Asas keluarga bahagia

Oleh Aminudin Mansor

PERKAHWINAN adalah cantuman sah lelaki dan perempuan yang diberikan tugas dan tanggungjawab untuk menjadi sebuah institusi keluarga harmoni dan penuh kasih sayang.

Ia juga berfungsi sebagai satu ikatan suci dalam masyarakat bertamadun untuk memenuhi tuntutan emosi dan jasmani, meringankan ketegangan dan tekanan perasaan, menentukan status sosial dan sebagai usaha penyatuan beberapa keluarga dan keturunan.

Suami isteri dapat memenuhi tuntutan emosi yang memerlukan kasih sayang, cinta, perlindungan, tempat bergantung, teman perkongsian perasaan, mencari ketenangan dan sebagainya.

Sementara anak yang dilahirkan dalam ikatan perkahwinan juga memerlukan kasih sayang, penjagaan rapi, pendidikan agama, tempat bergantung dan perlindungan yang selamat.

Seorang anak akan berasa selamat dan tenteram di bawah jagaan ibu bapa yang bertanggungjawab serta mempunyai perasaan kasih sayang.

Keluarga adalah dunia kecil yang harmoni dan dapat membentuk ahli masyarakat bertanggungjawab.

Kajian ahli psikologi Arnold Gesell (1947) mendapati tingkah laku manusia berkembang mengikut peringkat kematangan biologi.

Ini bermakna perkembangan jasmani dan tingkah laku berlaku mengikut pola dan turutan terkawal mengikut jadual masa.

Oleh itu, seorang anak yang dilahirkan memerlukan kasih sayang daripada ibu bapanya, kakak atau abang bagi merasakan diri dalam keadaan selamat dan tenteram.

Perkembangan tingkah laku seseorang kanak-kanak itu akan berkembang mengikut persekitaran dan asuhan dalam sesebuah keluarga. Dalam hal ini suasana harmoni dan penuh kasih sayang amat penting.

Hadis riwayat Ath Thahawi menyebut: “Cintailah anak dan sayangilah mereka. Apabila berjanji sesuatu kepada mereka tepatilah. Sesungguhnya mereka tahu hanya kamulah yang memberi mereka rezeki”.

Jelaslah melalui hadis ini seseorang anak perlu diberikan kasih sayang secukupnya.

Apabila seseorang ayah atau ibu berjanji kepada anak mestilah ditepati dan jangan mengingkari atau menipu mereka.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim menyatakan: “Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adil terhadap anak”.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu menunjukkan kasih sayang sepenuhnya.

Anak akan melihat dan menjadikan contoh kasih sayang itu kepada ibu bapanya.

Tidak rugi menunjukkan kasih sayang dalam keluarga kerana anak akan membalas kasih sayang itu apabila dia dewasa.

Kasih sayang datang daripada perasaan, bukan daripada pemberian wang ringgit atau yang berbentuk kebendaan. Kasih sayang lahir daripada jiwa suci dan murni.

Hari ini keruntuhan institusi keluarga amat ketara menyebabkan ramai ahli masyarakat yang tidak lagi percaya kepada institusi itu.

Ikatan antara ayah dan ibu semakin longgar. Tiada lagi kasih sayang wujud dalam keluarga manakala pengaruh Barat sudah menular dalam masyarakat kita.

Untuk memperbaiki kehidupan keluarga, seluruh ahli keluarga hendaklah menjadikan rumah sebagai asas menjalin kasih sayang dan keharmonian yang utuh.

Kajian Nicholas Stinnett mendapati terdapat enam ciri keluarga utuh, iaitu saling menghargai satu sama lain, boleh berkomunikasi antara satu sama lain, mempunyai pegangan agama kuat dan mengambil pendekatan konstruktif dalam menghadapi krisis.

Melalui sikap saling menghargai antara satu sama lain akan mewujudkan kasih sayang, setiap ahli keluarga akan berasa puas dan bahagia dengan keadaan diri masing-masing dan ahli keluarga lain.

Ahli keluarga sentiasa ingin bersama untuk membolehkan mereka menikmati kebahagiaan keluarga.

Ahli keluarga akan sentiasa melakukan banyak perkara secara bersama semata-mata kerana mereka rasa bahagia dalam keluarga.

Keluarga itu mencorakkan gaya hidup mereka supaya dapat menghabiskan masa bersama hingga menunjukkan perhubungan adalah sesuatu yang dirancang.

Keluarga komited akan mewujudkan kebahagiaan dan kebajikan untuk ahlinya, di samping semua ahli keluarga lebih rapat dan erat antara satu sama lain.

Melalui corak komunikasi yang baik, mereka menghabiskan masa bercakap, mencurahkan masalah dan serentak itu, ahli keluarga lain adalah pendengar yang baik serta menjadi penyelesai masalah.

Segala perasaan diluahkan, segala masalah dapat diselesaikan, tiada perasaan terpendam dan tiada ahli keluarga terjebak dengan masalah yang menjerumuskan mereka ke kancah kehancuran.

Melalui pegangan agama yang mantap, kebahagiaan dalam perkahwinan dan kejayaan dalam perhubungan kekeluargaan serta tabah menghadapi apa juga masalah adalah faktor kejayaan dan kebahagiaan sesebuah keluarga.

Kita tidak mahu anak yang tidak menerima kasih sayang secukupnya akan mencari jalan keluar dengan melakukan gejala negatif seperti lari dari rumah, melepak dan tidak mempunyai tujuan dalam hidup.

Hadis riwayat Ar Rabii, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa menjamin untukku satu perkara, aku jamin untuknya empat perkara. Hendaklah dia bersilaturahim (berhubungan baik dengan keluarga terdekat) nescaya keluarganya akan mencintainya, diperluaskan rezekinya, ditambah umurnya dan Allah memasukkannya ke dalam syurga yang dijanjikan-Nya”.

Daripada apa yang dijelaskan, ciri yang diamalkan dalam sebuah keluarga yang utuh adalah ciri universal yang terkandung dalam Islam.

Amalan ini akan melahirkan kebahagiaan dalam keluarga dan rumah tangga.

Sesungguhnya, sebuah keluarga itu adalah asas kepada sebuah masyarakat. Jika keluarga utuh dan mengamalkan kasih sayang di antara ahlinya sudah pasti melahirkan masyarakat penyayang.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s