Kebenaran al-Quran

Bersama:MOHD. YUSOF ABAS


SOALAN: Saya terbaca dalam Internet antara lain mengatakan bahawa al-Quran menyebut bumi ini terhampar dan matahari berpusing mengelilingi bumi. Pada- hal, keadaan sebenar adalah sebaliknya sebagaimana mengikut kajian sains hari ini. Bagaimana pendapat sebenarnya?

– Taftazani Syazali, Paka,

Terengganu Darul Iman.

JAWAPAN: Biasanya propaganda seperti ini sengaja ditimbulkan untuk menggugat akidah umat Islam di samping mempertahankan agama mereka yang mulai ditinggalkan oleh manusia barat kerana sudah tidak relevan lagi. Dan ternyata ajaran al-Quran itulah yang sesuai dengan perkembangan semasa kerana ia adalah benar-benar wahyu Allah s.w.t. Ini jelas terbukti lantaran penulisannya atas arahan Rasulullah s.a.w. pada masa hidupnya dan dikumpulkan semasa khalifahnya yang pertama (Sayidina Abu Bakar) dan diedarkan kepada umat Islam, semasa khalifahnya yang ketiga (Sayidina Othman). Begitu juga hadisnya sekalipun ianya dibuku selepas itu tetapi kesahihan dan kesuciannya tetap terpelihara dengan sanadnya yang bersistematik lagi mutawatir (pertalian perawinya yang ramai), yang terdiri daripada para sahabat dan tabiin.

Berbanding dengan kitab suci lain yang dikatakan baru ditulis selepas beberapa ratus tahun wafatnya Nabi mereka. Tanpa ada sebarang sanad yang boleh dipercayai.

Sebab itu kesahihan dan kesuciannya jauh lebih rendah dari tahap kesahihan dan kesucian al-Quran dan hadis yang menjadi sumber ajaran dan pegangan umatnya (Islam). Tidak ada buku atau kitab lain yang dapat menandingi tahap kesucian dan kesahihan sumber Islam tersebut di dunia ini. Apa lagi sekiranya kitab mereka dikatakan pernah dirubah oleh tangan manusia. Firman Allah bermaksud: celakalah untuk mereka yang menulis al-Kitab, lalu berkata inilah (kitab yang mereka tulis datangnya) dari sisi Allah untuk menjualkannya (mendapatkan) dengannya harga yang sedikit. (al-Baqarah ayat 79).

Sebelum mereka mempertikaikan al-Quran dan hadis, sepatutnya kitab mereka dahulu digugurkan dengan sendirinya, kerana tidak berpijak pada nilai kesucian dan kesahihan yang bersistematik seperti al-Quran dan hadis. Ini seperti firman Allah s.w.t: Kami yang menurunkan al-Quran (dan hadis). Dan Kami Yang (menjaga dan) memeliharanya (surah al-Hijr ayat 9).

Adapun propaganda tersebut kerana mereka dipalingkan hati dan fikiran lalu tidak langsung dapat berfikir untuk menerima kebenaran. Sedangkan al-Quran adalah kitab penuh petunjuk diturunkan kepada umat manusia yang pelbagai tahap pemikirannya berbelas abad yang lampau. Jadi sekiranya al-Quran terus mengatakan bumi ini bulat pada masa itu tentu akan ditolak dan akan dibohongi lalu ditegaskannya bumi itu terhampar menurut pandangan mata kasar sahaja seperti firman-Nya bermaksud: dan bumi itu Kami hamparkan maka Kamilah sebaik-baik pembentang. (Surah az-Zariyat ayat 48). Sedangkan jelas dalam ayat lain Allah ada mengisyaratkan dengan firman-Nya bermaksud: Allah s.w.t. telah menjadikan langit dan bumi dengan sebenar dan memusingkan malam atas siang hari dan memusingkan siang atas malam hari. (Surah az-Zumar ayat 5).

Jadi kalaulah malam dan siang berpusing begitu sekali tentulah dapat difahami ianya (bumi ini) adalah suatu yang bulat dan boleh dipusing. Dan firman-Nya lagi bermaksud: Tuhan bagi timur dan Tuhan bagi dua barat. (Surah ar-Rahman ayat 17). Setelah diselidiki tidak ada satu ayat pun yang mengatakan matahari itu mengelilingi bumi. Al-Quran ada menyatakan bahawa matahari itu hanya berjalan dan beredar mengikut landasannya (bukan berpusing mengelilingi bumi). Allah s.w.t. berfirman maksudnya pada surah Yasin ayat 38: Dan ini ternyata benar dengan bertukarnya musim sejuk dan panas dan sebagainya yang berlaku menurut peredaran matahari. Sedangkan dalam ayat lain Allah berfirman bermaksud: Kamu lihat bukit bukau itu bergerak dan berjalan seperti awan. (Surah al-Naml ayat 88).

Ini juga isyarat menunjukkan bahawa bumi bergerak dan berjalan kerana bila bukit yang berada di atasnya bergerak dan berjalan selaju awan, maka tentulah bumi juga bergerak dan berjalan. Berapa banyak perkara yang dikira mustahil dan bohong pada masa dahulu. Contohnya kalau dikatakan manusia boleh bercakap dengan orang yang beribu batu jauhnya atau manusia akan terbang di udara pada masa dahulu tentu dikira bohong dan mustahil. Tetapi sekarang sudah terbukti. Allah menjanjikan dalam firman-Nya bermaksud: Akan Kami perlihatkan tanda (kebesaran dan kekuasaan) Kami di ruang (angkasa) langit sehingga ternyata bahawa (al-Quran) itu benar. (Fussilat ayat 53). Wallahualam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s