Pemandulan berkesan dan berkekalan

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

SABAN tahun, daripada sejumlah 210 juta kehamilan di seluruh dunia, kira-kira 38 peratus berlaku tidak dirancang. Lebih malang lagi, 22 peratus daripadanya berakhir dengan pengguguran.

Mulai tahun 2007 membawa ke tahun-tahun seterusnya, tanggal 26 September mempunyai maknanya yang tersendiri untuk diraikan apabila buat julung kalinya Hari Pencegahan Hamil Sedunia telah dilancarkan secara serentak di lebih 50 negara di seluruh dunia, Malaysia tidak ketinggalan.

Dengan menyasarkan pasangan berkahwin yang masih muda, kempen itu bertujuan mengurangkan kehamilan tidak dirancang yang boleh menjejaskan kesejahteraan suami isteri, yang semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Di zaman moden ini, terdapat banyak kaedah pencegahan hamil yang boleh dipilih oleh pasangan suami isteri. Setiap satunya sesuai untuk individu yang berbeza-beza. Salah satunya – pensterilan atau pemandulan.

‘‘Pensterilan merupakan kaedah pengawalan dari mengandung yang berkesan dan berkekalan. Pembedahan diperlukan untuk kaedah ini. Dalam kebanyakan kes, kaedah serta tatacaranya adalah selamat dan tidak berkomplikasi.

‘‘Kaedah pemandulan untuk wanita dipanggil pensterilan tubal (tiub) dan untuk lelaki pula dikenali sebagai vasektomi (kasi),’’ kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor.

Pensterilan untuk wanita dan lelaki ini sangat berkesan dan merupakan pengawalan kelahiran yang mana pembalikan keputusan tidak lagi boleh dibuat. Jadi, anda dinasihatkan supaya berbincang dengan doktor sebelum keputusan ini diambil.

Membuat keputusan

Menurutnya, pemandulan merupakan satu prosedur elektif (pilihan). Bagi wanita yang memilih untuk prosedur ini dijalankan, harus difahami bahawa ia merupakan prosedur yang kesannya adalah berkekalan.

Sekiranya pilihan ini dibuat, berkemungkinan besar anda tidak akan dapat lagi mengandung.

‘‘Keputusan untuk kaedah pensterilan ini perlu dibuat apabila anda memahami akan prosedur tersebut dan keputusan tidak dibuat apabila anda mengalami kemurungan ataupun di keadaan yang runcing seperti dalam proses perceraian, baru kehilangan anak dan sebagainya.

‘‘Umur yang muda juga merupakan halangan pada keputusan ini. Perlu diingatkan, apabila prosedur ini telah dijalankan, prosedur untuk mengembalikan kembali keupayaan untuk mengandung adalah sukar dan mungkin mustahil,’’ ujar Dr. Shah Reza.

Banyak lagi kaedah lain yang boleh dipilih sekiranya seseorang wanita itu waswas. Kaedah-kaedah yang diamalkan untuk jangka pendek termasuklah:

* Kontraseptif berasaskan hormon (pil perancang, suntikan dan sebagainya)

* Alat dalam rahim (IUCD)

* Kaedah penghalang (kondom, spermisid, diafram dan penutup pangkal rahim)

* Kaedah perancangan semula jadi dan juga penghindaran berkala mengikut waktu subur

Sekiranya penggunaan mereka betul dan teliti, keberkesanannya juga menyamai pensterilan. Sekiranya penyakit tularan seksual menjadi agenda dalam kehidupan anda, hanya kondom sahaja yang dapat melindungi.

Pensterilan untuk wanita

Menerusi prosedur ini, terang Dr. Shah Reza, kedua-dua tiub fallopio dikendalikan sama ada secara ikatan, klip ataupun diikat dengan benang dan dipotong.

‘‘Sekiranya anda terpaksa menjalani pembedahan untuk melahirkan anak, prosedur pemandulan boleh dilakukan pada masa yang sama.

‘‘Sekiranya prosedur ini dilakukan selepas kelahiran normal, ini dipanggil pensterilan postpartum. Prosedur pemandulan ini tidak mengganggu kehadiran haid bulanan mahupun aktiviti seks wanita.

‘‘Mungkin darah haid datang banyak jika dibandingkan dengan kaedah pil perancang. Biasanya penggunaan pil perancang mengurangkan jumlah dan juga hari pendarahan,’’ katanya lagi.

Kaedah pensterilan ini berkesan serta-merta dan anda tidak perlu risau termengandung.

Permasalahan serius jarang berlaku semasa prosedur pemandulan ini. Walau bagaimanapun, seseorang wanita itu mungkin berasa letih dan juga sakit sedikit pada bahagian abdomen.

Kesan-kesan lain adalah seperti rasa pening-pening, loya-loya dan rasa hendak muntah, sakit di bahagian bahu, kekejangan abdomen, rasa kembung dan seperti mahu sendawa serta, sakit di kerongkong.

Kemungkinan untuk mengandung kurang daripada satu peratus, tetapi sekiranya puan melakukan hubungan kelamin dan haid tiba-tiba tidak datang sebagaimana bulan-bulan sebelumnya, segeralah berjumpa dengan doktor.

Kegagalan pemandulan berlaku sekiranya ia dibuat semasa masih dalam pantang kerana organ-organ yang berkaitan masih lagi membengkak dan besar.

Pensterilan untuk suami

Dr. Shah Reza menerangkan, saluran vas deferens yang menyalurkan sperma ke zakar dihalang dengan memotong saluran tersebut.

‘‘Kaedah vasektomi ini tidak mempunyai keberkesanan serta-merta seperti mana pensterilan untuk wanita.

‘‘Masa diperlukan untuk mengosongkan sperma-sperma yang masih di dalam tiub. Suami terpaksa menjalani analisis air mani untuk memastikan yang bilangan sperma sekarang tidak ada lagi.

‘‘Mungkin masa satu hingga tiga bulan diperlukan sebelum keberkesanan 100 peratus diperakui, sebelum itu, pasangan suami isteri tersebut terpaksa menggunakan kaedah kontraseptif lain,’’ ujar beliau.

Tambahnya, fungsi seks lelaki tidak berubah, ejakulasi berlaku seperti biasa, begitu juga dengan jumlah cecair yang keluar.

Perlu diingatkan yang vasektomi ini juga adalah satu kaedah kekal. Ia juga tidak melindungi dari penyakit tularan seksual.

Kegagalan biasanya kurang dari satu peratus, berpunca daripada hubungan kelamin yang dilakukan terlalu awal sebelum sempat bilangan sperma menjadi kosong.

Faktor yang mempengaruhi pilihan

Pilihan yang dibuat lazimnya bergantung kepada pilihan peribadi, faktor sejarah perubatan diri dan, faktor fizikal seperti berat badan yang keterlaluan.

Perlu diingatkan yang pensterilan ini sangat berkesan dan berkekalan. Perlu berbincang habis-habisan sesama sendiri dan juga dengan doktor sebelum keputusan diambil. Selamat Hari Pencegahan Hamil Sedunia!

One thought on “Pemandulan berkesan dan berkekalan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s