Sempurnakan hak tersayang dan diri sendiri

KITA boleh merancang cara meneruskan kehidupan tetapi tidak akan tahu bagaimana merancang cara atau bilakah akan meninggal dunia. Jika bercakap tentang perancangan kehidupan, pasti ramai yang sudah sedia merencanakan, namun pernahkah anda merancang tentang apa yang akan dilakukan setelah ketiadaan di muka bumi ini?

Boleh dikatakan lebih ramai manusia tidak membuat wasiat daripada yang melakukannya. Kenapa? Kerana manusia tidak gemar bercakap tentang kematian dan menganggap perkara itu masih jauh buat mereka.

Tambahan lagi kerana sifat manusia yang suka menafikan sesuatu yang mereka tidak gemar.

Namun sedarkah bahawa kehidupan kita terdedah kepada pelbagai risiko, bak kata pepatah, malang tidak berbau. Justeru sekiranya takdir telah menentukan bahawa kita tidak mempunyai masa lagi di muka bumi ini, adakah kita telah membuat perancangan sebaik-baiknya untuk orang tersayang yang ditinggalkan.

Sudah pasti kita tidak mahu membebankan keluarga dengan masalah selepas ketiadaan kita. Perancangan yang baik membantu mereka merencanakan kehidupan dengan lebih sempurna.

Agen Korporat, Amanah Raya Berhad, Marina Yusoff berkata, wasiat bukanlah berkaitan pembahagian harta pusaka semata-mata.

Malah wasiat sebenarnya bermaksud melindungi kebajikan pewaris supaya kehidupan mereka lebih terjamin selepas kehilangan tempat bergantung.

“Secara definisinya, wasiat ialah suatu hasrat atau keinginan yang dizahirkan secara lisan atau bertulis oleh seseorang mengenai hartanya untuk diuruskan selepas berlaku kematiannya.

“Namun, ramai yang tidak sedar wasiat yang dibuat secara lisan terdedah kepada fitnah akibat arahan yang tidak jelas dan boleh dipertikaikan di kalangan ahli waris.

“Jadi adalah amat penting bagi seseorang Muslim itu mendaftarkan wasiat mereka kepada badan-badan yang diiktiraf kerajaan agar tidak mendatangkan masalah kelak,” jelasnya ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Menurut Marina, antara sebab utama mengapa seseorang individu perlu memiliki dokumen wasiat ialah bagi mempercepatkan proses pembahagian harta pusaka.

Kematian

“Sebagai contoh, apabila berlaku kematian, semua harta si mati akan dibekukan. Dengan memiliki dokumen wasiat, proses mendapatkan surat kuasa wasiat untuk menyelesaikan harta yang melebihi RM600,000 oleh pemegang amanah yang telah dinamakan lebih mudah dan cepat.

“Lebih lengkap dokumen wasiat (seperti penyenaraian harta, hutang, harta sepencarian dan sebagainya) maka lebih cepat proses pentadbiran harta pusaka dapat diselesaikan,” kata Marina.

Jelas Marina, secara umumnya, tempoh penyelesaian pusaka dengan adanya wasiat ialah di antara enam dan 12 bulan berbanding di antara dua dan lima tahun (atau lebih) tanpa dokumen wasiat.

Lebih lama proses penyelesaian, maka selama itulah juga kesengsaraan yang akan dirasai oleh waris-waris yang ditinggalkan.

Marina berkata, antara faktor mengapa pentingnya berwasiat ialah untuk memastikan orang yang kita sayang tidak mengalami tekanan akibat perbalahan serta perebutan yang mungkin berlaku di kalangan ahli keluarga mahupun sanak saudara.

Katanya, berdasarkan fakta, begitu banyak kes yang tidak dapat diselesaikan akibat tidak mendapat kerjasama daripada saudara-mara dan ahli keluarga atas pelbagai sebab, jika wasiat disediakan pastinya semua ini dapat dielakkan.

Menurut Marina, selain berbicara soal harta yang ditinggalkan, wasiat juga penting jika seseorang itu mempunyai hutang. Dengan menyenaraikan hutangnya di dalam wasiat maka segala hutangnya akan dijelaskan dahulu sebelum harta pusaka itu dibahagikan kepada waris-waris.

Islam turut menekankan dengan tegas mengenai tanggungjawab untuk membayar hutang, walaupun selepas kematian.

“Ini bermakna seseorang Muslim itu amat memerlukan waris-waris dan saudara-mara yang masih hidup untuk menyelesaikan segala tanggungan hutang yang ada selepas kematiannya.

Tahukah saudara mara dan waris-waris anda mengenai hutang-hutang yang anda ada? Berapa ramai di antara kita yang mempunyai hutang tetapi tidak bertulis sedangkan al-Quran menyarankan kita menulisnya?

Sekiranya ini berlaku iaitu bagi hutang yang tidak bertulis, apakah jaminan bahawa hutang-hutang tersebut akan diselesaikan oleh waris-waris?

Oleh itu, salah satu daripada keperluan dokumen wasiat ialah untuk menyenaraikan dengan lengkap segala jenis harta dan tanggungan hutang supaya dapat diuruskan dengan licin dan sempurna oleh pemegang amanah dan waris-waris anda.

Ini bermakna dokumen wasiat merupakan satu dokumen yang amat penting untuk dimiliki kerana dokumen akan menjadi sumber rujukan utama mengenai harta dan tanggungan selepas ketiadaan kelak.

Tanpa dokumen wasiat, waris-waris tidak boleh berbuat apa-apa mengenai hutang-hutang kita (sebab mereka tidak tahu) dan semestinya kita juga tidak boleh berbuat apa-apa ketika itu,” ujarnya panjang lebar.

Menurut Marina lagi, sebab pentingnya wasiat ialah untuk menyempurnakan hak orang tersayang dan diri sendiri.

Bagaimanapun terdapat salah faham dalam masyarakat Melayu yang mana ramai yang merasakan bahawa mereka tidak perlu membuat wasiat kerana telah adanya hukum faraid.

“Apakah jaminan bahawa waris-waris tersebut akan mendapat hak mereka jika kita sendiri tidak membuat langkah-langkah awal bagi memastikan hukum tersebut dapat dilaksanakan dengan sempurna,” kata Marina lagi.

Marina menambah, umat Islam masih jauh ketinggalan dan gagal dalam melaksanakan hukum faraid ini.

“Realitinya, sebanyak sejuta kes tanah pusaka di Malaysia (laporan Pejabat Tanah) dianggar bernilai RM38 bilion masih tidak dapat diselesaikan ke-

rana masalah pewarisan dan 90 peratus daripadanya adalah milik orang Melayu beragama Islam.

“Ini bermakna begitu banyak sekali harta-harta umat Islam yang terbeku dan begitu ramai yang tidak mendapat bahagian hak mereka kerana tiada perancangan oleh si mati.”

Keadaan di atas berlaku akibat kelalaian dan kegagalan umat Islam sendiri dalam membuat langkah-langkah persediaan ketika hidupnya.

Dengan persediaan yang baik dan melalui dokumen wasiat yang lengkap dan sempurna, sudah tentu akan dapat menjamin hak-hak untuk mereka yang tersayang (ibu, ayah, isteri, suami, anak-anak dan sebagainya) akan mendapat hak mereka (termasuk hak harta sepencarian pasangan) sekali gus hukum faraid dapat ditunaikan.

Di samping hak-hak yang memang telah termaktub dalam hukum, kita juga boleh menyempurnakan hasrat dan niat murni kita yang lain khususnya untuk tujuan kebajikan.

Melalui wasiat, pewasiat juga dapat membuat peruntukan kebajikan iaitu seperti kepada anak angkat, anak tiri, ibu bapa angkat, ahli keluarga asal mualaf yang masih tidak beragama Islam dan sebagainya.

Bagaimanapun menurut Marina, ia mestilah tidak melebihi satu pertiga daripada nilai harta bersih dan mestilah mengikut hukum syarak.

Apa pun, dengan membuat perancangan dengan cara menyediakan wasiat, ahli keluarga yang ‘ditinggalkan’ tidak ‘teraniya’ dan tidak perlu menempuh kesukaran.

Hak-hak harta pusaka

Terdapat beberapa hak harta pusaka yang mesti ditunaikan iaitu:

1. Belanja menguruskan jenazah

*Mandi, kafan dan kebumi

2. Belanja pengurusan pentadbiran harta pusaka

3. Jelaskan hutang si mati

*Hutang dengan Allah seperti zakat, haji, kifarah, nazar, fidyah

*Hutang dengan manusia

4. Harta sepencarian

5. Sedekah (amal jariah) jika ada dengan syarat :

*Tidak lebih satu pertiga daripada harta bersih setelah tolak hutang (Kecuali dengan persetujuan waris).

*Tidak disedekahkan kepada waris yang berhak terima pusaka (Kecuali dengan persetujuan waris).

*Mengikut hukum syarak

6. Selebihnya barulah difaraidkan mengikut hukum syarak.

– Terima kasih kepada AKADEMI USAHAWAN UTAMA, 571B&C, Jalan Samudra Utara 1, Taman Samudra, 68100 Batu Caves, Selangor. Telefon 03-61858350.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s