Sel sihat awet muda

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

Usaha memperlahankan proses penuaan bukanlah payah bahkan untuk cepat tua pula juga boleh dilakukan dengan mudah. Tidak perlu petua untuk cepat tua kerana gaya hidup kebanyakan orang hari ini – tidak menjaga pemakanan dan sangat kurang bersenam – sudah cukup merangsang badan menjadi lebih tua sebelum waktunya.

Namun, seperti yang dikatakan di atas, untuk memperlahankan proses penuaan juga bukan susah. Apa yang perlu ialah sedikit pengetahuan dan kesedaran terhadap keperluan sebenar badan. Malah, lebih baik jika usaha memperlahankan proses penuaan dapat dilakukan hari ini juga.

Satu-satunya rahsia awet muda ialah dengan mengekalkan kesihatan dalaman iaitu sel-sel badan. Setiap orang memiliki lebih kurang 100 trilion sel yang membentuk tisu, organ dan anggota badan yang mempunyai fungsi masing-masing. Sel-sel ini saling bekerja sama untuk memastikan semua anggota dan organ badan dapat bekerja dengan cekap dan baik.

Menurut pakar kesihatan selular, Datuk Dr Harnam Singh, sel yang sihat menjadi asas kepada kesihatan badan secara keseluruhan. Apabila sel tidak sihat maka ia akan menjejaskan fungsi organ yang terbabit dan menurunkan tahap kesihatan badan.

Katanya, setiap sel terdiri daripada tiga komponen utama iaitu mitokondria, kromosom dan bahan baka (gen). Mitokondria juga dikenali sebagai ‘enjin’ sel kerana ia bertanggungjawab membekalkan tenaga (yang dihasilkan daripada makanan melalui reaksi kimia dalam badan) kepada sel untuk berfungsi.

Selain itu, mitokondria juga terbabit dalam pelbagai proses seperti penghasilan isyarat, pembentukan sel yang berbeza (setiap organ mempunyai jenis sel berlainan) dan mengawal kitaran hidup sel termasuklah kematian dan pembentukan sel baru.

Banyak kajian menunjukkan kaitan mitokondria dengan beberapa penyakit dan memainkan peranan dalam proses penuaan. Saintis percaya dengan mengekalkan kesihatan mitokondria akan memberi kesan langsung kepada tahap kesihatan dan memperlahankan proses penuaan.

Soalnya, bagaimana untuk mengekalkan kesihatan mitokondria kerana ia bukan saja terlalu kecil dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar malah ada orang yang tidak pernah dengar langsung perkataan pelik ini?

Caranya mudah iaitu dengan menjaga pemakanan. Ini adalah perkara paling asas dalam penjagaan kesihatan, kata Dr Harnam yang dipelajari semua doktor. Namun, kebanyakan doktor terlupa perkara asas ini dan mengambil jalan mudah dengan memberikan ubat bagi mengatasi hampir semua jenis masalah kesihatan; bukannya menasihatkan pesakit untuk menjaga pemakanan.

“Setiap orang kena tahu apa yang badan perlukan. Secara asasnya badan memerlukan tujuh jenis nutrien asas setiap hari iaitu karbohidrat, protein, lemak, serat, cecair, vitamin dan mineral. Ini bermakna kita perlu makan secukupnya; tidak berlebihan atau kurang. Malah, makanan yang diambil juga perlu dipelbagaikan.

“Jika terlebih makan, kita akan berhadapan dengan masalah berat badan berlebihan dan boleh menjadi obes jika tabiat ini diteruskan. Sebagai mana yang kita tahu, obesiti adalah ibu kepada pelbagai masalah kesihatan lain seperti sakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi, masalah kolesterol tinggi dan sakit sendi.

“Penduduk Jepun secara purata mempunyai jangka hayat lebih 10 tahun berbanding purata umur penduduk dunia. Penduduk bandar Okinawa diiktiraf sebagai orang yang sihat dan mempunyai umur panjang kerana mereka makan makanan pada kuantiti yang betul,” katanya.

Kajian menunjukkan 70 peratus penyakit yang berlaku hari ini disebabkan amalan gaya hidup tidak sihat dan hanya 30 peratus berpunca daripada keturunan. Antara amalan gaya hidup tidak sihat ialah merokok, kurang bersenam, tidak bijak menangani tekanan dan paling penting pengambilan makanan tidak seimbang. Faktor gaya hidup inilah yang akan merangsang faktor genetik untuk menyebabkan penyakit.

Pada masa sama, badan juga menghasilkan radikal bebas ketika proses kimia penukaran makanan ke tenaga. Radikal bebas ini akan masuk ke dalam sel dan memusnahkannya. Untuk membendung kerosakan ini, kita disaran makan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan berwarna warni yang kaya bahan antioksidan seperti vitamin C dan E.

Bagaimanapun, kata Dr Harnam, bukan makanan saja yang akan mempengaruhi kesihatan seseorang kerana faktor ketenangan fikiran juga perlu diambil kira. Tekanan yang tidak ditangani dengan baik dikenal pasti menjadi faktor penyumbang kepada kerosakan badan. Justeru, belajarlah cara menangani tekanan dan kaedah yang paling baik ialah bersenam.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan hubungan kekeluargaan yang dikatakan boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan keseluruhan seseorang. Individu yang mempunyai hubungan rapat dengan keluarga berasa lebih tenteram, selamat dan bahagia berbanding orang yang suka hidup menyendiri.

“Sudah tiba masanya kita menjadikan makanan sebagai ubat. Ini boleh dilakukan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang; melebihkan sayur-sayuran, buah-buahan dan minum air secukupnya. Boleh juga ambil pil makanan tambahan untuk menampung kekurangan vitamin dan mineral harian.

“Paling penting, jauhi makanan segera yang mengandungi banyak lemak trans dan garam kerana kedua-duanya boleh menjadi penyumbang kepada masalah kesihatan. Penemuan terbaru menunjukkan proses penuaan bukan saja boleh dilengahkan tetapi diundur sedikit dengan meningkatkan kesihatan selular. Namun, perlu diingat ia hanya boleh dicapai melalui penjagaan berterusan,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s