Influenza boleh bawa maut

Oleh Hafizah Iszahanid

Masalah jangkitan pernafasan memang wujud di negara ini dan berpotensi menjadi wabak pembunuh

INFLUENZA atau masalah jangkitan pernafasan adalah penyakit yang mudah merebak dan jika menyerang kanak-kanak, ia mengambil masa lama untuk sembuh.

Ramai doktor menganggap influenza tidak berlaku di Malaysia, kerana negara ini adalah negara tropika yang tidak mengalami musim sejuk. Sebab itu mereka tidak menyarankan kepada golongan berisiko dan warga emas mengambil vaksin influenz.
Kajian yang diketuai Ketua Jabatan Perubatan Mikrobiologi dan Imunologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Datin Dr Che Ilina Che Isahak, mendapati penyakit itu memang wujud di negara ini dan berpotensi menjadi wabak yang meragut nyawa.

Influenza mencapai kemuncaknya di negara ini antara April dan Jun, selain Oktober dan Disember setiap tahun.

Sejak dulu lagi, influenza berupaya menjadi pandemik yang meragut nyawa. Laporan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyebut antara lima hingga 15 peratus populasi dunia terjejas dengan masalah influenza.

Setiap tahun, antara 3 hingga 5 juta kes influenza yang sederhana dan kronik dicatatkan dengan kematian antara 250,000 dan 500,000 orang di seluruh dunia.

Prof Dr Che Ilina berkata, influenza walaupun kerap disamakan dengan selesema, ia adalah dua masalah kesihatan yang berbeza kerana masalah jangkitan pernafasan terjadi disebabkan virus influenza yang boleh berlaku pada tahap biasa hingga peringkat serius yang membawa maut.

“Contoh, jika warga tua, kanak-kanak, pesakit kardiovaskular, buah pinggang dan diabetes diserang influenza, mereka kemungkinan menemui maut,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kajian mendapati pengambilan vaksin influenza di kalangan warga tua (65 tahun ke atas) membantu mencegah 50 peratus kematian dan penurunan 48 peratus kes kemasukan ke wad.

“Pengambilan vaksin di kalangan mereka yang berusia antara 18 hingga 64 tahun pula membantu mencegah 78 peratus kematian, 87 peratus kemasukan ke hospital dan 26 peratus rawatan di klinik biasa.

“Tanpa vaksin, jika berlaku wabak influenza, kematian di kalangan pesakit diabetes dijangka meningkat hingga 30 peratus. Kemasukan ke hospital disebabkan influenza juga meningkat enam kali lebih banyak di kalangan pesakit diabetes manakala kemasukan pesakit ‘ketoacidosis” (glukos dalam darah yang tinggi) ke hospital juga meningkat hingga 50 peratus,” katanya.

Dalam satu Persidangan Persatuan Kardiologi Eropah 2003, sekumpulan penyelidik Argentina melaporkan terdapat penurunan hingga 66 peratus kes kematian disebabkan kardiovaskular di kalangan pesakit kardiak yang mengambil vaksin influenza.

Laporan yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England itu turut melaporkan vaksin influenza mengurangkan risiko strok dan serangan jantung.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Pakar Perunding Kardiologi, Datuk Dr Khoo Kah Lin, berkata walaupun pengambilan vaksin influenza bukan prosedur terbaik menangani masalah kardiologi, ia boleh dilihat sebagai sebahagian daripada cara untuk membantu pesakit kardiovaskular yang tersenarai antara kumpulan berisiko tinggi berhadapan komplikasi influenza.

“Bagaimanapun, tidak semua doktor di negara ini yang mengiktiraf kewujudan influenza di Malaysia, justeru ramai yang tidak menyarankan kepada pesakit untuk mengambil vaksin influenza,” katanya.

Serangan influenza sebenarnya berisiko tinggi menyebabkan mereka yang berhadapan dengan masalah kronik dalam sistem kardiovaskular dimasukkan ke wad atau berhadapan kematian.

Kajian pada 1999 dan 2000 mendapati pengambilan vaksin influenza di kalangan jemaah haji Malaysia membantu mengurangkan jumlah kematian di kalangan mereka, iaitu daripada 5.6 peratus sebelum vaksin influenza diperkenalkan kepada 3.8 peratus setahun kemudian.

Di barat, vaksin influenza adalah sebahagian daripada rutin berhadapan dengan musim sejuk

Kajian pada 2004 pula mendapati, vaksin influenza mampu mengurangkan 67 peratus risiko serangan jantung dengan pengurangan antara 20 hingga 70 peratus komplikasi jantung.

Kepentingan pengambilan vaksin influenza perlu diketahui kerana ia banyak membantu sekiranya penyakit itu menjadi pandemik. Sebagai contoh, di Indonesia hanya 300,000 vaksin diambil yang kebanyakannya oleh jemaah haji, tetapi apabila wabak selesema burung melanda negara itu, bekalan vaksin influenza meningkat mendadak hingga jumlahnya tidak mencukupi. Oleh itu, tidak hairan angka korban selesema burung di Indonesia begitu ramai.

Vaksin influenza

Ada dua jenis vaksin

1. Jenis suntikan yang disuntik di lengan. Diluluskan penggunaannya untuk mereka yang berusia enam bulan ke atas termasuk mereka yang berhadapan penyakit kronik.

2. Jenis semburan pula diperbuat daripada virus influenza yang dilemahkan dan tidak akan menyebabkan influenza.

Oleh kerana virus penyebab (strain) influenza berubah-ubah setiap tahun, vaksin influenza juga perlu diambil setiap tahun dengan formulasi berbeza. Setiap tahun antara pertengahan Mac dan November vaksin baru akan dikeluarkan.

Walau apapun jenamanya, formulanya hampir sama. Vaksin awal tahun dikenali sebagai formulasi virus hemisfera selatan manakala vaksin akhir tahun dikenali sebagai formulasi virus hemisfera utara. Antara vaksin yang ada di pasaran penghujung Mac ialah Influvac dari Solvay Pharma.

Golongan yang berisiko berhadapan dengan komplikasi influenza

1) Pesakit diabetes mellitus

2) Mereka yang mengalami masalah sistem pernafasan dan lelah

3) Pesakit kardiovaskular

4) Pesakit buah pinggang

5) Pesakit dengan masalah sistem imun seperti pesakit HIV, mereka yang menerima rawatan barah atau yang menjalani pemindahan organ.

6) Kanak-kanak dan mereka yang berusia 65 tahun ke atas.

Antara komplikasi influenza

1) Radang paru-paru disebabkan jangkitan virus dan telinga tengah

4) Sawan (kanak-kanak)

5) Pendarahan di gastro usus

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s