Desakan cemerlang boleh cetus tekanan

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Kecewa kerana gagal, undang tindakan luar jangka seperti cubaan bunuh diri

KEJADIAN bunuh diri di luar negara di kalangan remaja mungkin tidak begitu mengejutkan berikutan begitu kerap dilaporkan, tetapi apabila berlaku di negara ini seluruh negara tersentak kerana tidak pernah berlaku.

Ramai tertanya-tanya dan tertanya-tanya bagaimana kanak-kanak seawal usia 12 tahun mampu mengambil keputusan untuk menamatkan nyawanya pada usia sebegitu atau adakah ibu bapa menjadi terlalu pendesak supaya anak-anak mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan atau media yang memperbesarkan cerita mengenai murid cemerlang menjadi punca?
 

Pensyarah Psikologi Perkembangan dan Pendidikan Kanak-Kanak, Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badzis, tidak menafikan pendidik, ibu bapa, media dan masyarakat memainkan peranan besar terhadap perubahan tindakan dan pemikiran kanak-kanak kini.”Apabila media memperbesarkan kisah murid cemerlang, ia secara tidak langsung memberikan tekanan kepada sesetengah ibu bapa yang terlalu mementingkan pencapaian akademik anak untuk `menekan’ anak sendiri (walaupun mungkin secara tidak disedari) supaya berusaha sekeras mungkin untuk mendapatkan keputusan terbaik.

“Murid atau pelajar yang tertekan perasaan akibat desakan memenuhi impian ibu bapa akan menjadi murung dan dihantui rasa bersalah yang tidak terkawal boleh memberi kesan negatif kepada pemikiran dan tingkah laku mereka, sekali gus membawa kepada apa yang dipanggil sebagai `depressive disorder’.

“Pemikiran mereka yang masih belum begitu matang apabila dicampur dengan rasa putus asa, tekanan perasaan tidak terkawal dan rasa bersalah yang tidak dapat dibendung, boleh membawa kepada tindakan di luar jangkaan seperti membunuh diri. Laporan BBC News April 2000 dipetik sebagai menyebut resolusi dalam satu persidangan anjuran Association of Teachers and Lecturers (ATL) di Belfast merumuskan bahawa tindakan mendesak kanak-kanak untuk berjaya dalam pelajaran boleh menyebabkan tertekan sehingga boleh mengambil keputusan untuk membunuh diri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, beberapa kejadian bunuh diri di kalangan murid dan pelajar sekolah yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini wajar diberikan perhatian serius dan ditangani dengan baik.

Katanya, bunuh diri bukan saja perkara yang tidak dapat diterima dalam mana-mana masyarakat, bahkan memberi kesan buruk berpanjangan kepada keluarga mangsa.

“Apabila bunuh diri berlaku selepas mendapat keputusan peperiksaan yang kurang cemerlang, tentulah kita mengaitkan dengan sistem pendidikan yang terlalu mementingkan kecemerlangan akademik. Akademik terlalu ditekankan hingga menyebabkan ramai ibu bapa yang menganggap bila gagal dalam peperiksaan maka gelaplah masa depan anak mereka.

“Bagi ibu bapa yang bestari, sekiranya anak tidak cemerlang dalam pelajaran akademik mungkin dia cemerlang dalam bidang dan aspek lain. Kemahiran dan potensi anak perlu dicungkil dan digarap sebaik mungkin secara seimbang kerana mereka perlukan bantuan dan bukan tekanan yang membebankan hingga kadangkala mereka sendiri tidak mampu menanganinya,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman berlaku di sebuah sekolah rendah di Malaysia, apabila pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersetuju memakaikan murid berpotensi yang dijangka mendapat 5A dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan tag tertulis: ‘Calon 5A’ sepanjang tahun sebelum mereka menduduki peperiksaan UPSR.

Dari aspek positif, memanglah ia satu tindakan yang baik kerana menjadi rangsangan kepada pelajar berkenaan untuk berusaha gigih mencapai harapan yang diberikan, tetapi dari aspek yang lain, ia juga menjadi tekanan kepada pelajar berkenaan untuk memenuhi harapan sekolah, ibu bapa dan guru.

Bagaimana pula halnya dengan pelajar yang tidak dipakaikan tag berkenaan? Bukankah ini menjadikan mereka rasa rendah diri seolah-olah mereka dilabel sebagai pelajar yang tidak layak untuk mendapat 5A?

Katanya, bagi ibu bapa yang meletakkan harapan setinggi itu mungkin memaksa anak berusaha keras dengan berkata ‘Pakai tag ini dan belajar betul-betul. Jangan hampakan harapan ibu bapa’. Tetapi bagi ibu bapa yang rasional dan berpegang kepada qada dan qadar pasti ia menyatakan ‘ayah tidak kisah kalau anak ayah tidak dapat 5A, tetapi kalau dapat ayah akan rasa sangat gembira’.

“Bukankah kedua-dua cara ini memberikan penerimaan berbeza kepada murid berkenaan? Si A mungkin lebih tertekan berbanding si B? Bagi ibu bapa yang anak mereka tidak dipakaikan tag, mungkin ada yang tidak kisah, tetapi mungkin ada yang menekan dan menghukum anak dengan menganggap yang si anak memang tidak layak untuk dapat 5A!

“Walaupun ada pihak yang menyalahkan pendidikan negara berteraskan akademik semata-mata, tetapi ia agak sukar diubah dalam jangka pendek, justeru ibu bapalah perlu memainkan peranan membantu anak masing-masing supaya tidak tertekan, dan murung sekiranya mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan dalam peperiksaan.

“Hari ini saya lihat kecenderungan ibu bapa yang sebenarnya seolah-olah seperti mahu bersaing dengan rakan masing-masing anak siapa paling pandai dan meletakkan beban dalam diri anak tanpa menyedari penerimaan anak terhadap harapan ibu bapa mereka tidak sama antara seorang kanak-kanak dengan seorang kanak-kanak yang lain,” katanya.

Dr Mastura berkata, ibu bapa perlu memahami bahawa perkembangan dan keupayaan seseorang anak adalah berbeza antara satu dengan yang lain meskipun mereka dilahirkan pada hari dan tahun yang sama. Setiap mereka mempunyai potensi dan aspek kebolehan yang ada pada mereka juga tidak sama.

Baginya, meletakkan harapan yang tinggi kepada anak-anak adalah perlu, namun pada masa yang sama ibu bapa perlu peka untuk memberikan rangsangan yang betul dan sokongan moral dan emosi berterusan kepada anak. Ini meliputi aspek prasarana, motivasi, pemakanan, kasih sayang dan persekitaran yang boleh mendorong anak belajar. Mereka juga perlu memahami keupayaan anak dan jangan terlalu mendesak atau meletakkan sasaran tinggi. Kebanyakan pelajar hari ini sentiasa tertekan kerana terpaksa memenuhi harapan tinggi ibu bapa yang kadangkala di luar keupayaan mereka. Malah, ada sesetengah pelajar sentiasa disogokkan tanggapan, gagal bermakna tidak berguna. Pemikiran seperti itu perlu diubah.

Beliau berpendapat, ibu bapa tidak seharusnya terlalu memberi tekanan, mengkritik dan memarahi tanpa memberikan sokongan moral dan keupayaan untuk menyelesaikan masalah kerana ia tidak baik bagi perkembangan minda dan tumbesaran mereka yang belum matang dalam membuat keputusan.

“Pada masa yang sama, media, masyarakat dan institusi persekolahan perlu memberi sokongan dan mengubah pandangan dengan sentiasa mendengar permasalahan anak, memberi dorongan dan kata nasihat meskipun mereka gagal. Sebaiknya sebelum peperiksaan ibu bapa memberitahu anak bahawa anda tetap sayangkan mereka walaupun keputusan yang bakal diperoleh tidak sebaik yang diharapkan kerana anda tahu mereka sudah berusaha sedaya mungkin.

“Keresahan di kalangan pelajar yang menduduki peperiksaan sebenarnya adalah perkara normal. Malah, ia juga dianggap sebagai `senjata’ atau motivasi berguna untuk menggerakkan seseorang supaya membuat persediaan awal bagi menghadapi peperiksaan,” katanya.

Tegasnya, cara penerimaan seseorang pelajar banyak bergantung kepada ketahanan mentalnya. Ada yang mengambil pendekatan tidak kisah, tetapi ada sesetengah pelajar cepat berasa tertekan dan gelisah apabila berhadapan dengan cabaran.

Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada tekanan pelajar iaitu tekanan dalaman dan luaran. Tekanan dalaman datang daripada dalam diri pelajar itu sendiri dan biasanya berlaku kepada pelajar yang dibesarkan dalam situasi diberi kepercayaan untuk yakin pada diri sendiri, mempunyai harga serta jati diri yang tinggi dan mempunyai rasa tanggungjawab untuk membina keperibadian diri.

Tekanan kedua ialah tekanan luaran seperti harapan ibu bapa, keluarga, guru dan sekolah. Tekanan paling besar biasanya datang daripada ibu bapa terutama ibu, kerana ibu selalunya dipertanggungjawabkan ke atas sebarang hal yang berlaku pada anak.

Bagaimanapun, harapan ibu bapa yang terlalu tinggi boleh mencetuskan tekanan kepada anak kerana bimbang tidak dapat memenuhi impian orang tua mereka sehingga ada sesetengah pelajar mengambil tindakan nekad apabila mereka gagal mencapai apa yang diimpikan diri sendiri dan ibu bapa.

“Budaya masyarakat kita yang sering menggunakan pendekatan negatif seperti ‘kalau tak lulus nanti jadi buruh atau tukang sapu’ juga perlu dihentikan kerana bagi kanak-kanak ia umpama satu ugutan dan boleh menyebabkan tekanan jika keputusan kurang cemerlang. Selain itu harapan guru dan sekolah yang terlalu mementingkan peratusan kejayaan cemerlang juga boleh membebankan fikiran sesetengah pelajar.

“Peristiwa yang sama yang pernah berlaku di Jepun dan China beberapa tahun kebelakangan ini yang mana kanak-kanak membunuh diri kerana rasa tertekan terpaksa menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik perlu dijadikan pengajaran. Mungkin sudah tiba masanya kita, sebagai ibu bapa menilai kembali bagaimana cara kita memberikan penilaian dan penghargaan kepada anak.

“Kebanyakan ibu bapa memberi penghargaan berdasarkan pencapaian anak dalam akademik dan bukannya pada perlakuan baik atau nilai murni yang dimilikinya. Pendekatan seperti ini juga boleh menjadi penyumbang kepada tekanan fikiran dan perasaan si anak setiap kali menghadapi peperiksaan,” katanya.

Hakikatnya, memang hasrat setiap ibu bapa untuk melihat anak berjaya, tetapi secara tidak sedar kita menanam satu konsep dalam fikiran anak bahawa mereka perlu mendapat keputusan cemerlang untuk mendapat penghargaan daripada ibu bapa. Memang pencapaian akademik itu penting, tetapi ia bukanlah segala-galanya.

Konsep inilah yang perlu ditekankan ibu bapa kepada anak sejak mereka kecil. Namun, ia bukan bermakna anak boleh mengabaikan pelajaran kerana mereka masih perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.

Anak seimbang sosial dan emosi paling cemerlang

SIKAP ibu bapa yang hanya memberi penghargaan kepada anak melalui pencapaian intelektual juga perlu diubah kerana kemahiran sosial dan kestabilan emosi sama penting untuk menjadi insan yang berjaya dan berguna.

Dr Mastura berkata, pendekatan agama juga dilihat sebagai antara cara berguna untuk menguatkan semangat dan ketahanan mental anak. Anak perlu diberi asuhan dan didikan yang seimbang dari segi rohani dan inteleknya.

Ibu bapa perlu memberi lebih perhatian kepada anak sama ada sebelum atau selepas peperiksaan. Perhatikan jika mereka menunjukkan gejala keresahan melampau kerana pengesanan awal boleh mengelakkan insiden yang tidak diingini.

Bagaimanapun, beliau berkata, jangkaan sebegtu bukan hanya dibina oleh ibu bapa kerana ada juga kanak-kanak yang meletakkan jangkaan tinggi terhadap dirinya sendiri.

“Secara semula jadi kanak-kanak akan berusaha menyenangkan hati ibu bapanya. Meletakkan harapan kepada anak adalah normal bagi ibu bapa. Tetapi yang penting ialah bagaimana kanak-kanak itu boleh menguruskannya. Kadangkala kita boleh biarkan dia membina memontemnya sendiri. Tetapi ada sesetengah kanak-kanak yang tidak boleh dan kita perlu bantu.

“Ibu bapa boleh memainkan peranan dalam membantu memupuk motivasi dalaman anak. Ibu bapa harus melihat apa aspirasi ataupun keinginan anak. Mereka juga perlu tengok apa potensi yang ada padanya. Pada masa sama mereka perlu fahami anak. Cuba bantunya membina sistem belajar,” katanya.

Beliau berkata, anak juga sebenarnya sudah pandai memberontak jika tertekan. Lantaran itu, selain menumpukan perhatian kepada pelajaran, kanak-kanak juga wajar diberi ruang untuk bermain dan merehatkan fikiran di samping membabitkan diri dengan aktiviti yang merangsang perkembangan fizikal dan sosial.

Mereka juga perlu diberi peluang untuk menggarap kemahiran kepada bidang yang mereka cenderung dan suka dengan sokongan serta panduan ibu bapa.

Membesarkan anak adalah satu cabaran besar bagi kebanyakan ibu bapa. Bagaimanapun ia adalah satu pengalaman yang boleh mendatangkan kepuasan jika ibu bapa berjaya melaksanakannya dengan cara yang betul.

INFO: Kejadian bunuh diri

  • Hasil penyelidikan badan bebas berpangkalan di Amerika Syarikat, Mayo Foundation for Medical Education and Research, kes bunuh diri di kalangan remaja berusia antara 15 hingga 24 tahun tidak terlalu menonjol pada awal 1990-an.
  • Bagaimanapun, peningkatan berlaku selepas 2000 dengan jumlah 132,000 kes direkodkan di seluruh dunia, antara puncanya ialah tekanan perasaan, kemurungan, trauma, pengasingan dan kekecewaan.
  • Kajian turut mengaitkan perubahan sosiobudaya, ekonomi mahupun penarafan tinggi oleh institusi pendidikan menjadi punca remaja semakin tertekan dan gagal menyesuaikan diri.Punca bunuh diri
  • Kemurungan
  • Pengasingan.
  • Alkohol atau dadah.
  • Tarikan untuk mati daripada sumber seperti rakan atau internet.
  • Tekanan seperti perpisahan ibu bapa atau gagal dalam peperiksaan.
  • Penderaan silam.
  • Kecelaruan personaliti.
  • Sejarah silam keluarga pernah membunuh diri.Gejala
  • Bertukar perwatakan daripada periang kepada pendiam atau sugul.
  • Mengasingkan diri daripada keluarga, rakan sebaya atau masyarakat.
  • Berkelakuan pelik seperti mendengar suara atau halusinasi.
  • Gemar bercakap atau memberitahu niat untuk mati.
  • Perubahan rutin kehidupan.
  • Sering membahayakan nyawa dengan pelbagai aksi menakutkan.
    – sumber : http://www.befrienders.org[1]Tanda kanak-kanak mempunyai masalah emosi
  • Perubahan mendadak pada tingkah laku seperti cepat marah dan kasar.
  • Mengasingkan diri dari keluarga dan kawan-kawan.
  • Hilang minat dalam aktiviti berkumpulan.
  • Perubahan ketara pada selera makan, berat badan dan tidur.
  • Mempunyai banyak aduan fizikal.
  • Pencapaian akademik yang merosot dengan ketara dan mendadak.
  • Tidak berminat serta sering ponteng sekolah
  • Degil, suka berbohong, mencuri dan merosakkan harta benda awamKeperluan kesihatan mental kanak-kanak
  • Kasih sayang – kanak-kanak perlu merasa ibu bapanya kasih, sayang serta gembira berdampingan dengannya.
  • Penerimaan – kanak-kanak perlu mempercayai bahawa mereka disukai dan sentiasa diterima setiap masa.
  • Keselamatan – kanak-kanak perlu mengetahui bahawa rumah dan persekitarannya ialah tempat yang selamat dan selesa baginya selain ibu bapa sentiasa bersedia membantu apabila mereka berada dalam kesusahan.
  • Perlindungan – kanak-kanak perlu merasa bahawa ibu bapanya sentiasa memeliharanya daripada keadaan bahaya dan menakutkan.
  • Kebebasan – kanak-kanak perlu mengetahui bahawa ibu bapanya sentiasa menggalakkan mereka mencuba perkara baru dan bahawa mereka mempunyai keyakinan diri sendiri.
  • Kepercayaan – kanak-kanak perlu mempunyai teladan mengenai nilai moral yang boleh dipelajari seperti budi pekerti yang baik, jujur, pemurah dan adil.
  • Bimbingan – kanak-kanak memerlukan tunjuk ajar untuk belajar dan cara berinteraksi dengan orang lain dan persekitarannya
  • Disiplin – kanak-kanak memerlukan panduan mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dan disiplin yang konsisten dan tidak kasar.
  • – Sumber : Kementerian Kesihatan

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s