Apabila gendang dipalu

MEWARISI pelbagai kebudayaan yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita merupakan satu rahmat yang tidak boleh dipandang ringan dan seterusnya kita sebagai generasi pewaris berusaha memulihara peninggalan tersebut.

Seperti yang diketahui, kebudayaan dan kesenian yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu mempunyai ketinggian seninya yang diterjemahkan melalui seni lukis, seni pentas, seni muzik, seni sastera dan sebagainya.

Gendang, umpamanya merupakan warisan yang ditinggalkan bersama pelbagai instrumen muzik tradisional yang lain untuk digunakan dalam sebarang upacara rasmi atau hiburan.

Terdapat pelbagai jenis gendang dalam dunia Melayu seperti:

Beduk
Beduk adalah gendang satu muka yang berbentuk memanjang dan ia sebenarnya bukanlah alat hiburan tetapi digunakan di surau atau masjid untuk menyeru penduduk sekitar menunaikan kewajipan kepada Allah.

Gendang ibu
Sejenis gendang ‘dua muka’ yang berukuran besar dan ditakrifkan sebagai Gendang Melayu. Ia mula berkembang di Negeri Kelantan dan digunakan sebagai alat genderang dalam paluan untuk mengiringi teater tradisional serta tarian klasik istana dan rakyat.

Rebana
Sejenis gendang satu muka yang digunakan untuk mengiringi tarian dan juga nyanyian rakyat yang dikenali sebagai ‘Adai-Adai’ oleh masyarakat Melayu berketurunan Brunei di daerah Papar, Beaufort dan Sipitang, Sabah,

Rebana dipalu dengan sebelah tangan dan paluannya serta nyanyian Adai-Adai diadakan untuk meraikan majlis-majlis keramaian dan menyambut tetamu kehormat.

Manakala di kalangan suku kaum Bajau pula terdapat sejenis gendang panjang yang mempunyai satu muka sahaja.

Ia diletakkan secara berdiri di atas lantai dan dipalu dengan tangan. Gendang ini lazimnya digunakan dalam kesenian muzik ‘Bertitik’ untuk memainkan pola paluan seperti irama ‘Kedidi’, ‘Ayas’ dan ‘Tidong’.

Geduk
Gendang dua muka yang berbentuk silinder. Ia sering digunakan dalam permainan wayang kulit dan menora di Kelantan dan wayang gedek di Kedah.

Baluhnya diperbuat daripada kayu keras seperti nangka ataupun angsana (sena) dan pada kedua-dua permukaannya diregangkan dengan belulang lembu dengan menggunakan bahan pelekat dan berbaji ataupun pasak yang diperbuat daripada kayu keras, lazimnya daripada kayu nibung.

Alat Geduk dipasang dengan kaki pada bahagian depan badannya. Dalam konteks persembahan, posisi muka geduk akan berada secara berhadapan dengan pemainnya.

Ia dipalu dengan sepasang pemukul kayu. Dalam wayang kulit dan menora di Kelantan ianya disertakan secara berpasangan iaitu Ibu (bersaiz besar) dan Anak.

Gendang Gamelan
Mendukung peranan sebagai penyokong irama dalam persembahan Gamelan Melayu. Ia merupakan jenis gendang dua muka iaitu compound hole dan berbentuk seperti tempayan iaitu barrel-shapped.

Pada permukaan besarnya diregangkan dengan belulang lembu sebagai bahan bunyi dan pada permukaan kecil dengan belulang kambing.

* Sumber: Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

——————– 

Warisan tak lapuk dek zaman

“GENDANG gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati.” Tentu ramai yang biasa mendengar pantun dua kerat tersebut yang seringkali digunakan untuk mengusik kanak-kanak.

Pantun yang dicipta berabad lamanya itu menggunakan elemen gendang sebagai penyedap bunyi.

Ini membuktikan gendang telah lama wujud di kalangan masyarakat Melayu dan merupakan salah satu elemen penting dalam kesenian warisan.

Bahkan, gendang merupakan alat muzik tradisional yang begitu sinonim dengan kebudayaan masyarakat Melayu.

Ia seringkali dimainkan bersama-sama beduk, gedombak, geduk, gendang jawa, jidur, kompang, maruas, nahara, rebana dan beberapa peralatan lain bagi mengiringi upacara-upacara seperti peristiadatan diraja, silat dan sebagainya.

Gendang adalah alat bunyian yang diperbuat daripada kulit binatang seperti kerbau, kambing atau lembu. Ia merupakan salah sebuah alat muzik dalam keluarga genderang.

Setiap bangsa seperti Cina, Melayu dan India mempunyai gendang dengan nama yang tersendiri. Gendang boleh didapati dalam pelbagai saiz dan kegunaan.

Ada gendang yang digunakan untuk persilatan bagi orang Melayu, ada gendang yang digunakan bagi tari-menari dan ada juga yang digunakan untuk menyambut perayaan atau pertabalan diraja.

Apa yang menariknya, gendang masih lagi kekal sehingga ke hari ini dan masih lagi digunakan dalam adat-istiadat diraja dan juga seni mempertahankan diri iaitu silat.

Sedang negara kita mengalami proses transformasi menuju ke era pemodenan dan masing-masing berlumba-lumba untuk berada di hadapan, masih ada lagi insan yang berjiwa halus mempertahankan seni membuat gendang ini.

Kunjungan penulis ke Negeri Kedah bersama rombongan media anjuran Kraftangan Malaysia, telah dipertemukan dengan seorang pembuat gendang yang begitu mahir dan halus pembuatannya.

Pak Teh Hamid, 48, telah mula berkecimpung dalam dunia pembuatan gendang seawal usia 14 tahun lagi.

Menurut beliau, kemahiran itu diwarisi daripada bapanya, Abdullah Saad, yang juga merupakan antara pembuat gendang tersohor di negeri yang terkenal dengan gelaran Jelapang Padi ini.

“Kayu yang digunakan untuk membuat gendang adalah daripada jenis kayu jelatoh atau jelutong kerana sifatnya yang lembut, senang diukir dan tidak rapuh.

“Kayu nangka juga kadang kala digunakan untuk membuat gendang-gendang tertentu seperti gendang silat supaya bunyi yang dihasilkannya itu berbeza sedikit daripada gendang-gendang biasa.

“Gendang juga terdiri daripada pelbagai jenis, saiz dan menghasilkan bunyi yang berbeza-beza mengikut saiznya.

“Kombinasi pelbagai saiz gendang inilah yang akan menghasilkan sebuah bunyi yang harmoni sebagai penyedap halwa telinga untuk menghayatinya,” ujar Pak Teh ketika ditemui di rumahnya di Pendang, Kedah.

Menurut Pak Teh lagi, gendang terdiri daripada pelbagai jenis dan tiap-tiap jenis itu mempunyai fungsi yang tersendiri. Ada gendang India, gendang silat, gendang joget dan beberapa jenis gendang lain yang dimainkan dalam majlis-majlis tertentu.

Gendang sering dimainkan dengan serunai, iaitu antara pasangan wajibnya yang menjadi pelengkap kepada bunyi yang akan dihasilkan.

Pak Teh membuat gendang berdasarkan permintaan. Proses pembuatannya pula jika dilihat dengan mata kasar amatlah mudah, tetapi hakikatnya membuat gendang menuntut tahap ketelitian dan kesabaran yang amat tinggi.

“Jika sesebuah gendang dihasilkan sambil lewa, ia tidak akan menghasilkan bunyi seperti yang dikehendaki,” jelas Pak Teh yang amat mesra dan peramah orangnya.

Tambahnya, rotan yang dililitkan di dalam gendang dinamakan rotan batu bertujuan untuk mencekang gendang tersebut.

Seni ukirannya yang cantik, ketegapan struktur rangkanya, serta bunyi merdu yang dihasilkan, merupakan pakej yang mesti ada pada sesebuah gendang.

Asas gendang diperbuat daripada kulit lembu atau bam pada bahagian bawahnya, manakala bahagian atasnya pula diperbuat daripada kulit kambing.

Permukaan kulit bam dikikis untuk membuang lemak yang terkandung pada kulit tersebut. Semakin lama kulit tersebut disimpan, semakin sedap bunyi yang akan dihasilkan.

Sekeping kulit besar dapat menghasilkan lima belah ‘bam’. Kadang kala Pak Teh juga ada membuat serunai, mengajar silat dan tomoi jika permintaan terhadap gendang berkurangan.

Didorong rasa cinta yang begitu mendalam terhadap kesenian gendang ini, atas inisiatifnya sendiri Pak Teh telah menubuhkan sebuah kumpulan yang dinamakan Sri Pusaka, Pak Teh.

Kumpulan ini terdiri daripada adik-beradik dan anak-anaknya sendiri. Tiga daripada lapan anak Pak Teh iaitu Mohd Faizal, 16, Mohd Syabil, 18, dan Mohd Sabri, 25, berkecimpung secara serius dalam bidang seni warisan ini, malah anak bongsunya, Norizah, turut mempelajari cara-cara bermain gendang dengan betul dan turun membuat persembahan sekiranya diperlukan.

Selain itu menurut Pak Teh lagi, kesemua 15 orang adik-beradiknya juga boleh bermain gendang dengan baik.

Beliau sendiri boleh memainkan lima jenis gendang dan membuat persembahan di merata tempat jika ada jemputan.

Persembahan paling jauh yang pernah disertai mereka ialah di Genting Highland. Penubuhan kumpulan ini telah mendapat sokongan daripada rakan-rakan seperjuangan serta kesemua adik-beradiknya.

Pendapatan untuk sekali persembahan antara RM800 hingga RM1,000. Persembahan yang paling tidak dapat dilupakan dan menjadi kenangan manis bagi kumpulan ini ialah pada Hari Kraftangan di Kuala Lumpur sedikit masa lalu.

Ditanya tentang perancangannya, Pak Teh memandang penulis dengan penuh harapan memberitahu perancangan jangka panjangnya demi mempertahankan warisan kesenian Melayu ini supaya tidak luput ditelan zaman.

Beliau bercadang untuk membuka bengkelnya sendiri supaya dapat menghasilkan gendang dengan lebih efisien dan dalam jumlah yang besar.

Selain itu, Pak Teh juga merancang untuk membuka sebuah bilik pameran bagi memperagakan jenis-jenis gendang yang dibuatnya supaya pelawat-pelawat dapat melihat sendiri jenis-jenis gendang tersebut dan bukan hanya sekadar mengenali namanya sahaja.

Bagi merealisasikan impiannya itu, beliau merangkakan bajet sebanyak RM20,000 dan amat berharap agar pihak Kraftangan atau pun pihak-pihak lain yang sudi memberikan bantuan untuk melihat khazanah warisan kesenian Melayu ini akan kekal hingga ke generasi-generasi seterusnya.

Menurut Pak Teh, gendang bukan sahaja dimainkan bagi lagu-lagu gembira, malah gendang juga dimainkan bagi mengiringi lagu-lagu sedih.

Bunyinya tetap sama tetapi berbeza dari segi tempo. Menurutnya lagi, dia mempunyai sebuah gendang yang diwarisi sejak dari lahir lagi iaitu sebuah gendang keling yang berkilat dan bentuknya seakan-akan sebuah tanduk.

Menurut Pak Teh, bunyi gendang bagaikan sudah sebati dan menjadi darah dagingnya, sehinggakan jika sehari tidak bermain gendang, terasa harinya seakan tidak lengkap, sunyi dan tidak senang duduk.

“Sehari tak main gendang berasa sunyi sangat, seperti kehilangan sesuatu, ibarat kata, tak senang duduklah,” ujarnya dalam loghat Kedah bercampur Siam.

Beliau amat berharap agar khazanah kesenian Melayu itu akan terus berkekalan sampai bila-bila, serta menyandarkan harapan kepada anak lelakinya, Sabri atau panggilan manjanya, Awi supaya terus menyambung apa yang dipertahankan selama ini.

Pak Teh juga bersedia berkongsi idea dan pendapatnya tentang seni warisan Kraf gendang atau menerima tempahan dengan menghubunginya di talian 012-4610785.

One thought on “Apabila gendang dipalu

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s