Aiskrim agen pemujuk paling berkesan

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

“Adik jangan menangis ya, nanti mama bagi aiskrim”. Petikan di atas merupakan salah satu dialog biasa yang kerap digunakan untuk memujuk seorang anak supaya berhenti menangis.

Sedar atau tidak aiskrim sering kali dijadikan objek sejak zaman berzaman untuk menarik perhatian seorang kanak-kanak.

Tidak kira apa jenis aiskrim sekalipun asal rasanya manis, sejuk dan bercirikan ais, ia menjadi satu agen pemujuk yang paling berkesan untuk semua kanak-kanak di seluruh dunia.

Seperti kebanyakan perkara di dunia ini, aiskrim turut mengalami evolusinya sendiri daripada sebagai ‘umpan’ untuk kanak-kanak, kini menjadi sebahagian daripada ‘pemanis’ dalam gaya hidup bagi orang dewasa.

Sebagai contoh, jika dulu bunga dan coklat sering dikaitkan dengan Hari Kekasih, tetapi peredaran masa telah merubah trend tersebut di mana pasangan tidak kira sama ada kekasih mahupun sahabat, menzahirkan perasaan kasih sayang mereka dengan menikmati aiskrim.

Ini kerana keunikan aiskrim itu sendiri yang rasanya manis, warna menarik serta cara ia dihidangkan dengan eksklusif telah menjadikan ia simbol baru pada pesta menyambut Hari Kekasih.

Tambahan pula, terdapat pelbagai perisa aiskrim yang dicipta khas untuk golongan dewasa sesuai dengan cita rasa terkini seperti tiramisu, cappucino, kopi, pudina, teh hijau serta beberapa perasa lain yang menepati selera orang dewasa.

Kenikmatan aiskrim bukan sekadar dapat dirasai dengan lidah, malah ia juga turut dirasai oleh mata.

Ini kerana, pelbagai aiskrim telah banyak digubah daripada konsep asalnya yang dilengkapi dengan hiasan atas atau topping , biskut coklat, kon, coklat bersalut (seperti Smarties dan M&M), perahan pati pekat buah-buahan yang berwarna-warna, cip coklat serta lain-lain lagi aksesori untuk menaikkan lagi seri sesebuah aiskrim tersebut bagi menepati cita rasa penggemarnya yang pelbagai serta mood yang berlainan.

Maka amat sesuai ungkapan dari mata turun ke hati, iaitu menggunakan aiskrim sebagai umpan untuk memikat hati wanita.

Percaya atau tidak, terdapat aiskrim yang mencecah harga puluhan ringgit untuk menikmatinya sekadar tiga atau empat ceduk (scoops).

Ini kerana ia mengandungi khasiat-khasiat tertentu yang berkualiti dan direka untuk golongan-golongan tertentu.

Ada juga aiskrim yang telah diadun khas dengan aroma dan perisa tertentu serta dilengkapi pelbagai aksesori di bawah jenama terkenal dan mempunyai nilai yang tinggi.

Aiskrim bukan sahaja terasa lebih ‘enak’ dinikmati berdua ketika memadu cinta, malah ia juga amat sesuai untuk dinikmati oleh seisi keluarga.

Aiskrim yang didatangkan dalam bentuk mangkuk yang besar serta mudah disimpan dalam peti sejuk sering menjadi pilihan utama untuk dinikmati bersama keluarga terutama ketika waktu senggang.

Penyediaannya yang ringkas, cepat dan mudah sering menjadikan ia menu utama pilihan kaum ibu.

Kiosk yang menawarkan produk-produk berunsurkan aiskrim ini sudah mula tumbuh bak cendawan di pusat membeli belah terkemuka di bandar-bandar besar, menepati gaya hidup warga kota yang ringkas dan bercita rasa tinggi.

Sesuai dengan cuaca panas di Malaysia, maka kiosk aiskrim seperti New Zealand Natural, Baskin Robbin, Lecka-Lecka, Haagen Daaz (sekadar menyebut beberapa nama) menampilkan bukan sahaja rasa ais krim yang unik, malah konsep dekorasi yang moden khas untuk semua peringkat ahli keluarga bersantai.

Bagi pasangan yang meraikan Hari Kekasih, pasti lokasi sebegini menjadi pilihan kerana lifestlye yang ditonjolkan.

Hakikat tersebut turut diakui dua anak muda ini yang merupakan sahabat karib, Wai M. Nur, 26, dan Natasya Roslan, 24.

Menurut mereka, sifat semula jadi aiskrim yang lembut, manis dan berwarna-warni amat sesuai untuk dijadikan perantara tatkala pasangan berjumpa untuk memperingati Hari Kekasih.

Lazimnya, pada hari tersebut, bunga dan coklat merupakan elemen wajib yang mesti ada bagi pasangan yang sedang bercinta sebagai menunjukkan bahawa mereka sedang meraikan hari tersebut.

Namun, bagi Natasya untuk menambah kelainan serta lari daripada tema yang terlalu konservatif itu, maka aiskrim pula dijadikan perantara sebagai pelengkap pada hari memperingati kekasih.

“Ini kerana, ketika kami berdua duduk berhadapan antara satu sama lain, sudah tentulah kami memerlukan sesuatu untuk dilakukan dan bukan sekadar berpeluk tubuh atau saling memandang antara satu sama lain dan kemudian tunduk malu,” ujarnya.

“Maka aiskrim inilah yang menjadi perantara antara satu sama lain kerana ia mudah dinikmati, merupakan diet yang tidak terlalu berat, tidak berkecah serta tidak jemu untuk lidah kita menikmatinya kerana rasanya yang manis,” kata Wai M. Nur pula.

Seperti diketahui umum, aiskrim juga dapat menaikkan mood serta mewarnai kehidupan seseorang bergantung kepada rasa dan aromanya.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran NZ Natural, Khong Yao Han berkata, aiskrim New Zealand Natural telah dikomersialkan bermula pada tahun 1984 istimewa untuk penciptanya sendiri yang mengalami alahan pada sebarang pewarna mahupun perasa tiruan.

“Ia 100 peratus semula jadi diimport dari New Zealand menggunakan susu yang berkualiti tinggi dari negara yang terkenal dengan pengeluar susu dunia itu,” ujarnya ketika ditemui di kiosk New Zealand Natural di The Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Dengan lebih 200 cawangan di seluruh dunia, New Zealand Natural menepati cita rasa penggemar aiskrim yang mementingkan kesihatan.

“New Zealand Natural mengadakan potongan harga sebanyak 30 peratus pada 30 hari bulan setiap bulan, jadi jangan lepaskan peluang menikmati ais krim yang penuh kesegaran ini”.

One thought on “Aiskrim agen pemujuk paling berkesan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s