Urut tak dapat betulkan uri

SAYA berusia 34 tahun dan mempunyai empat anak. Semasa hamil anak keempat pada 2006, saya menghadapi plasenta previa type I/II dan saya bersalin secara pembedahan.

Untuk pengetahuan doktor, ketiga-tiga anak sebelum ini bersalin secara normal. Persoalannya, bolehkah sengkak dilakukan seperti mana lazimnya dibuat selepas bersalin normal sebelum ini?

Bagaimana untuk mengelakkan berlakunya plasenta previa? Adakah ia boleh dilakukan secara urutan?

UMI
Kajang, Selangor

UNTUK makluman umum, plasenta previa adalah nama perubatan untuk keadaan uri di bawah. Pada awal ketibaan embrio dari tiub falopio ke dalam ruang rahim, saiznya amat kecil berbanding saiz ruang rahim.

Embrio ini kemudian akan melekat pada mana-mana bahagian atau permukaan terdalam dinding rahim ini, proses ini dinamakan implantasi.

Embrio ini kemudiannya akan berkembang lanjut dan membahagi kepada janin dan uri manakala selaputnya membentuk selaput ketuban (membran amnion). Titik atau lokasi perlekatan embrio inilah yang menentukan kedudukan uri.

Cuma dengan berlakunya pembentukan segmen bawah dinding rahim selebar kira-kira lima sentimeter (sm) yang berlaku selepas minggu ke-28 kehamilan, ia memberi peluang untuk uri yang berada pada kawasan bawah ini untuk seolah-olah dianjakkan ke atas.

Peluang ini bergantung kepada sejauh mana lokasi uri berada di bawah. Jika hanya sebahagian saja yang berada di bahagian bawah, kemungkinan untuk ia ‘naik’ ke segmen atas lebih tinggi.

Sebaliknya, jika berada betul-betul di bahagian bawah, ia lebih berkemungkinan untuk kekal di segmen bawah.

Plasenta previa tidak mempunyai punca. Tidak ada faktor mempengaruhi embrio awal ini melekat di mana-mana bahagian permukaan dinding rahim. Namun, secara kajian plasenta previa didapati lebih kerap berlaku pada keadaan berikut:

– Pernah menjalani pembedahan Caesarean.

– Kehamilan kerap. Ia kurang berlaku dalam kehamilan pertama.

– Usia meningkat. Ini mungkin berkait dengan kemungkinan wanita ini pernah menjalani pembedahan atau kerap hamil.

– Kehamilan kembar (saiz uri lebih besar).

– Pernah mengalami plasenta previa dalam kehamilan sebelumnya.

– Pernah menjalani prosedur D&C

– Merokok

– Kedudukan uri pada awal kehamilan seawal 15 minggu (tiga setengah bulan) kehamilan. Sekiranya ia didapati berada melangkaui lingkungan satu sentimeter dari pintu rahim interna, ia lebih berisiko untuk kekal sebagai plasenta previa.

Uri tidak seperti janin, uri tidak boleh bergerak sendirinya atau digerakkan. Uri yang berbentuk seperti piring berdiameter selebar sekitar 20 sm ini melekat keseluruhannya pada permukaan dinding rahim sepanjang kehamilan sehinggalah setelah lahirnya bayi.

Ramai wanita membuat salah tanggapan bahawa plasenta previa boleh dibetulkan kedudukannya atau dielakkan. Berurut juga tidak dapat membetulkan kedudukan uri.

Berurut mungkin dapat mengubah kedudukan janin memandangkan janin boleh berpusing atau bergerak tetapi ini juga mendedahkan anda dan bayi kepada komplikasi bahaya.

Berurut secara perubatan moden ada dilakukan untuk membetulkan kedudukan janin tetapi prosedur ini dilakukan dalam keadaan ibu dan doktor serta kakitangan hospital bersedia untuk menghadapi kemungkinan pembedahan Caesarean terpaksa dilakukan serta-merta.

Dengan penerangan di atas, anda mungkin dapat lebih memahami bahawa plasenta previa tidak boleh dielakkan melainkan anda membuat keputusan untuk tidak hamil lagi.

Anda juga lebih terdedah kepada risiko plasenta previa memandangkan anda lebih berusia sekarang, kehamilan berikutnya adalah kehamilan kelima (disebut multipara), pernah mengalami plasenta previa dan pernah menjalani pembedahan Caesarean.

Sengkak sewaktu berpantang dilakukan berdasarkan andaian rahim terjatuh daripada tempat asalnya dan perlu dinaikkan semula. Ini mungkin ada logiknya jika rahim pada asalnya berada dalam kawasan atau takuk tertentu pada ruang pelvis, namun sebenarnya ia tidak.

Bahagian tertentu rahim dipegang oleh struktur berotot dan berligamen yang kemudian melalui tekanan atau trauma pemanjangan sewaktu hamil serta tekanan meneran kelahiran.

Trauma ini boleh menyebabkan rahim jatuh sedikit atau lebih teruk sehingga kelihatan terjulur keluar dari faraj. Berurut sewaktu berpantang bagaimanapun dapat memberi kelegaan serta sokongan moral oleh bidan yang juga menjadi teman berbual mengenai panduan penjagaan diri dan keluarga.

Lazimnya bidan akan mengelakkan kawasan perut sewaktu mengurut wanita bersalin pembedahan, ia lebih kepada anggota lain seperti tangan dan kaki serta bahu.

Selepas tempoh berpantang, kebiasaannya luka pembedahan sembuh sepenuhnya, namun ada juga yang mengambil masa sehingga tiga hingga empat bulan.

Sebelum berurut, anda dinasihatkan membuang air kencing terlebih dulu agar tidak berlaku trauma pundi kencing akibat tekanan urutan terbabit. Kes pundi kencing pecah selepas berurut juga pernah berlaku dan memerlukan pembedahan kecemasan untuk membaikinya.

2 thoughts on “Urut tak dapat betulkan uri

  1. Salam & salam sejahtera,

    Saya berusia 30 tahun dan sedang hamil 29 minggu anak ketiga. Pada minggu ke 28, doktor mengesahkan bahawa uri saya rendah dan akan membuat imbasan pada minggu ke 34. Anak pertama saya lahir pada 2006 dan kedua pada tahun 2007. Doktor juga mengesahkan bahawa kedudukan plasenta adalah melintang. Tekanan darah saya selalu tinggi (kadang-kadang normal, kadang-kadang tinggi)tetapi ujian air kencing menunjukkan tiada protein. Saya juga tidak mengalami sebarang pendarahan, cuma rasa sakit di bahagian bawah perut. Saya juga dapat rasakan pergerakan plasenta pada ari-ari sewaktu baring dan berbeza dengan kehamilan sebelumnya.Apa yang saya perlu buat sementara menunggu minggu ke 34?

  2. Saya berusia 25 tahun. Sekarang sedang hamil 4 bulan anak pertama. Saya mangalami plasenta previa, bila angkat sesuatu atau jalan byk darah akan keluar tetapi tidak banyak mcm darah haid. Saya amat risau memandangkan ini anak pertama. Adakah sangat berbahaya bila berlakunya kes ini?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s