Pejabat rumah makin popular

Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman UiTM)

Konsep SoHo jadi pilihan kerana dapat mewujudkan suasana tenang selain jimatkan kos sewa pejabat

RUANG kerja sama penting dengan ruang tidur dan ruang makan kerana keperluan untuk melakukan kerja, tanpa mengira sama ada dilakukan di ruang disediakan atau di tempat lain.

Berikutan itu, dengan bertambahnya masyarakat yang memilih bekerja di rumah kerana lebih mudah dan menyenangkan, perancangan dan reka bentuk ruang kerja atau pejabat di rumah sangat penting dan memerlukan perancangan rapi.
Setiap keluarga memerlukan satu ruang untuk melakukan kerja. Tidak kira ruang yang diperuntukkan memang sedia ada atau melakukan kerja di tempat lain. Ada reka bentuk rumah sederhana mewah menyediakan ruang kerja atau ruang membaca dan ruang itu biasanya diletakkan di dalam bilik tidur utama atau berdekatan.

Sekiranya tiada ruang kerja yang dikhususkan, penghuni rumah boleh melakukan di tempat lain seperti di ruang makan apabila aktiviti makan tidak dilakukan. Tidak kira sama ada sesuatu rumah kediaman itu besar atau kecil keperluan untuk melakukan kerja semesti ada.

Antara kerja yang biasa seperti menyiapkan dan memeriksa kerja yang tertangguh di pejabat atau kerja memfailkan akaun perbelanjaan rumah, surat dan bil perbelanjaan.

Selain itu, ruang kerja juga digunakan untuk dijadikan ruang membaca dan juga perpustakaan mini. Bukan setakat melakukan kerja pejabat yang tertangguh, ada juga keluarga memerlukan ruang kerja bagi melakukan hobi mereka dan kerja kreatif seperti studio melukis, bengkel kraftangan.

Oleh itu, setiap ruang kerja yang diperlukan mestilah direka supaya dapat memberi suasana ketenangan, membangkit semangat untuk melakukan kerja serta dapat merangsang timbulnya inspirasi.

Apa yang jelas di sini ruang kerja memainkan peranan lebih besar bukan setakat membuat kerja tertangguh di pejabat tetapi berubah mengikut keperluan kerja yang bakal dilaksanakan oleh pengguna ruang.

Reka bentuk dan perancangan sesuatu ruang kerja sangat berkait rapat dengan sikap dan perilaku pemilik ruang. Dalam hal begini bentuk dan suasana ruang kerja harus disesuaikan dengan aktiviti pengguna yang mana kelengkapan seperti pemilihan perabot dan reka letaknya harus berdasar kepada cara pemilik itu bekerja.

Perbezaan antara ruang kerja dan pejabat rumah

Seperti yang diperjelaskan tadi bahawa setiap keluarga memerlukan ruang untuk bekerja. Hari ini, keadaan masyarakat bekerja sudah berubah, dengan adanya kemajuan teknologi maklumat, seseorang tidak perlu lagi bekerja di pejabat sebaliknya boleh melakukan segala kerja di rumah saja.

Konsep ‘Small Office Home Office’ (SoHo) atau pejabat kecil, pejabat rumah sudah lama dipraktikkan dan mula popular pada awal dekad ini kerana pengusaha dan peniaga memikirkan bahawa melakukan tugas di rumah lebih menjimatkan kerana tidak memerlukan ruang pejabat untuk disewa dan kos yang membebankan.

Oleh itu, rumah boleh dijadikan pejabat kecil dan pengusaha boleh tinggal dan melakukan aktiviti rumah yang lain seperti biasa.

Ruang kerja untuk hobi

Ruang kerja sebegini agak berbeza dengan ruang kerja pentadbiran kerana ruang kerja memerlukan ruang khas bagi menempatkan peralatan hobi. Sebagai contoh, seorang itu mempunyai minat untuk melukis atau beliau sendiri adalah seorang pelukis separuh masa maka memerlukan ruang kerja yang dipanggil studio untuk melakukan minatnya melukis.

Begitu juga jika seseorang itu mempunyai minat atau hobi pertukangan kayu atau kraftangan maka beliau memerlukan bengkel bagi menempatkan peralatan dan mesin untuk digunakan dalam kerja pertukangan dan kraftangan.

Keperluan ruang kerja

Ruang kerja yang sempurna, efisien dan menyenangkan melahirkan mutu kerja yang baik. Oleh itu beberapa perancangan perlu dibuat bagi memastikan ruang kerja yang disediakan dapat memenuhi keperluan ruang kerja efisien.

Untuk pekerjaan yang memerlukan tumpuan fikiran dan perhatian, pengolahan daya cipta yang tinggi, maka situasi ruang kerja harus tenang, bersih, segar dan menyenangkan. Sebaiknya pengaruh luar perlu dikurangkan.

Susunan peralatan mestilah teratur dan kemas. Susunan yang teratur dapat memudahkan pergerakan dan membangkit semangat untuk melakukan kerja.

Pengaliran udara mestilah cukup, sistem aliran udara mekanikal mesti digunakan jika sistem aliran udara semula jadi tidak mencukupi kerana ruang kerja yang tidak baik pengaliran udara akan menyebabkan ruang menjadi bahang.

Keperluan cahaya yang cukup adalah diperlukan sama ada menggunakan pencahayaan semula jadi atau buatan. Sistem penghadang bunyi perlu dititik beratkan jika ruang kerja mengeluarkan bunyi yang bising seperti ruang kerja bagi studio muzik.

Bahan kemasan mesti mesra pengguna dan sebaiknya di pilih dari bahan yang mudah dibersihkan dan tahan lasak bagi kegunaan pergerakan kerusi dan meja.

Perancangan ruang kerja

Perancangan sesuatu ruang kerja perlu berhati-hati dan ini kunci kepada kejayaan kepada persekitaran ruang kerja yang berjaya. Antara perkara yang perlu dipertimbang dalam merancang ruang kerja adalah:

Mengenal pasti ruang yang ada dalam rumah yang difikirkan sesuai untuk dijadikan ruang kerja. Apa-apa sudut dalam rumah yang boleh menempatkan meja dan rak atau bilik yang tidak digunakan di atas rumah adalah ruang yang dirasakan sesuai untuk dijadikan ruang kerja atau pejabat rumah.

Membuat ukuran ruang yang tepat sangat penting kerana dengan adanya ruang yang sudah dikenal pasti mudah untuk menempatkan perabot dan peralatan yang diperlukan bagi memperoleh keselesaan yang maksimum dan mudah digunakan.

Keperluan mekanikal dan elektrikal (M & E) perlu diambil kira seperti punca elektrik dan punca penyambungan telefon kerana ruang kerja tidak berfungsi sepenuh sekiranya keperluan M & E ini tidak disediakan.

Ruang yang dikenal pasti mestilah mempunyai bukaan tingkap dan pintu. Lebih baik jika ruang ini berdekatan dengan bilik air atau tandas kerana memudahkan pergerakan.

Rancang dengan sebaik-baik ruang menyimpan kerana biasanya ruang kerja dan pejabat rumah akan menghadapi masalah untuk menyediakan ruang penyimpanan secukupnya.

Keselamatan perlu dititikberat kerana ruang ini menyimpan peralatan berharga seperti komputer dan lain-lain. Setiap bukaan mestilah berkunci atau berjeriji dan mempunyai tahap kawalan keselamatan yang tinggi.

Pemilihan perabot dibuat mesti berpandukan kepada keluasan ruang. Pemilihan stesen kerja yang sesuai perlu kerana ketika ini stesen kerja menyediakan reka bentuk meja kerja secara bersepadu dengan rak, meja komputer, ruang CPU yang boleh menjimat ruang. Ada stesen kerja dibuat secara modular yang disesuai dengan keluasan ruang.

Perabot terpakai pilihan terbaik

Pada mereka yang memikirkan untuk menyediakan ruang kerja di rumah sendiri sama ada menjadikan rumah sebagai pejabat pastinya memerlukan perabot. Sebagai permulaan, adalah tidak wajar untuk mendapatkan perabot dan peralatan baru sedangkan terdapat di dalam pasaran perabot terpakai yang masih elok yang boleh digunakan dengan harga yang berpatutan.

Perabot pelbagai guna menjimat ruang

Oleh kerana ruang kerja bagi pejabat rumah terhad, keperluan perabot pelbagai guna adalah cara terbaik menjimatkan ruang. Perabot ini boleh diubah ubah dari segi fungsi kegunaan dan boleh disimpan atau dilipat apabila tidak digunakan. Konsep perabot dua dalam satu atau tiga dalam satu dengan menyediakan meja kerja, kabinet fail, rak kabinet dan lain lain dalam mudah alih yang beroda.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s