Nabi teladan paling unggul seluruh manusia

Oleh Zulzaidi Mahmod

“SECAWAN kopi, kalau kita tidak bubuh gula tentu rasanya pahit, gula yang diletak dan dikacau akan hilang, dan yang ada hanya manisnya.” Inilah kata-kata saudara baru, Muhammad Amin Leong Abdullah dalam buku Islam Pilihanku.

Kata-kata beliau menggambarkan betapa nikmatnya Islam kerana tidak dapat dizahirkan. Islam agama universal, bersesuaian dengan masa, tempat dan siapa saja tanpa mengira bangsa, budaya atau warna kulit.

Agama Islam adalah hasil perjuangan manusia pilihan, Muhammad bin Abdullah yang dilahirkan di kota Makkah pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah. Nabi Muhammad SAW dilahirkan daripada keturunan yang mulia di Makkah iaitu kaum Quraisy.
Justeru, umat Islam haruslah memperingati tarikh kelahiran Rasulullah SAW untuk menambahkan lagi ketakwaan dan mengenang kembali perjuangan dakwah Baginda sehingga tersebarnya Islam pada hari ini.

Seluruh cendekiawan, ahli agama, pemikir, ahli falsafah mengakui Nabi Muhammad SAW sebagai penyelamat manusia sejagat. Seorang penulis Barat, Michael Hart dalam buku bertajuk The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History menempatkan Nabi Muhammad SAW di tangga pertama.

Beliau turut memperakui Nabi Muhammad SAW, satu-satunya individu dalam sejarah dunia yang amat berjaya dalam dua bidang, iaitu agama dan dunia. Saiyid Sulaiman an-Nadwi dalam buku Muhammad The Ideal Prophet menyatakan Nabi Muhammad SAW adalah model paling ideal bagi seluruh manusia.

Keunggulan Baginda tidak dapat disangkal mana-mana manusia di dunia. Kehadiran Islam yang dibawa Rasulullah SAW menjadi sinar kebenaran yang menyuluh alam. Firman Allah yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.” – (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Baginda bisa mengubah masyarakat yang hina kepada masyarakat mulia di sisi Allah. Sewaktu zaman jahiliah, umat manusia menyembah berhala seperti al-Lata, al-Uzza, Manat, Wadda Suwaa dan Yauq.

Selain itu, sanggup menanam anak perempuan hidup-hidup seperti dilakukan suku Bani Tamim. Khalifah kedua, Saidina Umar Al-Khattab juga sewaktu zaman jahiliah melakukan perbuatan terkutuk ini.

Martabat wanita juga dihina dan dijadikan hamba abdi. Namun, selepas kedatangan sinar Islam, segala-galanya berubah dengan Islam mengangkat darjat wanita, penyembahan berhala dihapuskan dan kepada Allah saja Tuhan layak untuk disembah.

Kemuliaan sikap Rasulullah SAW haruslah dipuji, diikuti serta dicontohi seluruh umat manusia. Baginda pernah dilayan buruk tetapi disebabkan keunggulan peribadinya, Baginda tidak membalas layan itu dengan keburukan juga.

Itulah yang terjadi antara Baginda dengan seorang wanita yang sangat membencinya dan akan memukul dengan penyapu setiap kali terlihat Rasulullah SAW. Walaupun begitu, Baginda sentiasa memberi salam kepadanya sekalipun salamnya itu tidak pernah dibalas.

Suatu hari, Rasulullah SAW hairan kerana wanita itu tidak kelihatan, jiran menyatakan pada Baginda bahawa wanita itu sakit dan tidak kuat untuk bangun. Sebaik saja mendengar, Baginda terus masuk ke dalam rumah wanita itu.

Tanpa membuang masa Baginda tolong mengemaskan rumah, memasak serta menimba air menyebabkan wanita itu hairan melihat perangai Rasulullah SAW yang sudi membantunya walaupun dia sangat benci kepada Baginda.

Selepas peristiwa, hati wanita berkenaan tertawan dengan keperibadian Rasulullah SAW lantas memeluk Islam. Peristiwa ini memperlihatkan ketinggian budi Rasulullah SAW dalam menakluki hati manusia biarpun dihina dimaki tetapi kesannya amat luar biasa.

Dalam gurauan sekalipun, Baginda tetap dipuji dan diagungkan kerana gurauan Baginda adalah gurauan yang benar. Rasulullah SAW pernah bergurau dengan seorang nenek tua yang datang dan berkata: “Doakan aku kepada Allah supaya Allah memasukkan aku ke dalam syurga.”

Baginda berkata kepadanya: “Wahai Ummu Fulan! Sesungguhnya syurga itu tidak dimasuki orang yang sudah tua.” Wanita tua itu menangis kerana ia memahami kata-kata Baginda daripada segi zahirnya saja. Maka Rasulullah SAW berkata, dia tidak akan masuk syurga sebagai orang tua tetapi berubah menjadi muda belia dan cantik. Kisah gurauan ini dinukil Prof Dr Yusuf Al-Qardahawi dalam ‘Al-Islam Wal Fann’.

Kehadiran Rasulullah tiada tandingan dan tiada ganti. Keperibadian yang unggul mencerminkan bahawa Islam yang dibawa juga unggul dan tidak goyah. Menerusi Maulidur Rasul, mudah-mudahan umat Islam dapat menyoroti sirah perjuangan Baginda untuk merasai kemanisan Islam yang kita anuti hari ini.

Diharapkan umat Islam dapat mengamalkan sunnah Baginda untuk menunjukkan kepada dunia walaupun Rasulullah SAW sudah wafat tetapi jiwa Rasulullah SAW sentiasa menjadi keperibadian umatnya.

Pengisytiharan cuti umum oleh kerajaan Malaysia pada 12 Rabiulawal memberi peluang seluruh rakyat negara ini tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan memperingati Baginda seperti dinyatakan Mohd Azhar Abdullah dalam buku Keajaiban Maulidur Rasul.

Sambutan Maulidur Rasul perlulah secara sederhana dan yang penting perbanyakkan selawat serta memperingati perjuangan Baginda. Diharapkan juga setiap rakyat Malaysia mampu mengambil iktibar supaya kehidupan menjadi berkat dengan mengamalkan sunnah Baginda.

Penulis ialah pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s