Isteri kedua hadapi masalah daftar kelahiran

Soalan:
SAYA berkahwin dengan suami di Narathiwat, Thailand, sebagai isteri kedua. Saya diwalikan abang sendiri. Masalahnya, kini kami tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak kerana tidak mempunyai sijil nikah. Kami diarahkan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan Perintah Pengesahan Nikah di Mahkamah Syariah, tetapi kami dapati prosesnya rumit dan lama. Bagaimanakah status perkahwinan? Apakah yang perlu kami lakukan untuk mendapatkan sijil kelahiran anak dengan kadar segera? Tidak cukupkah sijil nikah asal daripada Majlis Agama Islam Narathiwat dan surat akuan bersumpah kami untuk mempercepatkan proses pendaftaran sijil nikah itu?

Inginkan hak,
Kuala Lumpur

PERSOALAN puan menjurus kepada prosedur pengesahan pernikahan di luar negara dan mendaftarkan kelahiran anak hasil pernikahan itu. Apa yang puan lakukan sebenarnya membawa risiko dan akibat yang puan sendiri perlu tanggung sekarang.

Apabila puan nekad bernikah di luar negara tanpa kebenaran mahkamah, puan juga perlu bersedia dan nekad melalui proses pengesahan nikah di mahkamah syariah untuk mendapatkan sijil nikah di Malaysia bagi membolehkan anak puan didaftarkan kelahirannya di Malaysia.

Seksyen 12(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) menyebut sesuatu perkahwinan bersalahan dengan akta itu tidak boleh didaftarkan.

Subseksyen (2) Seksyen 12 menyatakan, tanpa menjejaskan Seksyen 40(2) mengenai penalti kesalahan, sesuatu perkahwinan itu jika sah mengikut hukum syarak boleh didaftarkan mengikut akta itu dengan perintah daripada mahkamah.

Ia bermaksud, walaupun sesuatu perkahwinan itu dilakukan tidak mengikut prosedur ditetapkan akta, tetapi ia sah mengikut hukum syarak, maka ia masih boleh didaftarkan mengikut akta ini dengan mendapatkan perintah mahkamah terlebih dulu.

Isu di sini ialah kedudukan perkahwinan puan mengikut hukum syarak. Seksyen 11 Akta 303 memperuntukkan, sesuatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, berdasarkan hukum syarak, untuk menjadikannya sah. Isu permasalahan puan adalah sama ada perkahwinan mempunyai semua syarat sah iaitu rukun perkahwinan berdasarkan hukum syarak.

Merujuk kepada rukun nikah mengikut Mazhab Syafie dalam I’a’natul Tolibin, ada lima rukun nikah iaitu adanya bakal isteri, bakal suami, wali, dua orang saksi lelaki dan sighah akad (lafaz ijab dan kabul). Dalam kes puan, rukun pertama dan kedua sudah dipenuhi.

Rukun ketiga iaitu perkahwinan dijalankan wali jika bakal isteri adalah anak dara berdasarkan hadis Rasulullah SAW diriwayatkan Aisyah bermaksud: “Tidak ada perkahwinan kecuali berwali.”

Jumhur ulama bersepakat mengatakan perkahwinan tanpa wali adalah tidak sah dan batal. Ia juga berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Siapa saja perempuan kahwin tanpa izin walinya, maka perkahwinannya batal, maka perkahwinannya batal. Kemudian, jika (suaminya) mencampurinya, maka bagi perempuan itu berhak memperoleh mahar sebab apa yang ia anggap halal daripada mencampurinya; kemudian jika mereka (wali-walinya) berselisih, maka penguasa (hakim) yang menjadi walinya.” (Hadis riwayat Imam yang lima kecuali Nasai)

Seksyen 13 Akta 303 pula memperuntukkan perkahwinan tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan melainkan kedua-dua pihak bersetuju terhadapnya sama ada (a) wali pihak perempuan sudah bersetuju terhadap perkahwinan itu berdasar hukum syarak.

Dalam isu puan ini tidak dinyatakan sama ada bapa kandung atau datuk sebelah bapa puan iaitu wali mujbir masih hidup atau tidak ketika pernikahan itu dan apakah persetujuannya sudah diperoleh. Susunan wali perlu dituruti dalam sesuatu pernikahan. Puan juga tiada menimbulkan alasan berkahwin di Thailand di mana isu ini perlu dijelaskan di mahkamah.

Rukun keempat iaitu dua orang saksi bersandarkan hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Dan daripada Imran bin Hushain dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Tidak sah nikah melainkan dengan wali dan dua orang saksi yang adil.” (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)

Rukun kelima iaitu ijab dan kabul. Merujuk kitab Al-Fiqh Al-Islamiy wa Adillatuh, lafaz mestilah membawa makna nikah contohnya, “Saya nikahkan kamu.” Perkataan nikah secara jelas membawa makna nikah dan kahwin tanpa sebarang keraguan.

Sesuatu lafaz juga mesti dalam bahasa boleh difahami orang yang berada dalam majlis terutama bakal suami, bakal isteri, wali dan dua orang saksi. Justeru, dalam isu ini semua keterangan perlu dinyatakan di hadapan hakim syarie.

Kitab Muwafaqat menjelaskan, pentaklifan syariah terhadap setiap Muslim bertujuan menjaga maqasid (tujuan) tertentu digariskan Islam. Antara maqasid terpenting ialah menjaga nasab dan keturunan.

Islam begitu mementingkan nasab dan keturunan kerana ia membabitkan hak antara satu sama lain. Justeru, maqasid syariah juga sudah menggariskan bahawa menjaga keturunan atau nasab adalah elemen mesti dan lebih diutamakan dalam isu ini supaya tidak berlaku perlanggaran hak.

Kitab Muwafaqat Fi Usulul Ahkam oleh Abi Ishak Ibrahim bin Musa menyatakan bahawa menjaga keturunan atau nasab adalah tersenarai dalam tujuan terpenting.

Status anak hasil pernikahan ini dan yang sedang membesar perlu diambil kira apabila ada kesamaran pada status pernikahan ibu bapanya. Oleh sebab itulah pentingnya pernikahan disahkan terlebih dulu bagi memastikan sememangnya anak adalah hasil pernikahan yang tulen, suci dan hakiki selari dengan tujuan syariah bagi menjaga nasab.

Jika pernikahan ini tidak sah, maka anak yang ada akan keliru dari segi nasab atau bapa mereka. Oleh itu, merujuk kepada usaha puan membawa surat akuan sumpah, sekadar surat akuan bersumpah dan sijil nikah dari luar negara bukanlah suatu proses yang tepat mengesahkan pernikahan dan nasab anak seseorang Islam.

Setiap keterangan berkaitan rukun pernikahan hendaklah didengar dan diputuskan Hakim Syarie yang berbidang kuasa. Alasan proses mahkamah yang rumit dan lama boleh diperbaiki dengan menyarankan supaya kes membabitkan pengesahan nikah dipercepatkan perbicaraannya demi menentukan nasab anak.

Namun, puan sendiri perlu mengemukakan segala dokumen dan saksi teratur serta memenuhi rukun pernikahan demi mengesahkan nasab anak untuk didaftarkan sijil kelahirannya.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang persoalan boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com

2 thoughts on “Isteri kedua hadapi masalah daftar kelahiran

  1. assalamualaikum

    saya warga thai saya ingin berkahwin dengan perempuan di malaysia.
    apakah dokuman yang perlu saya sedia…saya hendak berkahwin di malaysia dengan secara sah mengikut undang-undang malaysia…katalah saya boleh berkahwin bila anak saya dilahirkan di hospital malaysia nanti adakah anak saya boleh mendaftar untuk buat surat lahir nya….jawapan tuan penting buat saya terima kasih

  2. Assalamuailkum,

    Saya pelajar dari politeknik ingin membuat sedikit kajian tentang topik ini.

    Apakah punca2 masalah, kesan dan langkah mengatasi bagi isteri kedua menghadapai masalah daftar kelahiran.

    Saya tuan/puan dapat membantu saya. Terima kasih

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s