Cik Kuntum: Biras kena tampar gara-gara gedik

ORANG kata cinta itu buta. Sukar untuk Cik Kuntum mendefinisikan apa yang dimaksudkan dengan ayat popular ini. Ada orang menganggap cinta yang tidak mengenal usia, rupa mahupun status. Ada juga yang mengatakan ia membawa maksud cinta yang lahir daripada hati yang luhur sehingga sanggup melakukan apa saja bagi merealisasikan impian dengan kekasih hati.

Tidak kira apa maksudnya, cinta agung adalah cinta sejati, cinta kepada yang Maha Esa. Tetapi, dalam konteks cinta antara manusia, Cik Kuntum lihat generasi hari ini tidak meletakkan kepentingan terhadap cinta, malah cinta seolah-olah menjadi mainan bagi mereka. Hari ini jatuh cinta dengan A, esok lusa jatuh cinta dengan si B pula.

Lebih parah, ada yang bercinta macam nak rak selama bertahun-tahun lamanya, tiba-tiba tidak jadi mendirikan mahligai impian. Ada juga yang berkahwin atas dasar cinta, tidak sampai setahun sudah bercerai.
Kali ini, Cik Kuntum bawakan kisah seorang teman lama yang mengirim e-mel kepada Cik Kuntum, baru-baru ini mengenai kepincangan dalam keluarga mentuanya. Bukan kerana pergaduhan antara Rina (bukan nama sebenar) dengan mentua, sebaliknya sikap adik iparnya yang cukup menjelikkan.

Begitu pun, bagi memastikan tiada yang terluka dengan kisah yang dibentangkan ini, beberapa cerita dan peristiwa tidak disiarkan. Malah, nama juga ditukar.

“Kuntum, bukan niat saya untuk membuka pekung di dada, tetapi kerana tidak tahan dengan sikap adik ipar yang satu ini membuatkan saya memberanikan diri menulis kepada ruangan ini.

Suami saya anak sulung daripada enam adik beradik. Selain suami, dia mempunyai seorang lagi adik lelaki (anak bongsu) dan selebihnya perempuan. Saya bersyukur kerana kehadiran saya sebagai Kak Long diterima dengan terbuka dan mendapat layanan yang begitu baik daripada mentua serta adik ipar.

Mereka jarak dua tahun, jadi hubungan mereka begitu akrab. Ketika kami berkahwin adik yang paling bongsu itu baru berusia 16 tahun (kami berkahwin ketika suami berusia 28 tahun), manakala adik kelima, Liya (bukan nama sebenar) sudah berusia 18 tahun.

Dua tahun selepas perkahwinan kami, adik suami yang kedua, Liza, berkahwin dengan jejaka dari selatan. Biar saya namakan suami A sebagai Zaki saja (bukan nama sebenar). Perkahwinan mereka juga mendapat restu daripada kedua-dua mentua saya, malah adik beradik suami juga menyukai Zaki.

Bagaimanapun, saya berasa janggal melihat Liya begitu tergedik-gedik apabila berada berhampiran Zaki. Pada mulanya saya anggap mungkin kemanjaan Liya biasa saja, maklum anak kedua bongsu.

Tetapi lama kelamaan bagai ada yang tidak kena terutama apabila melihat cara dia memandang Zaki, penuh harapan seolah-olah minta perhatian. Pernah beberapa kali saya melihat Liya merenung Zaki dari jauh dengan pandangan penuh bermakna dan ada kalanya tersenyum-senyum apabila melihat kelibat Zaki.

Sama ada saya yang perasan atau memang Liya mempunyai hati dengan Zaki. Tetapi saya buang jauh-jauh tanggapan berkenaan, apa tah pula isterinya, Liza, sedikit pun tidak kisah walaupun Liya mengada-ngada di sisi Zaki. Itu ketika mereka mula berkahwin.

Memandangkan saya dan suami tidak tinggal bersama mentua, saya kurang pasti sama ada sikap Liya masih sama. Begitu pun, memandangkan Liza dan Zaki masih menetap di rumah mentua, setiap kali balik kampung maka hati memberontak apabila melihat kemanjaan luar biasa Liya terhadap abang iparnya.

Tidak lama kemudian saya mendapat tahu Liza dan suaminya berpindah daripada rumah mentua dan menyewa tidak jauh dari situ. Kenapa mereka berpindah, saya kurang pasti. Suami pula apabila ditanya hanya mengata tidak tahu.

Hujung tahun lalu, adik suami yang ketiga, Lina (bukan nama sebenar) pula berkahwin. Jejaka pilihannya orang Pantai Timur yang memang segak orangnya. Mengingat peristiwa lalu, saya perhatikan sikap Liya yang ketara masih seperti dulu walaupun kini sudah berusia 24 tahun dan sudah bekerja di bandar berkenaan selepas tamat pengajian dari sebuah institusi pengajian tinggi (IPT).

Apa yang saya tahu, ketika di IPT dulu, dia mempunyai teman lelaki tetapi hubungan mereka tidak berkekalan. Kini beliau solo.

Jika dulu dia tergedik-gedik di samping Zaki, kali ini Liya secara terang-terangan memuja Imran (bukan nama sebenar), suami Lina. Layanannya terhadap Imran mengalahkan dia yang berkahwin dengan Imran. Siap menyenduk nasi dan lauk untuk Imran ketika kami makan bersama.

Malah, beberapa hari selepas majlis perkahwinan Lina saya perasan, beberapa kali Liya masuk ke bilik pengantin tanpa mengira waktu tanpa mengendahkan pandangan ahli keluarga lain yang menjeling melihat perbuatannya terutama Liza yang kini sudah mempunyai cahaya mata.

Semua ini saya nampak dengan jelas, tetapi memandangkan saya ‘orang luar’ sukar untuk saya menegur perbuatan Liya, apa tah pula ibu bapa mereka sedikit pun tidak bersuara. Mungkin ada yang beranggapan apa salahnya adik pengantin bermanja dengan abang ipar, tetapi bagi saya perbuatannya tidak kena tempat.

Sempena cuti umum Wilayah Persekutuan, baru-baru ini saya dan suami balik kampung kerana melawat emak mentua yang sakit. Lina dan suaminya juga pulang ke kampung menjenguk ibu mereka.

kami pulang ke kampung Khamis malam Jumaat, manakala Lina dan Imran keesokan hari. Hendak dijadikan cerita, Sabtu itu, saya, suami, Lina dan bapa mentua pergi ke hospital melawat ibu mereka, sementara Imran mengambil keputusan untuk tidak pergi kerana kami hanya menggunakan satu kereta.

Sebaik mendengar Imran tidak pergi, Liya dengan pantas memberitahu dia sakit kepala dan tidak dapat pergi. Saya agak musykil dengan sikapnya yang tiba-tiba saja mengadu pening, sedangkan sebelum itu dia sudah bersiap.

Petang itu, sebaik kami tiba di rumah Imran kelihatan begitu gelisah, sementara Liya mengunci dirinya di dalam bilik. Melihat keadaan itu, timbul rasa curiga di hati saya. Tetapi hendak meluahkan kepada suami, bimbang dimarahi kerana memandang serong kepada keluarganya.

Malam itu, saya melihat perubahan pada Lina yang tampak hambar dan tidak banyak bercakap. Kira-kira jam 10 malam, Imran mengajak suami saya keluar minum ke kedai kopi dan sekali lagi saya berasa seperti ada yang tidak kena, tetapi suami hanya berdiam diri apabila pulang ke rumah.

Keesokan harinya, saya nampak suami memanggil Liya yang mukanya pucat dan sejak semalam langsung tidak keluar dari biliknya. Walaupun hati meronta-ronta untuk mengetahui apa yang berlaku, saya diamkan diri demi menjaga maruah suami dan keluarganya.

Namun, petang itu sebelum kami pulang saya mendapat tahu daripada Lina mengenai keadaan sebenar. Rupa-rupanya, ketika kami pergi ke hospital Liya menggoda suami yang sedang tidur di dalam bilik. Terkejut dengan sikap Liya, Imran dikatakan menampar Liya dan menghalaunya.

Menurut Lina lagi, Imran meminta suami saya untuk menasihati Liya memandangkan mereka kini sekeluarga dan tidak manis apabila adik ipar sendiri berkelakuan begitu. Malah, menurut Lina lagi sikap Liya yang suka menggoda juga menjadi punca Liza dan suaminya berpindah dari rumah berkenaan dulu.

Nampaknya, benar sekali sangkaan saya, tetapi ketika balik kampung baru-baru ini saya mendapati sikap Liya masih tidak berubah. Kali ini, saya nampak dia cuba menggoda teman lelaki seorang lagi kakaknya, Lisa (adik keempat suami) yang bertandang ke rumah keluarga suami.”

Begitulah cerita teman tadi seperti yang ditulis dalam e-melnya. Sebenarnya Cik Kuntum pernah mendengar cerita sebegini, tetapi tidak sangka ia benar-benar berlaku. Kisah adik ipar jatuh cinta dengan birasnya perkara biasa, tetapi apabila sudah sampai ke tahap menggoda hingga ke bilik tidur, gerun mendengarnya.

Dulu, seorang teman Cik Kuntum pernah bercerita bagaimana suami rakannya menjalin hubungan cinta dengan adik ipar sendiri sehingga mengandung. Malu dengan kejadian berkenaan, si isteri yang juga kakak kepada wanita berkenaan mengambil keputusan bercerai dan membawa diri bersama dua anaknya ke luar negara kerana marah dengan sikap suami dan adik sendiri.

Cik Kuntum mendapat tahu biarpun dipujuk ibu bapa mereka, beliau enggan kembali ke tanah air kerana terlalu kecewa. Bayangkan adik sendiri sanggup melukakan hati kakaknya walaupun kakak berkenaanlah yang menjaga dan membiayai pelajarannya ketika menuntut di IPT dulu.

Semuanya kerana cinta. Begitu butakah cinta sehingga sanggup ‘menikam’ kakak sendiri? Entahlah, dalam kes Rina, nasib baiklah Imran dan Zaki masih waras, tidak melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap adik ipar mereka.

One thought on “Cik Kuntum: Biras kena tampar gara-gara gedik

  1. Amboi-amboi sedapnya mulut! Betul ke.?….jangan menfitnah atau buruk sangka .Padahnya kalau niat di hati tidak betul…..melemparkan tuduhan yang tidak berasas.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s