Tuberkulosis tegar dan masih bertahan

AZMI mengalami batuk berpanjangan sejak dua minggu lalu dan hilang selera makan. Doktor yang ditemuinya pula hanya memeriksa menggunakan stetoskop dan kemudian memberikan ubat batuk, ubat demam dan antibiotik.

Azmi bagaimanapun masih batuk selepas seminggu mengambil ubat dan berat badannya turun sebanyak tiga kilogram. Secara tiba-tiba Azmi mula batuk berdarah menyebabkan isteri dan bapa mentuanya bertambah risau melihatkan keadaan Azmi yang semakin teruk.

Bapa mentua Azmi menyatakan kemungkinan dia telah disantau orang dengki terhadapnya dan mengajak Azmi berjumpa bomoh. Bomoh yang ditemui itu pula menyokong kemungkinan Azmi disantau dan melakukan upacara untuk mengeluarkan santau di samping memberi air jampi dan herba akar untuk rawatan.

Namun, keadaan Azmi semakin teruk selepas sebulan sementara rawatan dari doktor dan bomoh berkenaan tidak menampakkan sebarang kesan kepada Azmi. Akhirnya, Azmi dibawa ke hospital untuk rawatan. Selepas pemeriksaan sinar-X dan kahak, dia didapati telah dijangkiti kuman tuberculosis (tibi).

Imej imbasan sinar-X Azmi menunjukkan keadaannya sangat teruk sementara kahaknya pula didapati mempunyai kuman tibi yang banyak di samping mudah menjangkiti orang terdekat. Imbasan sinar-X ke atas keluarga Azmi mengesahkan isterinya turut dijangkiti tibi tetapi pada peringkat awal.

Azmi dimasukkan ke wad dan diberi ubat untuk membunuh bakteria tibi. Selepas dua minggu, keadaannya semakin pulih dan cukup kuat untuk berjalan sebelum dibenarkan keluar dari hospital. Doktor menasihatkan Azmi supaya menyambung rawatan berkenaan selama enam bulan.

Isteri Azmi pula hanya menerima rawatan pesakit luar memandangkan jangkitan padanya lebih mudah dirawat. Selain isterinya, terdapat kemungkinan besar anak Azmi juga dijangkiti kuman tetapi belum menunjukkan sebarang gejala.

Ini adalah satu senario di mana pesakit tibi lewat mendapatkan rawatan sewajarnya sehingga menyebabkan ahli keluarga dijangkiti.

Pengalaman semasa bertugas di Kuala Terengganu dan lawatan ke hospital-hospital di Kelantan telah mengenalkan saya kepada begitu banyak senario seperti Azmi yang menyedihkan kerana penyakit tibi adalah penyakit yang boleh dirawat. Rawatan awal boleh mengelakkan kerosakan teruk kepada paru-paru dan mengelakkan orang-orang terdekat daripada dijangkiti.

Seperti Azmi, ramai di kalangan masyarakat kita yang masih percaya pada perbuatan santau dan akibatnya banyak penyakit yang boleh dirawat pada peringkat awal tidak dapat dikesan atau gagal dirawat dengan efektif. Pada zaman moden ini, penyakit tibi boleh dikesan pada peringkat awal dengan adanya alatan yang serba canggih sementara rawatan pula dapat diberikan dengan lebih cepat.

Namun, ada juga pesakit yang telah terbukti dijangkiti tibi melalui imbasan sinar-X dan ujian ke atas kahak tetapi masih enggan menerima rawatan kerana kepercayaan kuat terhadap santau dan ‘buatan orang’.

Sejarah tibi

Penyakit tibi telah dikesan pada tulang mumia dari zaman Firaun merupakan antara punca kematian utama di Eropah pada kurun ke-16 dan ke-17. Pada zaman itu, masyarakat Eropah juga berpendapat penyakit ini berpunca daripada perbuatan syaitan.

Hanya pada 1882, seorang saintis, Dr. Robert Koch dari Jerman telah menemui kuman tibi, Mycobacterium tuberculosis. Walaupun bakteria ini telah dikenal pasti, rawatan tibi tidak ditemui sehingga ubat suntikan Streptomycin diperkenalkan Salman Walksman pada 1943.

Ini diikuti suntikan BCG yang dimulakan oleh Calmette dan Geurin. Dengan adanya ubat-ubat baru, rawatan tibi sekarang hanya mengambil masa selama enam bulan. Ubat yang sama telah digunakan untuk rawatan tibi sejak 60 tahun lalu di seluruh dunia sementara ubat-ubat baru masih dalam peringkat kajian yang mungkin membolehkan rawatan tibi dikurangkan kepada empat atau dua bulan sahaja.

Kuman tibi, selalunya masuk ke badan pesakit melalui udara dan seterusnya ke dalam paru-paru. Dari sini, kuman tibi boleh merebak ke seluruh badan melalui saluran darah atau saluran limfatik dan boleh mengakibatkan tibi di seluruh badan.

Akibat penyebaran kuman tibi, terdapat tibi kelenjar, tibi selaput otak, tibi tulang, tibi jantung dan tibi organ-organ lain. Untuk mengesan kuman tibi di anggota-anggota berkenaan, doktor perlu mengambil sampel biopsi organ tersebut.

Di Malaysia, 85 peratus kes tibi melibatkan paru-paru sementara 15 peratus lagi melibatkan tibi pada anggota badan lain.

Tanda-tanda tibi

Antara tanda tibi adalah batuk berlarutan (lebih dua minggu), demam berpanjangan, badan berpeluh pada waktu malam, susut berat badan, selera berkurangan dan batuk berdarah.

Dalam satu kajian yang saya jalankan di Hospital Pulau Pinang, hanya 20 peratus pesakit yang mengalami gejala-gejala tersebut dalam tempoh kurang dua minggu menerima rawatan awal menyebabkan ada pesakit yang hanya dikesan selepas batuk selama lebih satu tahun.

Lebih lambat penyakit tibi pesakit dikesan, lebih ramai yang akan dijangkiti kuman tibi.

Seorang pesakit tibi yang gagal dikesan boleh menjangkiti 20 individu lain setiap tahun.

Sesiapa yang mempunyai tanda-tanda yang dinyatakan perlu menjalani ujian kahak dan imbasan sinar-X dengan segera.

Pemeriksaan dada biasa mungkin tidak menunjukkan sesuatu yang luar biasa kerana penyakit tibi di peringkat awal agak sukar dikesan melalui pemeriksaan fizikal sahaja.

Kebanyakan doktor gagal mengesan tibi kerana tidak mempunyai kemudahan mesin imbasan sinar-X dan juga makmal untuk pemeriksaan kahak.

Diagnosis tibi

Pada 1882, Dr. Robert Koch mengesan kuman tibi dengan menggunakan mikroskop dan kaedah ini masih digunakan dalam pemeriksaan kahak kerana ia sangat berkesan dan murah. Dengan mikroskop yang semakin canggih, kuman tibi juga boleh dikesan dengan lebih pantas, sekitar 30 minit sahaja.

Ujian Mantoux adalah satu lagi kaedah yang boleh dilakukan untuk mengesan jangkitan kuman tibi dengan memberikan suntikan cecair Mantoux pada lengan kiri pesakit. Reaksi suntikan ini boleh dibaca selepas tiga hari dengan melihat kepada kehadiran pembengkakan pada tempat suntikan sebesar 10 milimeter.

Jika ujian Mantoux ini positif, doktor akan melakukan imbasan sinar-X pada dada pesakit dan juga pemeriksaan kahak (jika batuk berkahak). Ujian positif Mantoux menunjukkan kuman tibi telah memasuki badan pesakit tetapi belum aktif.

Kuman tibi akan menunggu masa untuk menjadi aktif dan ini boleh memakan masa antara satu bulan hinggalah berpuluh tahun lamanya, bergantung kepada jumlah bakteria tibi dan daya tahan (imuniti) badan pesakit.

Di dalam senario Azmi, anak-anak Azmi berkemungkinan besar mempunyai ujian Mantoux positif memandangkan keadaan penyakit Azmi yang teruk ketika didiagnosis.

Imbasan sinar-X pula merupakan cara yang mudah dan cepat untuk mengesan jangkitan kuman terhadap paru-paru. Jika imej yang diperoleh didapati tidak normal, kahak perlu diperiksa selama tiga hari berturut-turut untuk mengesan kuman tibi.

Ujian darah untuk mengesan kuman tibi adalah sangat mahal dan hanya dilakukan untuk kes-kes tertentu sahaja.

DOT dan rawatan tibi

Bakteria tibi mempunyai dinding sel yang tebal dan amat sukar untuk dibunuh menggunakan antibiotik. Kuman ini juga boleh hidup di dalam sel-sel darah dan di dalam tisu anggota badan lain.

Oleh itu, rawatan tibi perlu terus diberikan selama enam bulan supaya semua kuman di dalam dan di luar sel dapat dibunuh sepenuhnya.

Cara rawatan adalah dengan memberikan empat jenis antibiotik sekaligus kepada pesakit. Ini adalah untuk mengelakkan kuman tibi menjadi kebal kepada ubat (multidrug resistance TB). Pesakit perlu mengambil ubat-ubat ini setiap hari bagi dua bulan pertama, sehinggalah pemeriksaan doktor dijalankan.

Sekiranya pemeriksaan doktor menunjukkan kemajuan dari segi simptom, imej imbasan sinar-X dan pemeriksaan kahak, cara pengambilan ubat akan diubah kepada dua kali seminggu untuk empat bulan seterusnya. Imbasan sinar-X dan ujian kahak perlulah dijalankan setiap dua bulan sepanjang tempoh rawatan, sehinggalah pesakit didapati sembuh sepenuhnya (selalunya hanya dalam tempoh enam bulan).

Seperti antibiotik lain, ubat-ubat untuk tibi juga mempunyai kesan sampingan seperti loya, muntah, rasa gatal badan dan letih. Adalah sangat penting pesakit memaklumkan doktor atau jururawat jika terjadi sebarang kesan sampingan yang teruk.

Bagi memastikan pesakit mengambil ubat seperti yang diarahkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memperkenalkan kaedah rawatan ‘Directly Observed Treatment’ (DOT) pada awal tahun 1990-an. Kaedah DOT memerlukan semua pesakit mengambil ubat di hadapan kakitangan kesihatan (doktor, jururawat atau penolong pegawai perubatan) bagi memastikan ubat dimakan setiap hari seperti yang ditentukan.

Ini juga akan memudahkan pesakit memaklumkan sebarang kesan sampingan yang dialami ketika permulaan rawatan. Kaedah ini telah dibuktikan berkesan di banyak negara, di mana peratusan kes sembuh tibi meningkat sementara kadar kematian semakin berkurangan dan turut mengurangkan kejadian kuman tibi menjadi kebal kepada ubat.

Kejadian kuman tibi yang kebal kini didapati meningkat di beberapa negara di rantau Asia. Kuman jenis ini amat sukar dihapuskan dan kadar kematian pesakit akibat jangkitan kuman tibi kebal adalah setinggi 80 peratus.

Bagi mengelakkan keadaan ini, adalah amat penting bagi semua pesakit untuk mengambil ubat sambil diawasi oleh kakitangan kesihatan.

Kaitan Tibi, HIV dan Diabetes

Dalam kajian saya di Hospital Kuala Terengganu dan Hospital Pulau Pinang, sebanyak 20 peratus (satu daripada lima) pesakit tibi yang dikesan turut menghidap penyakit diabetes mellitus (kencing manis).

Ini bermakna, semua pesakit diabetes yang diserang batuk berpanjangan atau simptom lain yang telah dinyatakan perlu menjalani pemeriksaan kahak.

Kajian saya juga menunjukkan kuman tibi lebih senang menyerang paru-paru pesakit yang gagal mengawal diabetes.

HIV dan tibi pula adalah dua penyakit yang sukar dipisahkan. Kebanyakan kematian di kalangan pesakit HIV adalah disebabkan oleh jangkitan kuman tibi.

Memandangkan HIV menyebabkan sistem imuniti badan menjadi lemah, kuman tibi amat mudah menjangkiti setiap anggota badan pesakit HIV, selain dari paru-paru.

Sejak 20 tahun kebelakangan ini, bilangan penyakit tibi juga didapati meningkat sejajar dengan peningkatan jangkitan HIV.

Ini membawa kepada satu polisi baru dalam sistem kesihatan kita di mana semua pesakit HIV perlu diperiksa untuk tibi dan semua pesakit tibi perlu menjalani pemeriksaan HIV.

Hari Tibi Sedunia 2008

Tarikh 24 Mac diumumkan sebagai Hari Tibi Sedunia bersempena tarikh Dr. Robert Koch menemui kuman tibi pada 1882. Tema Hari Tibi Sedunia 2008 adalah ‘I am stopping TB’ sesuai dengan usaha semua orang untuk menghentikan penyakit zaman purba ini dari terus merebak.

Bagi pesakit tibi, tema ini bermakna mereka perlu mengambil ubat seperti diarahkan doktor supaya penyakit ini dapat disembuhkan di samping mengelakkan jangkitan kepada orang lain.

Setiap anggota kesihatan pula perlu memastikan pengesanan penyakit ini dapat dibuat pada peringkat awal dan secara tidak langsung dapat mengelakkan jangkitan kepada orang lain.

Bagi pihak kerajaan, tema ini bermakna setiap ahli politik dan kementerian yang terlibat perlu memberi sokongan kewangan dan pendedahan sewajarnya supaya usaha menghentikan tibi dapat dijalankan dengan berkesan.

Orang awam juga boleh memainkan peranan dengan menolong pesakit tibi mendapatkan dan meneruskan rawatan mereka dan mengambil inisiatif membawa pesakit yang disyaki mempunyai tanda-tanda tibi ke hospital terdekat untuk ujian lanjut.

“I am stopping TB” adalah satu mesej yang cuba ditampilkan supaya setiap individu pelbagai peringkat memainkan peranan masing-masing dalam menghentikan penularan penyakit tibi.

Perlu diingat, seorang pesakit mati akibat tibi setiap saat di seluruh dunia sementara satu pertiga penduduk dunia kini dijangkiti kuman tibi. Dengan wujudnya penyakit HIV dan kuman tibi kebal, penyakit ini berkemungkinan menjadi pembunuh utama kelak. Oleh itu, doktor di sektor swasta atau kerajaan, ahli politik, pengamal perubatan tradisional dan masyarakat perlu bekerjasama menentang ancaman kesihatan ini. Sama-samalah kita hentikan TB.

6 thoughts on “Tuberkulosis tegar dan masih bertahan

  1. pada sesiapa yg terkena penyakit ni cepat2 lah gi berubat.. ibuku meninggal dunia pada 02hb august 2006 dan adikku telah menuruti ibuku pada 30hb november 2006.. arwah berdua amat akrab..tapi takdir telah menentukan mereka telah pergi untuk selama-lamanya akibat TIBI..

  2. Salam utk semua,
    Isteri saya seorang guru berumur 35 tahun telah dimasukkan ke hospital klang kerana disyaki mengidap tibi kelenjar.Setakat hari ni masih diperingkat ujian lagi.harap2 negatif lah..Kepada pemilik web,terima kasih atas info yg diberi..

  3. Saya sendiri mengalami penyakit TB. Alhamdulillah sokongan keluarga , membuatkan saya kuat lawan penyakit ini. Kena makan 12 biji setiap pagi merupakan pengalaman pahit bagi saya. Dulu makan panadol pun sekali sekala saja. Tiba skarg 12 biji setiap pagi. Saya perlu kuat demi anak-anak, suami, dan mak ayah yang tercinta.

  4. halo sesiapa dapat bagi stastitik bagi penyakit tb di johor bg thn 2008…krjasama tuan puan amt dihargai..terima kasih…

  5. saya penghidap tibi spine (tibi tulang) baru sahaja membuat operation d bahagian leher c5 dan c6 di ganti metal.dan sekarang saya masih dalam treatment pengambilan antibiotik setiap hari makan ubat.minggu lepas saya berjumpa dgn dokter dan mereka melihat pada imbasan ct scan ada nanah d paru2,tuhan terus menguji.dan jumaat ini saya akan membuat lagi scan.kaviti d bahagian paru ada menguncup so itu satu berita bagus..tetapi yang bad news nya adalah tibi pada tulang masih tidak ada perubahan saya dapat melihat dr hasil scan itu terdapat tompok2 putih d tulang sekiranya tulang yg sihat warna tulang itu adalah gelap.hanya satu harapan saya sekarang adalah untuk bebas dari kuman tibi dan dapat menjalani kehidupan seperti sediakala.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s