Celik emosi boleh erat silaturahim

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia
BAGAIMANAKAH pengetahuan mengenai emosi membantu dalam pembentukan personaliti seseorang individu dan membantu menyelesaikan masalah dalam perhubungan seharian manusia.

Lebih penting lagi adakah saranan celik emosi ini bertepatan dengan Islam itu sendiri. Islam adalah agama rahmat. Syariat Islam diturunkan sebagai penyelesaian kepada permasalahan manusia.

Malah, dalam menegakkan syariat, kita mendapati pelbagai mekanisme digunakan oleh fuqaha bagi mengeluarkan hukum fiqh (istinbat al-hukm).

Oleh itu, ada mazhab yang empat dan pandangan (qaul) dalam sesuatu mazhab. Hakikat Islam adalah agama penyelesai masalah, perlu diraikan. Permasalahan yang membangkitkan persoalan emosi, kejiwaan dan perasaan pun penyelesaian boleh dicapai menggunakan kaedah diguna pakai di dalam tradisi keilmuan Islam.

Dakwah Rasulullah SAW membuktikan kemahiran Baginda membaca persekitaran dan menyelesaikan setiap permasalahan yang datang berdasarkan hikmah Baginda dan wahyu Allah SWT. Contohnya, apabila Rasulullah pertama kali berdakwah secara terang-terangan kepada kaum Quraisy, Baginda berjaya memanfaatkan emosi kaumnya pada masa itu.

Dilaporkan, kaum Arab Quraisy gemar mendengar syair. Baginda memanfaatkan rasa ingin tahu mereka dengan bertanya adakah mereka percaya kepada Baginda. Kaum Quraisy, didesak oleh rasa ingin tahu dan semangat yang meluap-luap untuk mendengar syair mengatakan bahawa mereka tidak pernah mendengar Rasulullah berbohong.

Emosi mereka yang begitu meluap-luap ketika itu diketahui Rasulullah dan dimanfaatkan sepenuhnya dalam erti kata, mereka sewajarnya tidak menafikan berita atau maklumat yang bakal dibawa Rasulullah. Apabila Rasulullah menyebutkan mengenai kiamat dan hari kebangkitan, sekalian yang hadir terdiam memandangkan mereka mengakui Baginda bukan penipu.

Dalam satu lagi peristiwa seperti dilaporkan berlaku kepada seorang sahabat Alqamah yang menghadapi kesukaran untuk menghadapi sakratul maut. Rasulullah mengancam untuk membakar mayatnya bagi memanfaatkan emosi ibu Alqamah sehingga ibunya menarik semula sumpahnya dan mengampun Alqamah dan dengan itu Alqamah kembali ke pangkuan Allah dengan tenang.

Begitu juga kisah berlaku kepada Sa’ad Ubadah yang dilantik sebagai ketua delegasi ketika peristiwa pembukaan Kota Makkah. Sa’ad terkenal dengan ketegasan dan kepahlawanannya. Ketika bertembung dengan Ketua Kota Makkah, Abu Sufyan, Ubadah melemparkan kata-kata amaran seperti ancaman terhadap Abu Sufyan dengan tujuan untuk mengingatkan beliau mengenai kekuatan delegasi Rasulullah pada masa itu.

Abu Sufyan bertemu Rasulullah dan menuntut janji bahawa delegasi baginda akan masuk ke Makkah dengan aman. Dengan nasihat Abdul Rahman bin Awf, Rasulullah mengambil keputusan untuk menggantikan Sa’ad bin Ubadah dengan puteranya, iaitu Qays bin Sa’ad.

Menurut perkiraan Baginda, ayah tidak akan tersinggung, malah akan berasa lebih berbangga jika anaknya diminta untuk meneruskan tanggungjawabnya. Kebijaksanaan Rasulullah memanfaatkan emosi seorang bapa itu amat nyata sekali.

Baginda berkeyakinan Sa’ad tidak berniat mengapa-apakan penduduk Makkah, namun Baginda juga mengiktiraf emosi Abu Sufyan yang berasa terancam melihatkan kehebatan delegasi Rasulullah pada hari itu. Dalam konteks perhubungan kita sesama manusia hari ini, tidak dapat dinafikan betapa kompleks jaringan perhubungan dan saluran maklumat yang ada. Sama ada kita suka atau tidak, ini adalah hakikat yang menuntut kita lebih peka dan sensitif kepada apa juga yang berlaku.

Dalam ruang lingkup konvensional contohnya, dalam sesebuah keluarga, kepekaan perlu diterjemahkan melalui kesungguhan dalam mengambil berat dan mengambil tahu apa yang berlaku dalam ruang lingkup keluarga. Ibu bapa yang celik emosi contohnya peka terhadap emosi anaknya yang sedang merajuk.

Ibu bapa sedar dan mengiktiraf kewajaran emosi anak itu dan berusaha untuk memahami. Kemahiran yang seterusnya ialah untuk menangani dan memanfaatkan status emosi anak itu contohnya, apabila anaknya mengasingkan diri, tidak mahu bercakap dan sebagainya. Ibu bapa sedar reaksi itu timbul disebabkan oleh sesuatu permintaan atau keinginan yang tidak dipenuhi.

Ibu bapa tidak celik emosi mungkin tidak akan ambil pusing status emosi anaknya atau berharap dia menyedari kesilapannya. Kemujuran mungkin berlaku seandainya anak itu mendapat kesedarannya semula.

Persoalan timbul seandainya anak itu tidak memahami sikap ibu bapa dan dia dibiarkan membuat kesimpulan bersendirian. Ibu bapa yang celik emosi sekurang-kurangnya akan menunjukkan rasa ingin tahu mengapa anaknya memilih untuk berdiam dan mengasingkan diri.

Ini membuktikan kepekaan mereka dan kesanggupan mereka untuk mengetahui dan berkongsi masalah walaupun ibu bapa mempunyai pandangan berbeza terhadap cara menyelesaikan masalah itu.

Rasa perkongsian ini mewujudkan pertalian di antara ibu bapa dan anak yang membuktikan anak tidak bersendirian di dalam menghadapi konflik.

Ibu bapa sentiasa bersedia mengambil tahu dan berkongsi rasa dengan konflik yang dihadapi. Mungkin ini bukan bentuk penyelesaian yang terdekat untuk anak itu ketika itu, tetapi sudah cukup untuk menunjukkan kepada anak itu mengenai perhatian yang diberikan maka tidak wajar jika anak mendakwa dia diabaikan apabila permintaannya tidak dipenuhi.

Jika Imam al-Ghazali dan Sheikh Muhamad Nasih al-Ulwan menekankan pendidikan anak di dalam kajian mereka, ini sudah cukup untuk membuktikan kepentingan ilmu dan kemahiran keibubapaan dalam pembentukan personaliti individu.

Mungkin kita boleh mendakwa generasi terdahulu tidak perlu pendedahan seperti kita pada hari ini tetapi tetap berjaya menjalankan tanggungjawab mereka. Perubahan masa membawa banyak perubahan, juga kepada cara hidup dan berfikir.

Teknologi sebagai suatu alat juga banyak membentuk sikap dan cara hidup manusia. Perubahan ini perlu diambil kira. Contohnya, jika zaman dulu, anak tidak berani mengangkat muka apabila dimarahi ibu bapa, tetapi kini, anak menuntut ibu bapa memberikan rasional di sebalik teguran itu.

Kita boleh mengambil kesimpulan yang negatif daripada fenomena ini tetapi kita tidak dapat memanfaatkan kebaikannya. Kita sewajarnya mengambil kesimpulan positif, iaitu contohnya, ini menunjukkan anak zaman ini mempunyai keupayaan kritis tinggi dan sewajarnya potensi itu digunakan untuk kebaikan personaliti mereka.

Ibu bapa celik emosi akan mengambil inisiatif untuk menjadi lebih relevan kepada rasional kanak-kanak tetapi ibu bapa yang tidak celik emosi mungkin akan mengambil sikap autokratik sebagai jalan singkat.

One thought on “Celik emosi boleh erat silaturahim

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s