Pentingnya mengurus emosi

Oleh Idris Musa

ALAM rumah tangga ibarat belayar di samudera, dalam tempoh perjalanan yang belum pasti itu, tentu menghadapi pelbagai pancaroba dan ujian.

Ibarat gigi dan lidah, suami isteri tidak dapat lari daripada berselisih faham namun dalam sesetengah kes, ia berpanjangan dan memberi impak kepada rumah tangga.
Mulanya, mungkin masalah rumah tangga membabitkan soal remeh-temeh tetapi apabila bercampur aduk dengan emosi dan ego, ada yang gagal mengharungi ujian sepanjang perjalanan itu.

Justeru, apabila persengketaan tidak dapat diselesaikan, kebanyakan pasangan memilih jalan ‘cerai’.Apakah cerai penyelesai masalah rumah tangga atau jalan terakhir?

Walaupun Islam membenarkan manusia melafazkan perkataan cerai tetapi Allah amat benci kepada mereka yang bercerai-berai.

Pakar motivasi, Ahmad Shukri Yusof, berkata dalam kehidupan rumah tangga, perselisihan dan persengketaan memang lumrah.

Beliau berkata, ia proses semula jadi bagi membolehkan pasangan saling mengenali.

Ia mungkin mengambil masa setahun, dua tahun atau sehingga satu tempoh yang agak panjang mungkin belasan atau puluhan tahun.

“Cuma perkara yang perlu difahami ialah bagaimana hendak menguruskan emosi kerana hadis nabi ada menyebut, `jangan marah, jangan marah, jangan marah’, yang diulang sehingga tiga kali, supaya masing-masing mengawal emosi,” katanya.

Statistik menunjukkan perkahwinan di Malaysia dalam tujuh tahun kebelakangan ini semakin meningkat.

Bagi tahun lalu, daripada 129,545 perkahwinan di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak, kes perceraian juga agak tinggi iaitu 20,131 kes.

Perceraian itu berlaku disebabkan pelbagai faktor, antaranya arus modenisasi yang menghakis nilai tradisional, mendahulukan material daripada menyelamatkan perkahwinan, tahap pendidikan dan pendedahan yang diperoleh membuatkan suami isteri terlalu objektif dalam menangani masalah.

Keretakan rumah tangga boleh berlaku apabila pasangan terbabit terlalu mementingkan kewangan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka, timbul rasa kecewa terhadap pasangan disebabkan gagal berbincang sebelum berkahwin, tiada kemahiran komunikasi, campur tangan pihak ketiga dan masalah sampingan seperti dadah.

Ahmad Shukri yang juga Perunding Motivasi Fitrah Power Resources berkata, perceraian bukan perkara yang boleh dianggap remeh sebaliknya ia adalah jalan terakhir kepada sesebuah rumah tangga.

“Sebelum memikirkan dan melafazkan cerai banyak lagi kaedah lain yang boleh difikirkan, seperti perbincangan di antara pasangan suami isteri secara baik tanpa membabitkan pihak lain, jika tidak dapat diselesaikan baru dilantik wakil dari pihak ketiga untuk mencari penyelesaian.

“Jika tidak dapat diselesaikan juga walaupun dengan pelbagai kaedah, barulah difikirkan jalan terakhir itu,” katanya.

Satu hadis diriwayat Abu Daud dan al-Hakim, maksudnya: “Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah talak.”

Perkahwinan bukanlah semata-mata satu ikatan yang menghalalkan perhubungan di antara dua jantina lelaki dan perempuan, tetapi kesinambungan institusi kekeluargaan.

Perkahwinan adalah suatu ikatan perkongsian hidup yang perlu kepada semangat kebersamaan, saling menghormati dan rasa penuh tanggungjawab, yang perlu dipertahankan dalam apa juga keadaan.

“Bergaullah dengan mereka secara baik dan mungkin kamu benci kepada isteri-isteri kamu. Mungkin kamu benci kepada sesuatu sedangkan Allah menjadikan padanya kebaikan yang baik.” (an-Nisa’:19)

Menurut Ahmad Shukri, sesetengah masalah tidak boleh dipendam tetapi perlu diluahkan bagi mengelak masalah lebih besar.

“Dalam rumah tangga, perlu ada konsep sabar dan muhasabah. Jika sewaktu bujang kita seorang pemarah, cepat melenting dan panas baran, apabila beristeri atau bersuami ubahlah sikap itu perlahan-lahan,” katanya.

Beliau mendapati banyak pasangan yang tidak tahu matlamat rumah tangga sehingga apabila bergaduh kecil pun mengungkapkan cerai.

“Justeru, perkahwinan memerlukan kepada beberapa unsur iaitu sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang) dan rahmat (kasihan belas).

“Ketiga-tiganya perlu digaul bagi menjadi makanan pasangan suami isteri sepanjang hidup bersama,” katanya.

Menurutnya, anak muda sekarang hanya tahu bercinta dan berkahwin, tetapi apabila memperoleh cahaya mata menjadi buntu seolah-olah anak menjadi beban.

“Anak memang satu beban tetapi ia juga amanah yang besar.

“Orang kita sesetengahnya apabila ada masalah mulalah jadi tidak menentu dan gelabah tetapi sedar atau tidak masalah yang dihadapi itu sendiri yang mematangkan diri,” katanya.
 

One thought on “Pentingnya mengurus emosi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s