lebih yakin dan tidak bergantung harap pada ibu dan bapa.
  • 2 thoughts on “Cabaran latih anak berdikari di sekolah

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

    Connecting to %s