Amalan berjabat tangan satu kaedah menghidupkan sunah

MENGUCAPKAN salam dan berjabat tangan kepada sesama Muslim adalah perkara yang terpuji dan dituntut oleh Islam. Melalui amalan ini umat Islam dapat saling bersatu dan berkasih sayang antara mereka.

Di samping menunjukkan sifat tawaduk seorang Muslim, perbuatan ini juga menggambarkan kebersihan dan kesucian hati seseorang dari sifat dengki, dendam, sombong dan rasa memandang rendah orang lain. Amalan tersebut juga salah satu kaedah menghidupkan sunah Nabi Muhammad s.a.w.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidaklah bertemu dua orang Muslim kemudian berjabat tangan kecuali Allah akan mengampuni dosanya sebelum berpisah.” (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi).

Sesungguhnya Allah s.w.t memberi petunjuk kepada hamba-hambanya bahawa salah satu jalan menuju kemaslahatan hidup ialah dengan bersikap budi pekerti yang luhur terhadap sesama manusia.

Memberi hormat kepada orang lain atau membalas penghormatan dengan yang lebih baik merupakan cerminan penerapan nilai-nilai akhlak yang luhur. Dalam zaman globalisasi ini sangat sukar dibayangkan jika manusia hidup tanpa mempedulikan orang lain. Adakah kita ingin kembali kepada zaman jahiliah? Ingatlah bahawa salah satu tujuan diutus Nabi Muhammad s.a.w. adalah dalam rangka menyempurnakan akhlak manusia, sehingga manusia tidak selayaknya hidup di dalam hutan belantara yang bersifat nafsi-nafsi itu.

Manusia mempunyai berbagai cara untuk menunjukkan rasa hormat-menghormati sesama mereka. Kaum Nasrani memberi hormat dengan meletakkan tangan pada mulutnya. Kaum Yahudi memberi isyarat dengan jari tangan, sedangkan kaum Majusi memberi hormat dengan cara membongkokkan punggungnya.

Islam telah mengajar cara yang terbaik serta luhur dalam memberi penghormatan terhadap sesama manusia. Kita diajar agar mengucapkan kalimat salam apabila bertemu dan berpisah dengan seseorang. Salam merupakan bentuk penghormatan yang telah Allah tetapkan bagi kaum Mukminin. Tegur sapa sesama orang Islam ialah salam, pengakhir sembahyang mereka adalah dengan salam, sapaan mereka pada hari mereka bertemu dengan Tuhan ialah salam. Oleh itu mereka menghulurkan salam sesama mereka lalu salam menjadi perkara umum, sama ada di kalangan lelaki atau perempuan mahupun kanak-kanak.

Begitu juga berjabat tangan digalakkan dalam agama untuk melahirkan kemesraan dan kasih sayang antara umat Islam terutama apabila sesekali berjumpa. Sirah Nabawiyyah menceritakan bahawa Nabi s.a.w. apabila berjumpa sahabatnya, Baginda dahulu yang memberi salam dan berjabat tangan (yang dikenali dengan berjabat salam) dan tidak melepaskan tangannya yang mulia melainkan saudaranya melepaskan tangannya terlebih dahulu.

Dalam hal ini Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Jika seseorang – siapa pun memberimu penghormatan berupa ucapan salam, ucapan selamat, doa dan semacamnya, maka balaslah penghormatan itu dengan penghormatan yang lebih baik atau yang sama. Sebab, sesungguhnya Allah selalu memperhitungkan segala sesuatu yang kecil mahupun yang besar” (Surah An-Nisa Ayat 86).

Berjabat salam ini boleh disamakan dengan memberi salam pada hukumnya iaitu memberi salam adalah sunat dan menjawab salam adalah wajib. Demikian juga menghulurkan tangan untuk menyambut tangan yang sudah dihulurkan itu adalah wajib.

Lebih-lebih lagi tangan yang dihulurkan itu daripada mereka yang ternama dan bermaruah, kerana perbuatan tidak menyambut huluran tangan saudaranya itu sudah tentu menjatuhkan maruah dan aib saudara Muslim dan di sisi Islam itu hukumnya adalah haram.

Apa yang amat dikesalkan bila terdapat di kalangan sesetengah pemimpin Islam yang angkuh dan tidak menggambarkan kemuliaan Islam yang dianutinya itu sedikit pun kerana tidak sudi menyambut tangan kawannya (memberi salam), padahal tidak ada sebab sedikit pun untuk berbuat demikian, kerana perbezaan fahaman atau ideologi tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berjabat tangan sesama Muslim.

Sedangkan Sheikhul Al-Azhar, Dr. Sheikh Muhammad Sayyid Tantawi dalam Majlis Penganugerahan Doktor Kehormat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini menghulurkan tangannya (memberi penghormatan) untuk berjabat salam dengan Tuanku Najihah.

Kita semua tahu sekalipun berjabat tangan dengan wanita ajnabi (asing) hukumnya makruh sekiranya tiada sebab tertentu, tetapi dibolehkan dalam suasana tertentu.

Ada segelintir dari kalangan masyarakat kita hanya mengucapkan salam dan berjabat tangan dengan orang yang dikenalinya.

Mereka berasa aneh apabila ada orang yang tidak dikenali menghulurkan tangan untuk bersalam dan bertanya: ‘‘Apakah anda mengenali saya?”

Sedangkan kelakuan atau perwatakan seperti ini akan menyebabkan semakin jauhnya hati mereka, semakin merebaknya sifat akhlak yang kasar dan rendahnya sahsiah dan semakin bertambah pula perpecahan dalam masyarakat Islam.

* PENULIS berkhidmat di Bahagian Media Elektronik dan Penyiaran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

One thought on “Amalan berjabat tangan satu kaedah menghidupkan sunah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s