Masalah kawal kencing

PERNAHKAH anda berhadapan dengan situasi tidak dapat menahan pembuangan air kecil sehingga ia meleleh sebelum sempat ke bilik air?

Kejadian itu mungkin pernah dialami sebahagian daripada wanita terutama apabila tiba-tiba timbul keinginan yang kuat untuk membuang air kecil, tidak pun ia berlaku ketika ketawa, batuk, bersin, melompat atau berlari.

Memperkatakan masalah itu, ramai beranggapan ia hanya dialami warga emas ekoran faktor penuaan atau wanita mengandung yang disebabkan tekanan ke atas rahim sehingga menjejaskan pundi kencing, tetapi hakikatnya gejala itu sebenarnya lebih kerap berlaku di kalangan wanita yang berusia 35 tahun ke atas.

Statistik Yayasan Kontinens Malaysia juga menunjukkan bahawa seorang daripada empat wanita yang berusia 35 tahun ke atas menghadapi masalah lemah kawalan pundi kencing, tetapi ramai yang lebih selesa mendiamkan diri kerana malu dan menerimanya sebagai salah satu proses penuaan semula jadi yang normal.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Pantai, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar, masalah berkenaan biarpun biasa dialami warga emas, tetapi ia boleh berlaku ke atas mana-mana wanita tanpa mengira usia.

Jelas beliau, yang juga Pengasas dan Pengerusi Pusat Kesihatan Wanita Primanora, sebanyak 10 hingga 30 peratus wanita berusia antara 15 hingga 64 tahun menghadapi lemah kawalan pundi kencing, manakala seorang daripada empat wanita yang mengalaminya adalah antara usia 39 hingga 59 tahun.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan wanita terlalu malu untuk berkongsi masalah itu dengan sesiapa pun termasuk doktor kerana beranggapan tiada apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut, sedangkan ia boleh ditangani secara perubatan.

“Masalah lemah kawalan pundi kencing tidak boleh dianggap remeh dan dibiarkan begitu sahaja tanpa diatasi segera.

“Biarpun masalah ini bukan satu penyakit tetapi jika tidak ditangani segera ia akan menjadi simptom yang boleh menjejaskan kesihatan wanita,” katanya.

Dr. Nor Ashikin yang ditemui ketika majlis pelancaran Poise, iaitu produk yang dicipta untuk mengatasi masalah lemah pundi kencing di kalangan wanita berkata, ketidakupayaan pengawalan air kencing terjadi atas banyak sebab antaranya, otot pundi kencing terlalu aktif, otot-otot pelvik menjadi lemah dan masalah berkaitan saraf.

Justeru katanya, wanita tidak perlu berasa segan untuk meluahkan masalah yang dihadapinya itu dengan bertemu doktor agar rawatan dan nasihat dapat diberikan. Ini termasuk mengubah tabiat harian dan gaya hidup, senaman yang bersesuaian untuk mengatasi masalah tersebut serta ubatan.

Beliau berkata, jika wanita membiarkan masalah lemah kawalan pundi kencing yang dihadapinya, ia akan menggugat aktiviti harian mereka kerana bagi sebilangan wanita masalah itu adalah satu perkara besar yang terpaksa ditanggung sehingga menyebabkan mereka takut untuk meninggalkan rumah, bergaul dengan masyarakat atau menjalani kehidupan normal.

“Biasanya, wanita yang mengalami masalah berkenaan kurang berkeyakinan untuk melakukan banyak perkara termasuk aktiviti kegemaran mereka kerana khuatir berlakunya kebocoran,” katanya.

Namun kini, selain rawatan perubatan, wanita yang sedang menghadapi masalah tersebut mempunyai alternatif lain jika berkeinginan untuk keluar rumah atau menjalani kehidupan harian tanpa perlu risau berlakunya kebocoran berpunca daripada ketidakupayaan mengawal pengaliran air kencing.

Kimberly-Clark hadir memperkenalkan produk feminin, Poise, yang dicipta khas untuk memenuhi keperluan wanita yang sering mengalami masalah lemah kawalan pundi kencing.

Pengarah Urusan Kimberly-Clark Malaysia Sdn. Bhd., Rosnah Ramly berkata, kehadiran Poise menunjukkan komitmen berterusan pihaknya dalam membawa penyelesaian inovatif kepada wanita yang berhadapan dengan masalah tersebut.

Katanya, biarpun ramai yang mengalami masalah itu, tidak banyak maklumat berhubung lemah kawalan pundi kencing ataupun produk yang bertepatan untuk membantu wanita menguruskan masalah yang mereka hadapi.

“Sebelum ini ramai wanita lebih ketara menggunakan tuala wanita biasa yang sebenarnya tidak sesuai untuk menampung kebocoran air kencing. Malah pemakaian lampin atau seluar pakai buang untuk orang dewasa juga bukanlah langkah penyelesaian yang baik dan menyelesakan mereka.

“Apa yang dicari wanita adalah satu penyelesaian yang lebih feminin dan kami yakin Poise dapat memenuhi keperluan serta membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih yakin dan selesa,” kata Rosnah.

Poise yang dilancarkan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad itu, hadir dalam bentuk tuala wanita dan pelapik seluar dalam dengan kuasa penyerapan dua kali lebih baik berbanding tuala wanita biasa, serta membantu mengawal bauan juga memberi rasa kering berpanjangan dan keselesaan.

Gejala lemah kawalan pundi kencing

* Kekerapan ke tandas melebihi kebiasaan (tidak lebih lapan kali dalam tempoh 24 jam).

* Keinginan yang kuat dan tiba-tiba untuk membuang air kecil.

* Kerap bangun di tengah malam untuk membuang air kecil.

Tidak dapat menahan pembuangan air kecil atau hilang kawalan sehingga berlaku kebocoran.

* Kebocoran air kencing ketika ketawa, batuk, bersin, lompat atau berlari.

7 thoughts on “Masalah kawal kencing

  1. Saya mengalami sindrom ini dan saya terpaksa pakai lampin bayi 24 jam. So bagaimana saya nak ubati penyakit ini.

  2. saya juga megalami masalah yg same…sy terpksa memakai lampin pakai buang jugak…tolong sy untuk meyelesaikn masalh ini…..

  3. saya kerap batuk…pastu yang tak tahannya sampai terkencing. walaupun pakai pad setiap kali tapi ini tak dapat menampung msalah ini ketika batuk..tolong saya camana untuk mengatasi masalah ini.TQ…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s