Keluarga kucar-kacir anak-anak hancur

Kisah kali ini berkaitan keluhan seorang anak perempuan yang hampir membunuh diri kerana gagal bercinta. Semuanya gara-gara kehidupannya yang tidak aman terutama hubungan ibu bapanya yang tidak sehaluan dan rumah tangga tidak aman. Kerana cintakan kedamaian, dia ingin keluar dari keluarganya dengan mencintai lelaki lain.

Harapannya apabila berkahwin nanti, lara kehidupannya akan padam dan dia bahagia bersama suami dan keluarga sendiri. Tetapi dia kecundang.

Demikian cerita Dewina dalam e-mel yang dikirimkan kepada penulis dan ketika kami berhubung melalui telefon.

“Kehidupan zaman remaja saya tidak seindah remaja lain. Keluarga kami tidak bahagia. Mak dan ayah selalu bertikam lidah. Sejak umur saya 13 tahun, tak pernah saya nampak mak dan ayah tidur sebilik. Mak dan ayah mempunyai perangai yang sukar dimengertikan.

“Mereka selalu gaduh, bila gaduh menakutkan, pinggan mangkuk, pisau parang semua terbang. Kami lari tungganglanggang selamatkan diri beritahu nenek. Neneklah jadi pendamai. Mak jadi ketua keluarga menguruskan kewangan keluarga. Ayah pak turut aja.

“Tapi bukan mak nak jadi ketua, kerana ayah memang tak layak. Ayah 24 jam duduk mesyuarat di kedai kopi. Mesyuarat PIBG tak pergi. Ayah memang jenis katak bawah tempurung. Mak jenis tahu agama, dia ajar kami mengaji sampai khatam Quran. Ayah ke masjid pun liat.

“Kakak duduk asrama, abang lari duduk rumah saudara. Tinggal saya dengan adik. Apa-apa hal kami jadi mangsa. Mak sibuk dengan jualan langsung, ayah sibuk dengan dam haji pagi petang, siang malam. Kami main kat rumah jiran, makan kat rumah nenek. Tak pernah dibelai.

“Kakak memang pandai, dapat masuk U. Ayah selalu bandingkan kami dengan anak-anak jiran yang rajin ke bendang. Sebenarnya kami pun ke bendang tapi ayah tak peduli pun. Kerja sekolah, saya siapkan di sekolah sebelum balik, sebab kat rumah tak ada masa nak buat. Abang kerana bosan dengan sikap ayah, dia tak mahu belajar dan pergi kerja kilang.

“Setiap kali peperiksaan, keputusan saya terbaik. Result SPM, pun baik tapi saya tak tahu di mana silapnya saya tak dapat masuk U pada awalnya. Apa lagi ayah kutuk habis-habisan sebab dia malu dengan anak-anak saudaranya semua masuk U. Lepas tu setahun ayah tak cakap dengan saya sebab malu dengan adikberadiknya.

“Ayah puji kakak kerana masuk U, tapi dengan saya semakin sakan dia maki anak setanlah, anak anjinglah terutama bila emak cuba bela saya. Mak jarang marah, tapi moodnya tak boleh baca. Kalau mak marah, apa saja di tangannya terbang melayang. Sebab itu saya tak boleh berkongsi masalah dengannya. Mak pernah kejar kami dengan parang kalau kami bertengkar.

“Tapi mak jenis rajin bekerja, tak kedekut minta duit beli buku. Tapi kalau ayah dengar kami minta duit, mulalah berleter berjela-jela kalah orang perempuan. Tension betul. Akibatnya abang jadi penagih dadah. Bila mak ayah tak ada, dia bawa balik kawan-kawan menagih kat rumah. Pernah rumah kami kena serbu polis.

“Sebiji macam polis serbu rumah orang dalam televisyen. Habis digeledah. Bilik saya pun kena. Mak dan ayah mengamuk sakan. Bila abang pergi surau, tok imam perli-perli. Yalah, bimbang kut tabung masjid hilang. Ayah anggap abang seteru nombor satunya. Langsung tak bertegur sapa. Bila abang berubah, ayah kata, abang buat-buat baik.

“Saya kasihan juga kat abang. Sejahat-jahat dia, dia tak mencuri hak orang lain. Abang cukup tertekan. Jika ada kecurian dalam kampung, orang tuduh dia. Sebelum saya masuk U abang cakap dia mungkin tak hidup lama. Dapat HIV.

“Saya seronok dapat masuk U, jauh daripada emak dan ayah, dapat berdikari, tak perlu tengok mak ayah gaduh-gaduh lagi. Beberapa semester kemudian saya mengenali Azman. Kawan-kawan saya ramai dah berpunya. Saya pun teringin mengenali cinta. Maklumlah orang hodoh macam saya siapa yang nak. Pendek cerita, Azman tidak kisah kehodohan saya. Yang penting hati budi katanya. Dia bukan pelajar, cuma pekerja biasa aja. Saya pula tak memilih, sebab nak keluar dari rumah emak. Beberapa kali Azman bawa saya balik ke rumahnya. Keluarganya nampak bahagia. Ayahnya selalu jenguk saya di kolej.

“Azman nampak matang. Tetapi perangai macam budak-budak. Selalu merajuk, cemburu. Saya sering dimarahi sekiranya ada study group dengan pelajar lelaki. Depan orang pun dia maki saya. Tapi saya sabar sebab sayang kat dia. Dia mahu siang malam berkepit dengan dia.

“Saya pula tak suka macam tu. Setiap kali berjumpa saya bawa teman. Romantik dalam telefon ajalah. Tapi perangai buruknya jenis ringan tangan. Beberapa kali dia tampar saya jika ingkar. Dia tuduh saya kaki jantan.

“Akibatnya ramai kawan mengelak mendekati saya sebab takutkan Azman. Dia bergayut setiap malam. Sedangkan saya sibuk, kalau tak angkat telefon masa dia call saya dalam kelas akibatnya dia takkan jumpa saya. Merajuk. Memang saya bodoh menyintai lelaki macam tu. Tapi saya buta dengan cinta palsunya. Dia nak tumpang PTPTN saya aja.

“Hubungan kami macam retak tunggu belah. Dia tak benarkan saya balik kampung melihat abang yang nazak. Alasannya saya janji nak makan dengan dia. Saya tetap balik kampung dan abang meninggal sebaik saya sampai.

“Bila balik ke U beberapa kali saya hubunginya, dia tak jawab. Namun Allah maha besar. Saya nampak dia berkepit dengan perempuan lain di pasar malam. Kerana marah, saya tak sedar redah jalan raya hampir dilanggar kereta. Saya memang tak sedar apa yang saya buat. Mati pun matilah. Saya tak sangka dia lukai hati saya, setelah duit saya dikikisnya.

“Fikiran saya bercelaru. Result semester jatuh teruk. Maklumlah tak ada mood nak study. Saya mengadu pada kawankawan. Reaksi mereka mempamerkan insan seperti saya tak layak bercinta.

“Dua bulan berlalu. Ketika dalam semester akhir, saya lebih tertekan, mustahil semester akhir saya dapat semua A. Saya memang nak mati. Nak jadi cerita ketika itulah Hazrul telefon saya kerana tersalah nombor. Kerana ketika itu fikiran tak betul saya ceritakan masalah saya padanya, dia nasihatkan saya bersabar.

“Masa itu hidup saya bercelaru. Kekasih Azman selalu telefon bertanya hubungan saya dengan Azman. Bila saya ceritakan yang sebenar, Azman maki saya. Dia ugut nak pukul saya. Kerana takut saya jarang-jarang ke kuliah.

“Satu malam dia telefon saya pukul 1 pagi. Dia maki hamun dan mengugut kalau hubungan dengan kekasihnya putus, dia akan hancurkan hidup saya. Saya ketakutan, akhirnya saya telan 16 biji pil tidur. Sambil lelapkan mata saya mengucap kalimah syahadah.

“Tiba-tiba saya terjaga. Badan terasa panas. Tekak bagaikan nak pecah. Terasa nak muntah tapi tidak keluar. Dahaga, panas. Saya cuba bangun tapi terjatuh. Terasa seksaan yang amat. Pandangan menjadi kabur. Saya gagahkan diri ke bilik air. Tujuh kali saya jatuh. Saya tadahkan mulut di paip air untuk membasahkan kerongkong.

“Segala-galanya terpampang di depan mata. Teringatkan air mata ibu mengalir hari pertama saya di U. Teringatkan tangisan ibu yang kehilangan abang. Saya bertaubat. Saya tak boleh mati. Kenapa saya mesti mati kerana lelaki tak berguna tu? Saya gagahkan ambil air sembahyang dan sembahyang sunat taubat sambil berbaring.

“Kawan rapat saya datang ke bilik sebab dua hari tak ke kuliah. Saya ceritakan segala-galanya. Mereka belikan air buahbuahan segar untuk kurangkan sakit. Pandangan saya kabur, kepala berat, saya terbaring di katil. Ketika itu Hazrul telefon. Dia sedih mendengar cerita saya.

“Hazrul ajak saya kahwin. Dia boleh bagi kebahagiaan. Saya terdiam, terdesak dan kesunyian. Namun berkat perkahwinan kami, kehidupan saya berubah. Hazrul banyak memberi semangat. Sebulan kemudian saya mengandung. Tapi semangat untuk meneruskan pelajaran tetap tinggi. Saya berjaya dengan cemerlang pada semester tersebut dan dapat gred kelas kedua atas.

“Dulu emosi saya selalu terganggu. Saya berdendam dengan Azman. Tapi Hazrul kata, saya tidak akan bahagia jika berdendam. Lupakan. Hati takkan tenang dengan berdendam.

“Hazrul puas jika saya cantik, masa saya kurus 34kg saja, dia bagi saya minum susu, berat bertambah 5kg masa kahwin. Muka berjerawat dia bawa jumpa doktor dan belikan kosmetik. Gigi jarang pun dia suruh buat rawatan. Hinggakan saya tak percaya apa yang saya miliki kini. Saya sungguh bahagia ditambah dengan kehadiran dua orang anak. Sehingga ini saya belum bekerja, tunggulah anak-anak besar sikit lagi.

“Hazrul melayan saya dengan baik. Ibu bapanya bahagia, sayangnya kebahagiaan tidak pernah wujud dalam keluarga saya. Kepada adik-adik di luar sana, jangan ambil jalan pintas untuk membunuh diri sekiranya ada masalah. Di sebalik kepahitan ada kebahagiaan.

“Allah maha adil, bila kita bersabar dengan musibah, dia akan memberikan kebahagiaan yang kita tidak jangkakan. Kini keluarga saya pun nampak bahagia, mak dan ayah sudah pergi haji. Mereka sudah berbaik-baik. Mungkin kematian abang menginsafkan mereka.

“Oleh itu, jangan bunuh diri, ingat masih ada kebahagiaan hari esok. Nasihat kepada ibu bapa agar menjadi kawan kepada anak-anak. Paling tidak mereka ada tempat untuk mengadu.”

Begitulah cerita Dewina. Seperti kata Dewina, masalahnya bermula kerana ibu bapanya yang tidak sehaluan. Jadi dia mahu keluar dari masalah itu dengan bercinta yang akan berakhir dengan perkahwinan. Tetapi dia kecundang.

Demikian impian anak yang tidak senang dengan kehidupan ibu bapanya. Tetapi ramai ibu bapa tidak tahu perasaan anak-anak, bertindak sesuka hati akhirnya anak menjadi mangsa. Oleh itu fikirkan masa depan anak-anak jangan bertindak ikut perasaan.

– MAIMUNAH (www.dcckmona.com dcckmonaum@hotmail.com)

Rujukan: Utusan Malaysia

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s