Ucap ‘I love you’ setiap hari

HARI Kekasih tahun ini cukup bermakna buat pasangan yang mengasaskan barangan kosmetik jenama Aura Seri iaitu Dr. Ibrahim Ahmad dan isteri, Nor Zaina Ghani atau lebih dikenali sebagai Puan Ira. Mengapa? Hari ini adalah ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10.

Pengertian cinta buat Ibrahim yang melewati usia 42 tahun ialah bagaimana untuk mantapkan lagi hubungan dengan ahli keluarga, tahap ekonomi dan lebih romantik.

Romantik bagi Ibrahim bukannya merengek-rengek untuk mendapatkan perhatian pasangan, tetapi dengan meluangkan masa berkualiti bersama isteri dan anak-anak.

“Ucapan cinta perlu dilafazkan setiap hari. Bangun tidur, tengok wajah isteri, kucup dahinya dan katakan, I love u. Itu memang wajiblah. Melewati usia 40-an, penting juga untuk kekalkan rasa cinta bagi diseimbangkan dengan peningkatan kerjaya.

“Selain itu, perlu ada sentuhan seperti pelukan atau pegang tangannya. Sebabnya, ada masa kita mungkin terlalu sibuk dan tiada mood untuk ucap I love u, jadi sentuhan itu memadai,” katanya yang dikurniakan dua orang cahaya mata.

Menurut Ibrahim, tidak sukar untuk mengekalkan kehangatan cinta terhadap pasangan sekiranya kita tahu memisahkan emosi dengan situasi. Selain itu, kalau boleh sentiasa bersama ke mana jua. Pendek kata, macam belangkas.

“Bergaduh kecil-kecil itu biasalah, tetapi alhamdulillah ‘frekuensi’ saya dan isteri sentiasa selari. Kalau timbul salah faham, saya akan ingat kembali segala perkara baik dan kelebihan yang ada pada isteri,” jelasnya.

Perasaan cinta sepatutnya lebih mendalam dengan panjangnya masa sesuatu hubungan itu terjalin. Sebabnya, ketika bercinta setiap orang baru hendak mengenali pasangan masing-masing.

Namun, setelah berkahwin dan mempunyai anak-anak, pasangan sepatutnya lebih mengenali hati budi suami atau isteri.

“Semasa muda, tidak banyak perkara serius yang kita fikirkan. Tidak fikir masalah, kehidupan atau keluarga, selain diri sendiri dan orang yang kita sayang. Tidak ada fokus.

“Sebaik sahaja berkahwin, tumpuan itu berubah untuk mengekalkan hubungan tersebut. Kita akan mula berfikir tentang masa depan keluarga dan anak-anak. Memang kadangkala kita mungkin terlepas pandang, sebab itulah pentingnya mencipta cinta.

“Saya mahukan kesetiaan dan perhatian. Saya juga berpendapat kita perlu mencipta dan mencari cinta kerana jika dibiarkan begitu sahaja, tidak mustahil cinta boleh hilang,” kata Ira, 31, bersungguh-sungguh.

Sesuatu yang bersifat dalaman dan tidak boleh dibuat-buat, perasaan cinta yang ada dalam diri mesti ikhlas. Ia tidak sesukar mana jika seseorang itu mahukan, begitulah sebaliknya.

Cuma masalahnya kebanyakan orang ialah mereka malu untuk meluahkan rasa cinta terhadap pasangan.

“Hendak ucapkan I love u pun malu, sedangkan sudah menjadi suami isteri. Mereka beranggapan, tidak payah susah-susah nak cakap sayang atau sebagainya, panggil I dan U pun dah cukup. Percaya atau tidak, panggilan itu memainkan peranan.

“Cara orang lelaki dan perempuan mengekspresi cinta berbeza. Lelaki mungkin jarang menunjukkan rasa cinta secara terlalu terbuka, mereka ada ego. Perempuan pula tidak kisah untuk menunjukkan perasaan cinta mereka kepada pasangan. Bagi saya, cinta mesti ditonjolkan. Bagaimana caranya, bergantung kepada kreativiti individu,” katanya lagi.

Berkahwin pada usia 20 tahun, Ira mengakui bahawa dia berpuas hati dan bersyukur dengan perkahwinannya sekarang. Biarpun pada peringkat awalnya agak ragu-ragu untuk berkahwin dengan lelaki yang 11 tahun lebih tua daripadanya.

Buat pasangan yang masih baru dalam dunia perkahwinan, ada pesan daripada pasangan ini.

“Tengok semua perkara dari aspek positif, rasional dan bersifat terbuka. Kekalkan keintiman sebaik mungkin. Mereka juga perlu berusaha untuk memantapkan ekonomi keluarga kerana boleh menjadi punca utama kepada keretakan hubungan rumah tangga.

“Lagi pun, cinta perlukan jaminan kerana ia satu perasaan yang pasti. Jadi, saya mahu membina sesuatu yang dapat dikenang oleh isteri sepanjang hayatnya,” kata Ibrahim menutup bicara. – AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

2 thoughts on “Ucap ‘I love you’ setiap hari

  1. KENAPA PERKAHWINAN DENGAN LEBIH DARI SATU PEREMPUAN DIBENARKAN DI DALAM ISLAM?

    Islam adalah perkataan Allah Subhanahua Taala yang penghabisan dan terakhir, siri yang terakhir dari utusan-utusanNya untuk seluruh manusia. Oleh yang demikian ianya telah datang dengan membawa undang-undang (hukum-hukum) umum yang bersesuaian dengan setiap masa, tempat dan untuk kemanusiaan sejagat.

    Undang-undang Islam bukan sahaja untuk penduduk-penduduk kota dengan mengabaikan penduduk-penduduk nomad yang berpindah-randah, bukan sahaja untuk kawasan-kawasan yang beriklim sejuk dengan mengabaikan kawasan-kawasan yang beriklim panas, bukan pula untuk satu-satu masa yang tertentu sahaja dengan melupakan masa hadapan dan generasi yang akan datang.

    Islam mengiktiraf keperluan-keperluan dan kecenderungan-kecenderungan semua golongan manusia samada individu ataupun berkumpulan. Di kalangan manusia ada individu yang mempunyai keinginan yang kuat untuk mempunyai anak-anak tetapi memiliki isteri yang mandul (tidak boleh melahirkan anak), berpenyakit kronik, atau mempunyai masalah-masalah kesihatan yang lain. Tidakkah ianya menjadi lebih bertimbangrasa di pihak isteri dan lebih baik bagi pihak suami sekiranya suami berkahwin dua di mana isteri kedua boleh melahirkan anak-anaknya, di samping masih mengekalkan isteri yang pertama dengan jaminan bahawa segala hak-hak isteri pertama tetap ditunaikan?

    Kemudian terdapat juga keadaan di mana seseorang lelaki yang mempunyai keinginan nafsu seks yang kuat di mana isterinya mempunyai keinginan nafsu seks yang kurang, atau isterinya berpenyakit kronik, mempunyai masa haid yang panjang, atau seumpamanya walhal suaminya tidak dapat menahan kehendak seksualnya yang bergelojak. Manakah yang lebih patut bagi suami; berkahwin dua atau berpoya-poya dengan wanita (wanita yang tidak halal bagi si suami)?

    Berlaku juga keadaan di mana jumlah wanita melebihi lelaki seperti selepas berlakunya peperangan terdapat keadaan di mana jumlah lelaki berkurangan. Dalam situasi sebegini, bagi kepentingan masyarakat dan wanita-wanita itu sendiri adalah lebih baik bagi mereka; menjadi isteri-isteri (kedua, ketiga atau keempat) kepada lelaki daripada menghabiskan keseluruhan hidup mereka dengan tidak berkahwin, daripada hati tidak merasa tenteram, daripada tidak mendapat kasih sayang dan daripada tidak mendapat perlindungan kehidupan berkeluarga dan juga daripada tidak menikmati atau mengalami naluri keibuan (sifat mengasihi dan ingin dikasihi oleh seseorang yang disayangi seperti anak-anak atau suami) di mana secara fitrahnya dimiliki oleh hati-hati mereka.

    Cuma tiga alternatif kemungkinan yang berlaku bila jumlah perempuan yang ramai di dalam masyarakat tidak berkahwin sebagai isteri pertama:

    1. mereka melalui keseluruhan hidup mereka dalam kekecewaan (penderitaan) yang amat sangat,

    2. mereka menjadi objek seks dan permainan bagi lelaki-lelaki buas (lelaki yang mementingkan kepuasan nafsu seks tanpa mengira batasan halal dan haram di dalam Islam), atau

    3. mereka menjadi isteri-isteri (samada isteri kedua, ketiga atau keempat) kepada lelaki-lelaki yang mampu berkahwin lebih dari satu isteri dan memberi layanan yang baik kepada mereka (mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh Islam). Tanpa diragukan lagi, alternatif yang terakhir (alternatif yang ke-3) itulah penyelesaian yang paling tepat, penyembuh yang mujarab bagi permasalahan ini dan itu menunjukkan keadilan di dalam sistem Islam: “Dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” (Surah Al-Maa-idah:50)

    Inilah yang dikatakan poligami di dalam Islam di mana masyarakat Barat membencinya yang amat sangat dan bertindak memusuhinya, sementara lelaki-lelaki mereka bebas memiliki seramai mana teman-teman wanita yang mereka kehendaki tanpa mengira batasan dan tanpa sebarang undang-undang atau tanggungjawab moral samada kepada pihak wanita atau kepada anak-anak yang dilahirkan oleh wanita-wanita tersebut hasil daripada banyak berlaku hubungan di luar-perkahwinan yang tidak beragama dan tidak bermoral ini. Biarlah kedua-dua alternatif ini – berbilang isteri atau berbilang hubungan yang tidak senonoh (tidak halal menurut syarak) – dibandingkan, dan biarlah masyarakat menilai manakah tindakan yang wajar (logik) dan manakah di antara kedua-dua golongan ini mendapat petunjuk (hidayah) yang betul! Wallahu’alam.

    (Diterjemahkan dari buku “The Lawful and The Prohibited in Islam” oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s