Drama perangkap suami di bilik hotel

OLEH  MAIMUNAH -www.dcckmona.com

PENULIS menerima banyak pertanyaan dan e-mel daripada pembaca yang kagum dengan semangat di sebalik penderitaan yang dilalui oleh Salina minggu lalu. Kata mereka, kesenangan yang diberikan oleh kebanyakan ibu bapa hari ini kepada anak- anak, bukan boleh memberi kesedaran sebaliknya akan membawa banyak penderitaan hidup. Sebaliknya pengajaran jimat cermat, penderitaan orang lain boleh menjadi iktibar kepada mereka supaya hidup lebih sempurna dan berpijak ke bumi.

Ajarlah anak-anak berjimat cermat sambil mendidik mereka menjadi manusia yang berilmu. Tanpa ilmu, harta yang ditinggalkan tidak bermakna, sebaliknya boleh membawa porak-peranda dalam hubungan adik-beradik. Sementara kita mengingatkan cerita Salina kepada anak-anak kita, mari kita ikuti kisah minggu ini yang diceritakan oleh Maslina dalam e-melnya. Katanya, terlalu banyak pengalaman pahit terpaksa ditanggung sejak bersuamikan suami orang lebih kurang enam tahun lalu.

‘‘Saya berkahwin dengan lelaki pilihan bernama Khairul. Walaupun dia sudah beristeri, pernikahan kami berjalan mengikut saluran yang betul setelah mendapat izin Mahkamah Syariah walaupun isteri pertama tidak merestui. Namun perkahwinan kami berlangsung meriah. Bagaimanapun saya terima hakikat bahawa saya bermadu dan saya sentiasa mengingatkan diri bahawa Khairul bukan milik saya seorang.

‘‘Tetapi tak sampai setahun pernikahan kami, madu saya meninggal dunia kerana penyakit lamanya. Mereka tidak mempunyai anak kecuali dua orang anak angkat.

‘‘Walaupun ketika itu tinggal saya seorang, tetapi Khairul mempunyai teman wanita lain tanpa pengetahuan saya. Ketika itu saya bertugas di selatan sementara Khairul di KL. Saya tak tahu aktivitinya.

‘‘Rahsianya terbongkar apabila saya terbaca SMS di dalam telefon bimbitnya. Bila saya tanya dia menafikan ada hubungan dengan wanita-wanita tersebut, katanya, cuma kawan. Memikirkan ada dua nama wanita yang berbeza, saya fikirkan mungkin ada benarnya. Walaupun seorang wanita itu dikenalinya lebih dari dua tahun

‘‘Tetapi seperti pepatah orang tua-tua, ‘bangkai gajah mana boleh ditutup dengan nyiru,’ pasti satu hari nanti akan tercium juga busuknya. Begitulah dengan perbuatan Khairul. Dalam diam dia memperkenalkan teman wanitanya Hanum kepada ibunya di kampung. Kedatangan Hanum disambut oleh mentua, kerana mentua saya memang tidak suka saya sejak kami kahwin. Kerana katanya saya rampas suami orang.

‘‘Oleh kerana kami tinggal berjauhan dia sering membawa Hanum bermalam di rumahnya. Saya tidak meneka sembarangan, jiran yang beritahu, tetapi mereka pun keliru, mungkin Hanum isterinya yang terbaru. Namun bila mereka bertanya tentulah rahsia Khairul terbongkar juga.

‘‘Saya juga ingin mendapat kepastian, satu hari secara mengejut saya ke rumah sewa Khairul. Nak jadikan cerita saya dapati mereka berdua ada dalam rumah. Saya terserempak dengan Hanum, dia lari mengunci diri dalam bilik tidur. Malam itu kami bergaduh besar kerana saya bertanya siapakan wanita dalam bilik tersebut.

‘‘Tapi berapa lama dia nak menyorok, bila keluar barulah saya tahu Hanum masih belajar di Shah Alam. Khairul mengamuk marahkan saya, tetapi dia sudah tidak dapat berbohong lagi. Kerana ingin menyelamatkan rumah tangga, saya hubungi kakak Hanum kerana saya kenal benar dengan kakaknya, kerana dia kawan saya.

‘‘Bila Hanum kena marah dengan kakak dan ibu bapanya, sekali lagi Khairul mengamuk marahkan saya. Keluarga Hanum tidak tahu tentang aktivitinya di Shah Alam, mereka memikirkan anaknya masih belajar. Sepanjang tempuh dia belajar Khairul tanggung duit sakunya dan kesenangan hidupnya maklum jadi sugar daddy.

‘‘Kerana gaji Khairul bukan banyak, tetapi berlagak macam orang berduit, saya jadi mangsa. Dia tak pernah beri nafkah. Pandai- pandai sayalah nak hidup. Pendek kata, nama sahaja dah berkahwin, tetapi hidup macam tak ada suami, semuanya saya tanggung. Nasib duduk dengan emak.

‘‘Sejak rahsianya terbongkar, mungkin juga kerana kawalan keluarga Hanum, hubungan mereka jadi terhenti. Saya fikirkan lepas ini tentu hidup saya lebih aman, kerana Khairul berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatannya. Saya memaafkannya.

‘‘Demi suami dan perkahwinan, saya minta tukar bekerja di KL, bila dah dekat saya fikir tentulah hubungan kami lebih baik. Tetapi harapan, tinggal harapan, Khairul tetap dengan tabiat lamanya. Suka pulang lewat malam, tak beri nafkah sebaliknya menyuruh saya tanggung perbelanjaan rumah termasuk anak-anak angkatnya.

‘‘Dalam diam saya terus siasat dan terbongkarlah cerita baru dia buat hubungan dengan seorang gadis pantai timur pernah belajar di Shah Alam. Dia baru bekerja. Ketika saya dapat tahu mereka telah berkawan lebih setahun.

‘‘Biarpun umur Khairul sudah 45 tahun dan gadis itu Sara baru berumur 25 tahun, tetapi hubungan mereka sukar dipisahkan. Ketika hubungan percintaan mereka belum saya ketahui, memang Khairul jarang balik ke rumah alasannya banyak kerja dan selalu sibuk. Tambahan pula katanya, tempat kerjanya jauh kerana itu dia balik lewat.

‘‘Atas alasan tempat kerja jauh Khairul beritahu, dia terpaksa menyewa rumah dekat tempat kerja untuk memudahkan dia pergi kerja tanpa terperangkap kesesakan lalu lintas. Bila pindah ke rumah sewa baru, saya ditinggalkan bersama dua orang anak angkatnya tanpa sebarang duit sara hidup.

‘‘Mulanya alasan dia pindah rumah saya fikirkan betul, rupa-rupanya itu semua bohong, kerana ramai kawannya masih boleh berulang, mereka pun tinggal di KL. Punca sebenarnya dia mahu tinggal bersama Sara. Dan rahsianya ketika itu belum terbongkar

‘‘Pada awalnya saya tak terfikir langsung perbuatan serong Khairul, sebaliknya saya kesian dia terpaksa berpindah jauh demi kerja. Ketika nak pindah saya bantu dia bayar tiga bulan permulaan sewa rumah berjumlah lebih RM2,000 serta duit saku.

‘‘Katanya, dia akan ganti duit saya, tapi janji tinggal janji, malah duit sara hidup saya dengan dua orang anak angkatnya tidak pernah diberi. Saya terpaksa tanggung. Malah pernah juga dia minta pinjam duit simpanan saya kerana sering kekeringan.

‘‘Rahsianya terbongkar selepas hampir setahun dia pindah untuk tinggal bersama Sara. Saya sedih kerana dia tidak menghargai pengorbanan saya padanya.

‘‘Selain bekerja Khairul membuat perniagaan secara berkongsi dengan kawannya, sebab itulah katanya, dia sering tidak berduit. Kerana kesiankan suami yang merayu-rayu, saya buat dua pinjaman peribadi dengan dua buah bank.

‘‘Janjinya dia akan bantu bayar pinjaman bank tetapi bohong. Sebaliknya saya ditinggalkan dengan beban hutang yang banyak di samping menjaga anak angkatnya, sementara dia bergembira dengan kekasihnya hidup macam orang kaya.

‘‘Bila hidup saya dah tersepit sering kekurangan wang dan sering diburu kerana pinjaman bank, saya baru sedar diri, saya mula buka mata melihat apa sebenarnya berlaku. Siasat punya siasat akhirnya saya dapat tahu skandalnya dengan Sara.

‘‘Tetapi sudah terlambat. Ketika rahsianya terbongkar Sara berpindah kerja ke negeri lain. Dan Khairul sering berkunjung ke rumah kekasihnya itu. Kalau setiap minggu berjumpa kekasih sudah tentu perbelanjaan hidupnya bertambah terutama harga petrol dan tol yang tinggi sekarang.

‘‘Namun saya dapat cari nombor telefon Sara. Saya telefon dia dengan baik sambil bertanya bagaimana mereka berkenalan, sejak bila dan macam mana dia boleh tersangkut. Tidakkah dia tahu dari rupa Khairul bahawa dia sudah beristeri?

‘‘Kata Sara, dia ingin berkahwin dengan Khairul kerana bersimpati dengannya setelah Khairul memberitahu dia duda setelah kematian isteri lebih lima tahun lalu. Katanya sejak itu dia tidak berkahwin, tidak mempunyai anak, kecuali dua anak angkat yang dipelihara oleh pembantu rumahnya.

‘‘Kejam sungguh Khairul sanggup dia mendakwa tidak pernah berkahwin sejak kematian isterinya. Habis saya ini siapa? Babu tukang jaga anak angkatnya? Atau perempuan simpanannya? Memang dasar lelaki tak sedar diuntung.

‘‘Kata Sara, dia tidak tahu saya isteri Khairul kerana katanya, dia tidak berkahwin sejak kematian isterinya. Apa yang selalu diceritakan oleh Khairul adalah tentang arwah isterinya yang amat dicintai. Hati saya benar-benar terluka dan hancur. Saya minta jasa baik Sara untuk bertemu dan saya berjanji tidak akan memarahinya, saya cuma mahu menceritakan apa sebenarnya berlaku dalam hidup saya dengan Khairul.

‘‘Dia bersetuju ke KL. Khairul tidak tahu yang saya tahu tembelangnya. Kami menyewa sebuah bilik hotel. Apa yang saya rancangkan betul-betul macam drama. Kemudian saya suruh Sara telefon Khairul ajak datang ke bilik hotel kami. Khairul kegembiraan dan setuju bertemu Sara.

‘‘Sementara menunggu ketibaannya, saya menunggu di luar bilik. Hancur sungguh hati saya bila melihat Khairul berjalan berpelukan dengan Sara. Namun saya terpaksa menahan kesedihan dan air mata untuk membongkar skandal Khairul kerana tidak tahan dengan pembohongannya selama ini. Saya sudah tidak boleh bersabar lagi.

‘‘Selepas lima minit, saya masuk ke dalam bilik mereka, ketika itu Khairul hanya bertuala dan sedang bersiap untuk mandi. Semua pakaiannya bertaburan di dalam bilik. Bagai tiada malu dengan Sara dan seperti mereka telah terbiasa dengan keadaan seperti itu. Mungkin hubungan mereka telah terlalu jauh daripada jangkaan saya dan Sara ada beritahu mereka merancang berkahwin awal tahun ini. Dan semua keperluan telah dibeli.

‘‘Khairul terkejut melihat saya terpacak di pintu bilik hotel. Dia mengamuk sambil mengugut terjun ke bawah. Dia betul-betul macam orang hilang akal. Mungkin juga dia malu pembohongannya selama ini sudah terbongkar. Dia malu pada saya dan Sara.

‘‘Saya suruh dia duduk dan beritahu kami apa keputusannya, tetapi dia terus memakai pakaiannya dan lari keluar bilik tanpa kasut. Saya minta dia jelaskan tentang hubungannya dengan Sara dan apa kesudahannya dengan hidup saya bersama anak angkat. Tetapi hingga kini sudah lebih empat bulan berlalu tiada jawapan. Dia boleh melarikan diri kerana dia tinggal di rumah sewanya.

‘‘Hingga kini hubungan kami belum pulih dan hati saya masih terluka dengan peristiwa di bilik hotel itu. Kalau nak diikutkan banyak lagi peristiwa yang menyakitkan. Saya runsing dan kecewa. Saya tahu, dahulu saya jadi orang ketiga dalam rumah tangganya, hinggalah kami bernikah, tapi saya tak mahu perkara yang sama berulang kerana Khairul tidak mampu. Saya tak mahu tanggung hutang yang ditinggalkannya.

‘‘Dan lebih penting saya tidak mahu menanggung dan menjaga anak-anak angkatnya yang semakin dewasa kerana adalah tidak manis apabila Khairul tidak ada di samping saya. Lagipun berapa lama saya mesti bersabar dengan perbuatan kaki perempuan serta tinggalkan saya dengan beban hutang?’’ demikian cerita Maslina.

Agaknya ini yang dikatakan orang tua- tua, bila kita mengambil hak orang jangan lupa apabila hak kita akan diambil orang lain pula. Memang jodoh pertemuan ditentukan Allah tetapi mesti ingat jangan berkokok gembira bila berada di puncak, kerana setiap yang di atas akan ke bawah juga. Inilah hukum alam yang kita mesti tempuhi dan sebagai hamba Allah kita mestilah menerima ketentuan Allah.

Kepada Maslina, di tangan anda terletak keputusan bukan kepada cita rasa atau tunjuk ajar orang lain. Anda penentu masa depan anda. Buruk dan baiknya terletak di bahu anda. Fikir sebaiknya sebelum bertindak atau berserah kepada Allah.

– MAIMUNAH

http://www.dcckmona.com

dcckmonaum@hotmail.com

4 thoughts on “Drama perangkap suami di bilik hotel

  1. Saya cukup simpati dengan nasib Maslina. Memang perit dan mengecewakan melihat org yang kita sayang curang dan berbuat kejahatan pada kita. Yang paling menyedihkan apabila orng yang kita sayang tidak menghargai kita selama perkahwinannya dgn kita. Sekarang ini semua keputusan terletak ditangan maslina. Berkorban pun ada hadnya. Janganlah sampai diri kita terkorban. dahla berkorban kemudian dibenci orang pula. Saya bukanlah menghasut tetapi berfikirlah adalah berbaloi semua pergorbanan itu. Tetapi yg sebaiknya pulanglah kembali kejalan Allah. Buat sunat Taubat dan Istikarah. Moga tuhan buka petunjuk. Memang org hanya boleh melihat dan menasihat tetapi yang menanggungnya tuhan aja yg tahu peritnya. Bersabarlah. Allah sentiasa bersama org2 yang bersabar. Percayalah pada-Nya.

  2. DOSA PAHALA SUAMI, ISTERI DAN MADU

    SOALAN:Suami saya berkahwin lagi satu tanpa pengetahuan saya. Hanya selepas dua tahun, saya dapat tahu. Saya sama sekali tidak rela. Selama ini saya menumpahkan kasih sayang, berkorban untuknya dan keluarga tetapi dia mengkhianatinya. Saya sentiasa mengawasinya dan tidak membenarkannya ke rumah isteri muda dan dia tidak pernah tidur di rumah isteri muda.

    Saya pernah menemui bomoh untuk mengatasi masalah ini dan saya dapati suami saya takut dengan saya. Adakah suami saya berdosa kerana tidak tidur di rumah isteri mudanya? Untuk pengetahuan ustaz, saya baru balik daripada menunaikan umrah.

    – AZURA, Batang Berjuntai.

    JAWAPAN:

    Allah s.w.t menyuruh agar seorang lelaki itu berkahwin dengan perempuan yang baik-baik, dua, tiga atau empat orang isteri. Sekiranya seorang lelaki itu takut atau bimbang tidak berupaya bersikap adil, Allah menyuruh agar mengahwini seorang perempuan sahaja.

    Maksud adil di sini iaitu kepada lelaki yang diharuskan berkahwin itu adalah adil menyediakan nafkah, penyediaan makan minum isteri atau isteri-isteri yang dikahwini, anak-anak yang bakal dilahirkan, menyediakan pakaian, tempat tinggal, termasuk giliran bertemu, pergi ke rumah isteri-isteri yang dikahwini.

    Disyaratkan sedemikian rupa kerana keadilan zahiriah itu adalah sesuatu yang dapat dilakukan oleh manusia biasa. Namun keadilan yang berkaitan dengan kasih sayang, cinta dan seumpamanya adalah di luar keupayaan manusia untuk berlaku adil ataupun saksama.

    Jelasnya Islam mengharuskan seorang lelaki itu berkahwin lebih daripada seorang perempuan yang diistilahkan sebagai poligami. Keharusan yang diberi oleh syariat adalah keharusan bersyarat, iaitu adil seperti yang dijelaskan.

    Biarpun kebanyakan orang, iaitu orang Islam memahami juga menyedari keharusan tersebut, tetapi kebanyakan isteri tidak rela dimadu atau lebih jelas tidak rela suaminya berkahwin lagi kerana:

    1) Ia adalah tabiat semula jadi manusia.

    2) Sebahagian daripadanya tidak faham atau tidak menghayati bahawa keharusan bagi lelaki berkahwin lebih daripada satu itu adalah ketentuan Allah.

    3) Kebanyakan lelaki atau suami tidak berupaya menunaikan tanggungjawab terhadap isteri-isteri yang telah dinikahi, terutamanya yang berkaitan dengan giliran, pemberian nafkah, tempat kediaman, persekolahan anak-anak dan sebagainya. Hal demikian terlalu membimbangkan para isteri yang dimadukan atau bakal dimadukan.

    Keadaan atau latar belakang seperti ini menjadi seumpama gawat apabila jabatan-jabatan agama yang diberi tanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir hal-hal yang berkaitan dengan kekeluargaan, gagal untuk bertindak, mengatasi masalah yang timbul akibat ketidakadilan suami yang mempunyai isteri lebih daripada satu tadi, terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan nafkah.

    Fenomena ini berlaku akibat daripada sebab-sebab yang saling berkait, kekurangan kakitangan, kekurangan pengalaman atau latihan, tidak mempunyai visi yang jelas dan sebagainya. Fenomena seumpama ini secara tidak langsung menggalakkan lelaki seumpama ini bertindak sewenang-wenangnya tanpa ada hukuman yang jelas, lepas daripada tanggungjawab dan sebagainya menyebabkan pelbagai masalah dihadapi oleh isteri-isteri yang teraniaya.

    Mereka tidak takutkan balasan Allah. Mereka telah melakukan sesuatu yang diharuskan, tetapi melanggar syarat-syarat yang ditetapkan terhadap keharusan tersebut.

    Keharusan ini adalah keharusan bersyarat. Kerana itu apabila syarat tersebut tidak dipenuhi, maka keharusan tersebut tidak ada padanya. Kerana itu, lelaki atau suami yang bertindak sedemikian, telah melakukan dosa. Atas pengalaman yang banyak berlaku dalam masyarakat seperti inilah maka kaum wanita terlalu takut untuk dimadukan.

    Poligami adalah keharusan yang ditetapkan oleh Allah kerana tidak adanya jalan keluar, selain daripada berpoligami atau berkahwin lagi. Seorang isteri contohnya, yang tua, uzur atau sakit yang tidak berupaya melayani kehendak batin suaminya, adalah wajar baginya merelakan suaminya yang masih mempunyai nafsu dan mempunyai sifat adil untuk berkahwin lagi.

    Dalam keadaan tertentu, contohnya selepas berlaku peperangan, bencana alam menyebabkan bilangan perempuan banyak, tidak mendapat pembelaan atau perlindungan, adalah wajar bagi kaum lelaki melindungi mereka, termasuk anak-anak yang terbiar. Caranya ialah dengan mengahwininya.

    Sesetengah lelaki mempunyai nafsu yang kuat berbanding dengan lelaki biasa, menyebabkan isteri yang sedia ada tidak berupaya melayani nafsu suaminya. Dalam keadaan seperti ini lelaki berkenaan layak untuk berkahwin lagi dengan syarat sifat adil itu ada pada dirinya.

    Sekiranya lelaki berkenaan tidak dibenarkan berkahwin lagi, padahal nafsunya selalu membara, berkemungkinan dia akan melakukan perzinaan dengan perempuan simpanan, dengan teman-teman atau melanggani pelacur-pelacur. Kerana itu adalah wajar dan dapat diterima akal sekiranya lelaki atau suami seperti ini dibenarkan berkahwin lagi dengan syarat yang jelas.

    Contoh-contoh di atas hanya merupakan sebahagian daripada fenomena yang mengharuskan seorang suami itu berkahwin lagi. Bagi orang yang seumpama ini jalan keluar tidak ada kecuali dengan berkahwin lagi satu.

    Seorang lelaki yang terdorong untuk berkahwin lagi, tetapi disekat atau ditahan, dia akan terus bertindak untuk melaksanakan hasrat yang sentiasa membara, kalau keizinan isteri itu diwajibkan, berkemungkinan dia akan mencuri cap jari isteri ketika tidur, memujuk, menguliti lalu si isteri menurunkan tandatangan tanpa menyedari borang yang ditandatangani ialah tanda keizinan berkahwin lagi.

    Jelasnya mewajibkan seorang isteri bagi seorang suami melalui pernikahan itu adalah tidak praktikal, biarpun berpoligami itu bukan merupakan satu idaman kebanyakan lelaki. Biar dalam keadaan apa sekalipun, sekiranya seorang suami itu dihalang berpoligami, si suami akan menganggap bahawa isterinya merupakan penghalang untuk berkahwin lagi. Dengan demikian kasih sayang itu akan terhakis daripada pasangan ini dan dia berkemungkinan akan mencari jalan keluar yang menyalahi undang-undang.

    Di Malaysia perkara ini berlaku hingga sekarang. Amalan nikah lari di sempadan yang jelasnya menimbulkan pelbagai masalah, terutamanya kepada pasangan perempuan terus-menerus berlaku. Ada pula yang berkahwin menggunakan wali bapa, abang kandung dan sebagainya tanpa merujuk ke pejabat agama atau didaftarkan menurut lazimnya. Kahwin di sempadan menjadi seumpama satu kemelut yang tidak berpenghujung yang dibiarkan sehingga sekarang ini, kerana perkahwinan di sempadan itu menjadi seumpama satu eskapisme.

    Tidak kira di mana perkahwinan itu dilakukan, dengan izin isteri atau tidak, atau hanya diizinkan oleh Mahkamah Syariah, apabila dia cukup syarat-syaratnya maka sahlah pernikahan tersebut. Dengan demikian, isteri yang baru dinikahi itu adalah menjadi isteri kepada lelaki yang telah sedia mempunyai isteri, seorang, dua orang atau tiga orang.

    Dalam keadaan seperti ini, perempuan yang baru dinikahi itu adalah isteri yang sah. Sebagai isteri, dia mempunyai hak di sisi undang-undang, hak nafkah, perlindungan kediaman, pakaian dan sebagainya termasuk gilirannya.

    Dalam situasi seperti ini, kedudukan isteri-isteri adalah sama, tidak kira sama ada dia isteri tua atau muda, isteri ketiga atau keempat. Dan apabila hak tersebut tidak dapat dinikmati oleh mana-mana pihak akibat daripada pihak yang satu lagi atau lebih jelas diperkatakan bahawa isteri muda itu tidak mendapat gilirannya kerana puan sentiasa mengawasi pergerakan si suami puan, hakikatnya telah melakukan kezaliman, menyekat hak yang sewajarnya dimiliki oleh madu puan.

    Rasulullah pernah bertanya kepada sahabat-sahabat tentang orang yang dianggap bankrap. Di antara sahabat menjawab menyatakan orang yang bankrap itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta.

    Baginda menjelaskan pendapat itu tidak tepat. Orang yang bankrap itu ialah mereka yang pada hari kiamat kelak dibangkitkan oleh Allah berhimpun di padang mahsyar.

    Bersama mereka ialah pahala hasil daripada ibadah sembahyang, pahala zakat, pahala puasa dan sebagainya. Ketika diadakan timbang tara atau hisab akan datang mereka yang menuntut, iaitu mereka yang dizalimi ketika hidup di dunia.

    Akan datang menuntut di hadapan Allah mereka yang kena maki cela, yang kena bunuh, kena umpat dan sebagainya. Allah akan menyempurnakan segala tuntutan mereka dengan mengambil pahala kebajikan yang dilakukan di dunia kepada mereka yang menuntut. Tuntutan ini adalah umum. Allah Maha Adil lagi Maha Mengetahui.

    Mengenai kes puan, sekiranya madu puan tidak puas hati atau tidak reda terhadap tindak- tanduk puan di dunia, dia akan menuntut haknya, iaitu hak giliran suami yang puan tahan dan sentiasa intai-intai. Lalu sebahagian daripada pahala puan itu diberikan kepada madu puan yang puan zalimi tadi.

    Sekiranya kezaliman yang dilakukan oleh seseorang itu banyak, maka banyaklah mereka yang menuntut. Apabila pahala milik orang yang kena tuntut itu habis, padahal tuntutan masih berlaku akibat kezaliman yang dilakukan banyak, maka Allah akan mengambil dosa orang yang menuntut tadi dan dipertanggungjawabkan ke atas orang yang kena tuntut lalu akhirnya orang ini dimasukkan ke dalam neraka jahanam.

    Inilah sebenar-benar orang yang bankrap, padahal ketika mula berada di padang mahsyar, dia mempunyai pahala, lalu akhirnya dia dicampakkan ke dalam neraka.

    Orang yang banyak melakukan dosa ketika hidup, tidak ubah seperti orang yang banyak hutang. Untuk melangsaikan hutang, sesetengah orang terpaksa bekerja keras, apabila dapat wang, wang itu digunakan untuk membayar hutang yang ditanggung, tidak kira hutang yang baru atau hutang lapuk.

    Semakin banyak seseorang itu melakukan dosa, maka semakin banyaklah dia perlu menghapuskan dosanya, iaitu dengan memperbanyakkan kebajikan. Untuk menjadi penghuni syurga, pahala yang dimiliki oleh seseorang itu perlu mengatasi dosa atau kejahatan yang dilakukan. Tidak ada gunanya seseorang itu memperbanyakkan amal ibadah atau kebajikan, tetapi dalam masa yang sama dia melakukan dosa yang lebih banyak daripada pahala yang dicari melalui ibadah tadi.

    Orang yang bijak ialah mereka yang melakukan ibadah sederhana dan dalam masa yang sama mengurangkan dosa, namun mereka yang pintar ialah orang yang berupaya memperbanyakkan ibadah dan dalam masa yang sama mengurangkan kegiatan yang menyebabkan tanggungan dosa.

    Menemui bomoh atau melibatkan ilmu penunduk seperti puan lakukan, menjadikan suami takut atau tunduk kepada isterinya ini menyebabkan rumah tangga akan menjadi kelam-kabut seumpama tidak terkawal.

    Suami puan berdosa kerana zalim kepada isteri mudanya. Puan berdosa kerana menjadi punca utama suami melakukan dosa. Perbuatan puan menundukkan suami, menyebabkan suami takut itu diistilahkan sebagai “tiwalah”.

    Amalan tiwalah menyebabkan syirik. Demikian keterangan hadis yang perlu difahami untuk dijadikan pedoman mereka yang terlibat dengan amalan seperti ini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s