Ajar keselamatan diri sejak prasekolah

Oleh Rohaniza Idris

Ibu bapa perlu belajar supaya dapat bekalkan ilmu lindungi kanak-kanak

SEJAK kebelakangan ini kesedaran mengenai keselamatan kanak-kanak semakin meningkat di kalangan ibu bapa. Namun, kesedaran saja tidak cukup jika ibu bapa tidak belajar mengenai keselamatan diri anak-anak.

Pegawai Pencegahan Pertubuhan Perlindungan dan Penyelamat Kanak-kanak Selangor dan Kuala Lumpur (PS The Children), Wong Lai Cheng berkata, ibu bapa perlu belajar mengenai keselamatan anak-anak bagi membekalkan mereka dengan ilmu keselamatan diri yang dapat membantu melindungi diri kanak-kanak.

Katanya, pendidikan keselamatan diri yang dijalankan PS The Children bukan hanya memberikan ilmu mengenai keselamatan diri tetapi lebih daripada itu.“Menerusi ini modul keselamatan diri yang diperkenalkan kepada kanak-kanak prasekolah berumur empat hingga enam tahun, kita didik pelajar bukan hanya mengetahui keselamatan diri masing-masing tetapi mengetahui mengenai anggota badan dan penghargaan terhadap diri sendiri serta penggunaan akal dan perasaan untuk menjaga keselamatan diri,” katanya.

Beliau berkata, menerusi modul berkenaan kanak-kanak diajar mengenai keselamatan diri menggunakan bahan interaktif serta belajar sambil berhibur disampaikan kepada kanak-kanak melalui teknik yang mudah difahami seperti bercerita, lakonan, kad dan persembahan boneka.

“Cara berkenaan lebih memudahkan proses untuk anak-anak mencerap apa yang diajarkan kepada mereka dan kanak-kanak cepat memahami apa yang ingin kita sampaikan. Ibu bapa juga perlu gunakan pendekatan yang sama untuk mendidik kanak-kanak mengenai keselamatan diri,” katanya.

Wong berkata, salah satu topik dalam modul keselamatan diri adalah mengenai anggota tubuh badan terutama anggota sulit badan.

“Ibu bapa sering tidak terbuka dan enggan berterus terang dengan anak-anak apabila memperkenalkan anggota sulit badan kanak-kanak. Mereka berasa malu dan memberikan pelbagai gelaran yang tidak masuk akal untuk anggota sulit badan.

“Contohnya, mengajar anak memanggil kemaluan mereka sebagai pussycat, burung (bird) dan pelbagai nama pelik lain. Ibu bapa sepatutnya beritahu secara jujur dan tidak menipu mengenai anggota badan.

“Langkah menamakan bahagian tubuh badan termasuk anggota sulit dapat memudahkan anak-anak menyampaikan maklumat yang tepat mengenai diri sendiri termasuk dalam keadaan apabila mereka dicabul oleh orang lain,” katanya.

Beliau berkata, salah satu masalah kanak-kanak ialah mereka tidak berpeluang bercakap mengenai masalah sentuhan kerana mereka tidak tahu perkataan sesuai untuk meluahkannya. “Ibu bapa biasanya tidak mengajar anak-anak bahagian badan seperti mana mereka ajar sebutan untuk tubuh badan lain seperti kaki, tangan, hidung dan mulut. Tindakan tidak mengajar perkataan yang betul membuatkan anak-anak rasa bersalah apabila mahu memperkatakan mengenai bahagian tubuh yang sulit.

“Perbincangan terbuka dengan anak-anak penting untuk mereka mengenali keistimewaan anggota bahagian sulit serta mencegah kejadian sentuhan ‘larangan’ dan penderaan seksual. Peraturan menyentuh juga perlu diketahui kanak-kanak dan mengulangi peraturan ini dapat menyelamatkan mereka daripada kes pencabulan dan penderaan.

“Ibu bapa, penjaga, pengasuh dan guru juga boleh mengajar mengenai pembinaan kecerdasan emosi yang mana ia menjadi aspek penting dalam keselamatan diri. Kecerdasan emosi bermakna anak-anak diajar perbezaan di antara sikap pasif, tegas dan bertindak tegas.

Anak-anak perlu diberitahu bahawa tindakan pasif bermakna apabila orang lain mendapat sesuatu dengan mencerobohi hak mereka manakala agresif apabila mendapatkan sesuatu dengan mencerobohi hak orang lain manakala tegas menjaga kanak-kanak memperoleh sesuatu tanpa mengenepikan hak orang lain.

FAKTA: Antara modul program penjagaan keselamatan diri

  • 1. Ajar anak bahawa adalah salah bagi orang lain menyentuh atau memegang bahagian sulit kecuali untuk menjaga kebersihan dan kesihatan
  • 2. Beritahu anak-anak adalah salah bagi orang besar atau yang lebih tua menyuruh kanak-kanak memegang dan menyentuh bahagian sulit badan mereka dan menyuruh merahsiakannya
  • 3. Jika kanak-kanak berasa keliru dan tidak selesa mengenai mana-mana cara sentuhan, mereka boleh berkata “jangan, berhenti atau lari”. Ingatkan mereka bahawa “saya adalah tuan badan saya”
  • 4. Ajar anak supaya memberitahu kepada orang dewasa yang boleh dipercayai jika masih diganggu dan beritahu mereka supaya kerap memberitahu sehingga mendapat pertolongan
  • 5. Ingatkan anak supaya tidak menyimpan rahsia mengenai sentuhan. Ingatkan juga kepada mereka bila mereka merasa jijik
  • 6. Wujudkan sistem sokongan – supaya kanak-kanak mempercayai orang dewasa untuk mengadu mengenai gangguan terhadap diri mereka. Contoh: tuliskan nombor telefon orang yang boleh dipercayai yang sepatutnya dihubungi apabila berada dalam kecemasan termasuk kebakaran, hilang (terpisah daripada ibu bapa dalam kesesakan di tempat awam) dan ditinggalkan van atau bas sekolah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s