Wang habis gara-gara isteri pisau cukur

cikkuntum@bharian.com.my

SEPERTI yang dijanjikan minggu lalu, Cik Kuntum siarkan kisah seorang pengirim yang menamakan dirinya Abang Di Bawah Bayu mengenai perkahwinannya yang berkecai di tengah jalan, apatah pula ibu bapanya tidak merestui pasangannya. Dalam kiriman e-melnya, Abang Di Bawah Bayu mengakui ketika itu beliau masih muda sehingga baginya apa saja yang dilakukan ibu bapanya adalah sebagai tentangan dan enggan berfikir secara rasional penjelasan diberikan.

Baginya, hanya Tini yang bertakhta di hati sehingga sanggup meminggirkan keluarga sendiri. Apatah pula, sebagai lelaki memberi kelebihan kepadanya kerana berbanding wanita, beliau tidak memerlukan wali untuk berkahwin.

Bagaimanapun, perkahwinan yang dibina hanya mampu bertahan dua tahun. Sikap Tini (bukan nama sebenar) dan keluarganya, akhirnya menyebabkan Abang Di Bawah Bayu terpaksa mengambil keputusan paling berat apabila tiada persefahaman lagi dalam rumah tangga yang dibina.
Semua yang berlaku membuatkan beliau teringat akan nasihat yang diberikan beberapa rakannya sebelum berkahwin dulu – kalau ibu bapa sudah tidak berkenan, pasti ada yang tidak kena.

Kata Abang Di Bawah Bayu, walaupun ibu bapanya tidak begitu menyukai kekasihnya, mereka akhirnya bersetuju dia berkahwin memandangkan Abang di Bawah Bayu betul-betul menyintai gadis berkenaan.

“Saya berkahwin dengan Tini atas dasar suka sama suka kira-kira empat tahun lalu. Kami berkenalan ketika Tini yang mewakili syarikatnya datang bertemu saya atas urusan syarikat. Ketika itu saya adalah pengurus di jabatan bekalan, jadi kami selalu bertemu sehingga akhirnya menimbulkan bibit cinta.

Empat bulan berkenalan saya benar-benar jatuh cinta dengannya dan rupa-rupanya cinta saya itu tidak bertepuk sebelah tangan. Memandangkan hubungan saya dengan keluarga terutama ibu sangat rapat, saya memberitahu ibu mengenai Tini. Ibu mencadangkan saya supaya membawa Tini bertemu keluarga.

Pada satu hujung minggu, saya mengatur pertemuan antara Tini dengan keluarga di sebuah hotel di daerah kami. Hendak dijadikan cerita, pada pertemuan itu Tini mengamuk di depan keluarga saya apabila pelayan tertumpah sedikit air pada bajunya.

Sejak itu, ibu dan ayah saya bagaikan enggan menerima Tini. Alasan mereka, Tini kelihatan berpura-pura dan kata hati mereka, ada yang tidak kena dengan gadis idaman hati saya itu. Namun saya berkeras dan memberitahu ibu, Tini bukan seperti yang disangkakan.

Dua bulan kemudian saya memberitahu ibu ingin bertunang. Ibu terkejut dengan permintaan saya itu. Daripada air mukanya saya tahu dia tidak bersetuju, tetapi maklumlah ketika itu orang yang sedang dilamun cinta semuanya ditolak ke tepi.

Keesokan harinya, ayah memanggil saya dan kami berbicara dari hati ke hati. Ayah memberitahu saya, bahawa dia dan ibu tidak bersetuju dengan gadis pilihan hati saya, tetapi saya membantah kerana berpendapat ibu dan ayah membuat keputusan berdasarkan satu pertemuan itu.

Malam itu saya bergaduh dengan ayah kerana menganggap dia berpandangan negatif dengan gadis yang saya cintai. Sejak malam itu saya jarang pulang ke rumah walaupun rumah keluarga hanya 20 minit perjalanan daripada rumah saya kerana kecewa dengan tindakan ayah dan ibu.

Bagaimanapun, atas desakan Tini yang mengajak saya berkahwin, saya hubungi ibu dan memaklumkan kepada dia saya akan bertunang juga sama ada dengan kehadiran keluarga atau tidak. Ibu meletakkan gagang telefon tanpa sepatah perkataan dan saya tahu dia kecewa, namun …tahu sajalah hati orang muda.

Dua hari kemudian, adik bongsu saya menghubungi saya memberitahu ibu dan ayah meminta saya menyediakan barang hantaran dan mereka sendiri akan datang untuk meminang. Tiba hari yang dijanjikan, dengan alamat yang saya berikan ibu dan ayah datang ke rumah Tini dan apa yang saya tahu adik maklumkan, majlis berjalan lancar dengan bapa saudara saya sebagai wakil keluarga.

Dipendekkan cerita, empat bulan kemudian kami melangsungkan perkahwinan. Selepas berkahwin, kami duduk bersama keluarga Tini. Tetapi malangnya setiap kali saya mengajak Tini balik ke rumah keluarga saya, dia mengelak dengan memberikan pelbagai alasan (saya tidak pernah memberitahu dia ibu bapa tidak begitu menyukainya).

Malah, pada hari raya pertama kami bergelar suami isteri dia enggan balik ke rumah keluarga saya kerana alasannya dia hendak membantu emaknya membuat persiapan. Pulanglah saya sendirian mengunjungi ibu dan ayah. Melihat saya sendirian, ibu menggeleng kepala tetapi tidak sepatahpun perkataan keluar daripada mulutnya.

Lama kelamaan saya mula berasa kurang selesa apabila isteri asyik meminta duit kononnya hendak membantu ibu bapanya, ada juga hendak digunakan untuk membeli perabot baru di rumahnya. Malah, dia turut meminta saya membelikan kereta untuk ibu bapanya, kononnya untuk kemudahan mereka.

Untuk makluman Cik Kuntum, keluarga Tini sederhana saja. Mereka tinggal di rumah setingkat yang mempunyai tiga bilik. Selepas kami berkahwin, Tini meminta saya membantu keluarganya untuk membesarkan rumah dengan tambahan satu bilik lagi.

Habis RM20,000 duit simpanan saya untuk tujuan itu, tetapi saya lakukan juga kerana sayangkan Tini. Setahun selepas kami berkahwin, adik perempuannya pula hendak bertunang tetapi Tini meminta saya yang mengeluarkan duit, bukan sedikit, sebaliknya RM5,000 untuk barang hantaran dan kenduri. Saya ikutkan juga bagai lembu dicucuk hidung.

Namun, kini memikirkan kembali tindakan saya itu terasa bodoh pula kerana sejak bekerja saya berjaya mengumpul lebih RM30,000 dan semuanya habis kerana permintaan Tini.

Lama kelamaan, saya tidak dapat lagi menunaikan permintaannya yang pelbagai. Apa yang membuatkan saya marah, setiap kali emaknya hendak berbelanja ke pasar atau pasar raya, saya diminta untuk mengikut ibunya dan mungkin Cik Kuntum boleh teka, sayalah yang kena membayar.

Satu hari Tini meminta saya membelikan kereta, kali ini untuk adiknya pula yang bakal berkahwin. Alasannya, bakal suami adiknya belum bekerja. Terkejut dengan permintaannya yang melampau, kami bergaduh besar malam itu. Malah, malam itu juga saya keluar dari rumah Tini dan pulang ke rumah keluarga saya.

Melihat saya bersama beg pakaian, ibu memandang muka saya dan malam itu saya memeluk kaki ibu memohon ampun sambil menangis. Ya, saya tidak malu untuk mengatakan saya menangis hari itu. Menyesal kerana enggan mempercayai kata hati ibu dan ayah.

Saya sedih kerana perkahwinan yang saya bina hancur di tengah jalan gara-gara isteri pisau cukur. Malah, selama dua tahun kami bersama tidak pernah dia melayan saya dengan baik sebaliknya menjadikan saya seperti tunggul di rumah, hanya diperlukan apabila hendakkan wang.

Tidak lama kemudian kami bercerai dan saya bersyukur kerana kami tidak dikurniakan anak. Kepada pembaca, ingin saya pesan supaya berhati-hatilah memilih pasangan. Jangan jadi seperti saya, kerana terlalu ikut hati sanggup meminggirkan keluarga sendiri demi cinta kepada seorang wanita yang saya kenali sekejap cuma.”

Walaupun tumpang sedih membaca cerita Abang Di Bawah Bayu, Cik Kuntum rasa mungkin itu penyudah sebaiknya. Tiada rasa marah dan kecewa lagi kerana sekurang-kurangnya dia kini bebas untuk menjenguk keluarganya tanpa perlu berasa kurang selesa apabila isteri enggan turut sama.

Bagi Cik Kuntum, jadikanlah secebis kisah Abang Di Bawah Bayu ini sebagai iktibar kepada semua yang bakal mendirikan bahtera rumah tangga. Ketika bercinta semuanya dirasakan indah belaka, tetapi hakikatnya pelayaran itu penuh dengan dugaan dan cabaran.

Jika ibu bapa tidak merestui, lupakan saja bakal pasangan itu. Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor. Jangan hanya kerana bimbangkan usia yang semakin meningkat atau rupa teman lelaki atau wanita anda itu yang boleh dibanggakan dengan sahabat dan ahli keluarga, anda paksa ibu bapa untuk menerimanya.

Ingatlah, kita berkahwin bukan untuk melarikan diri daripada keluarga kerana air dicincang takkan putus. Jangan hanya kerana seseorang yang baru dikenali anda sanggup meminggirkan keluarga.

Jika anda hendak berkongsi cerita atau masalah, hantarkan kepada Cik Kuntum di alamat Cik Kuntum, Halaman Citra, Balai Berita, No 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau e-mel kepada cikkuntum@bharian.com.my.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s