Bijak Menabung: Perbelanjaan spontan bawa padah

PRESIDEN ketiga Amerika Syarikat, Thomas Jefferson berkata: Jangan belanjakan wang anda sebelum anda memilikinya. Kata-kata beliau memang tepat sekali kerana sebelum ia berada dalam tangan, wang itu belum lagi menjadi hak kita.

Kebiasaannya setiap hujung tahun ataupun awal tahun, kebanyakan syarikat swasta mahupun kerajaan akan memberikan bonus sebagai ganjaran kepada pekerja yang bekerja keras menyumbang pada perolehan syarikat. Mungkin ramai di antara kita yang sudah merancang untuk berbuat sesuatu dengan wang yang bakal diterima itu. Ada saja perancangan yang dibuat sama ada untuk mengubahsuai rumah, melancong bersama keluarga ataupun mengenepikan sebahagiannya untuk perbelanjaan awal tahun persekolahan anak.

Ada juga yang menggunakan wang bonus ini untuk melunaskan bayaran kad kredit ataupun mengurangkan baki pinjaman hutang dengan mana-mana institusi kewangan. Tidak kurang juga yang merancang untuk menukar kenderaan lama dengan yang baru ataupun menghias rumah dengan perabot baru.
Belum lagi wang bonus itu diterima, ramai yang sudah mula meninjau-ninjau apa yang patut dibeli. Bagi yang ingin menukar kereta, akan mula berkunjung ke bilik pameran kereta dan memandu uji kereta yang ingin dimiliki. Bagi yang ingin menukar perabot baru sudah mula membuat perbandingan harta, meninjau reka bentuk sesuai dan ada juga yang sudah meletakkan wang pendahuluan ataupun deposit.

Mendapat durian runtuh seperti bonus ataupun ex-gratia memang seronok kerana itulah kesempatan untuk melihat wang terkumpul dalam jumlah yang agak besar. Jika menyimpan sedikit demi sedikit mengambil masa bertahun-tahun baru jumlahnya nampak berkembang. Justeru tidak menghairankan jika ramai pekerja yang tertunggu-tunggu bila masanya syarikat tempat mereka bekerja akan memberikan bonus. Dapat saja wang, mereka sudah tahu mana yang perlu dituju untuk dihabiskan.

Membeli sesuatu barangan seperti perabot, lebih baik dibeli secara tunai daripada membelinya secara membayar ansuran. Membeli tunai anda mendapat kelebihan tawar-menawar dan boleh membelinya secara diskaun. Sekiranya membeli secara ansuran, anda bukan saja perlu membayar lebih malah jika tidak meneliti kedudukan kewangan anda, mungkin juga akan meningkatkan perbelanjaan dan menjejaskan perancangan bulanan.

Bagaimanapun, sebelum membeli sesuatu ada baiknya meneliti dulu kedudukan kewangan terutama jika komitmen pinjamannya mengambil masa yang agak panjang. Pertimbangkan bayaran bulanannya, simpanan kecemasan yang anda perlu ada serta perbelanjaan lain yang perlu anda peruntukan setiap bulan. Jangan terjerat dengan tindakan spontan kerana membeli sesuatu yang memerlukan anda mengeluarkan perbelanjaan besar boleh menjejaskan kedudukan kewangan anda.

Seorang pelanggan apabila meninjau ingin membeli sesuatu yang dihajatinya akan meninggalkan kad kredit ataupun buku ceknya di rumah bagi mengelakkan tindakan spontan ini. Sebelum membeli sesuatu, dia akan meninjau dulu di beberapa buah kedai untuk membuat perbandingan harga dan mutu barangan.

Katanya, jika dia membawa kad kredit ataupun buku cek, mudah sekali untuk dia terpengaruh dengan pujukan mesra jurujual. Bila kedua-dua kemudahan membeli-belah itu tiada bersamanya, dia mempunyai kesempatan untuk berfikir.

Sebelum membeli, fikir dulu. Ramai kalangan kita yang berbelanja mengikut perasaan. Apa yang disukai akan dibeli dan selalunya apabila membeli satu, katakan sepasang kasut baru dan tampak lagi yang berbeza potongan dan reka bentuknya, hati akan tertarik. Kenyataannya, keinginan manusia ini tidak terbatas sedangkan kemampuannya amat terhad.

Apabila berbelanja harus berpada-pada mengikut kemampuan. Berbelanja dan menabung harus seimbang. Katakan jika anda mendapat bonus awal tahun ini, bagaimana jika disimpan 30 atau 50 peratus? Setiap bulan pula, seperti berbelanja, jadikan menabung juga sebahagian agenda tetap. Bayangkan RM200 yang anda simpan dalam instrumen pelaburan yang mampu memberi pulangan 10 peratus setahun, dalam tempoh 10 tahun simpanan anda itu akan berkembang lebih RM41,000!

Artikel ini ditulis oleh Perundingan Kewangan, Inspired Vision Agency, Kelana Jaya, Suraiya Mohd Nor. Ingin mendapatkan maklumat lanjut hubungi beliau di talian 013-3311981 atau e-mel suraiyanor@yahoo.com.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s