Hati Yang Lupa Berzikrullah

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SYEIKH as-Sya’rawi berkata dalam tafsirnya: Kenapa Allah menyebut hati dan menyifatkannya dengan keras, di samping tidak menyebut berkenaan jiwa atau nafsu?

Ini kerana hati merupakan tempat yang lembut, rahmat, kasih sayang dan lain-lain. Apabila kita mengisi hati kita dengan banyak zikrullah, nescaya ia memenuhi rahmat dan kasih sayang.

Hati merupakan anggota yang menentukan segala permasalahan hidup. Jika ia dimakmurkan dengan keyakinan dan iman, sudah tentu segala anggota akan mengikut dengan penuh keimanan. Untuk kita melihat betapa kuat, kuasa dan luasnya hati dengan keimanan, Allah Taala menjelaskannya dalam Surah az-Zumar ayat 23 yang bermaksud:

Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik iaitu al-Quran yang serupa (nilai ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka pada waktu mengingati

Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjukkan siapa yang yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

Ketahuilah bahawa pada jasad terdapat segumpal darah, apabila elok nescaya eloklah seluruh jasad dan apabila rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itulah hati.

Kalaulah begitu, hati merupakan tempat cahaya keyakinan dan keimanan. Sebagaimana iman boleh bertapak dalam hati, begitu juga kekerasan dan kekufuran juga boleh bertapak dalam hati. Hati yang lupa untuk berzikrullah akan menjadi keras, kenapa? Ini kerana ia beriktikad bahawa tiada di sana kecuali kehidupan dunia sahaja dan maddi

(kebendaan).

Justeru, ia cuba mendapatkannya semampu mungkin dan dengan apa cara sekalipun sehingga melangkaui hak-hak dengan melakukan kezaliman, kerosakan dan mengambil hak mereka yang daif. Inilah puncanya.

KEMUDIAN SESUDAH ITU, HATI KAMU JUGA MENJADI KERAS SEPERTI BATU, BAHKAN LEBIH KERAS LAGI. PADAHAL DI ANTARA BATU-BATU ITU ADA YANG TERPANCAR DAN MENGALIR AIR SUNGAI DARIPADANYA; DAN ADA PULA DI ANTARANYA YANG PECAH-PECAH TERBELAH LALU KELUAR MATA AIR DARIPADANYA; DAN ADA JUGA DI ANTARANYA YANG JATUH KE BAWAH KERANA TAKUT KEPADA ALLAH; SEDANGKAN ALLAH TIDAK SEKALI-KALI LALAI DARIPADA APA YANG KAMU KERJAKAN. (Surah al-Baqarah ayat 74)

Firman Allah Taala: Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras sehingga kamu tidak dapat menerima sebarang peringatan dan tazkirah selepas melihat mukjizat yang nyata lagi terang.

Abu al-Laith meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Darda’ r.a. bahawa dia mendengar Salman al-Farisi r.a. mahu membeli seorang hamba sebagai khadam, lantas beliau menulis surat kepada Salman. Di antara isinya:

“Wahai saudaraku, gunakanlah masa hidupmu untuk kepentingan ibadat sebelum tiba bala yang menyebabkan kamu tidak dapat beribadat, dan gunakanlah kesempatanmu untuk mendapat berkat doa daripada orang yang menderita bala, dan rahmatilah anak yatim, usaplah kepalanya dan berikan makanan kepadanya supaya lembut hatimu dan terlaksana hajatmu.

“Wahai saudaraku, saya pernah menyaksikan ketika Nabi s.a.w. didatangi seseorang yang mengeluh kerana berasa keras hatinya, maka sabda Nabi s.a.w.: ‘Adakah kamu mahu supaya hatimu menjadi lembut dan diperkenankan hajatmu?’ Jawabnya: ‘Ya.’ Sabda Nabi s.a.w.: ‘Rahmatilah anak yatim dan usaplah kepalanya, dan berikanlah makanan kepadanya, nescaya akan lembut hatimu dan tercapai hajatmu.’

“Saudaraku, jadikan masjid seperti rumahmu, kerana sesungguhnya saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Masjid-masjid itu sebagai rumah orang-orang bertaqwa, dan Allah telah menjamin orang-orang yang menjadikan masjid itu seperti rumahnya dengan kelapangan hati, kesenangan, kepuasan serta mudah menyeberangi titian sirat dan selamat daripada api neraka dan segera menuju keredhaan Allah Taala.”

Demikianlah iktibar yang dapat diambil daripada tulisan Abu Darda’ kepada sahabatnya tentang betapa isu keras hati menjadi perkara utama dibahaskan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.

Seperti batu bahkan lebih keras lagi: Sebahagian hati sama seperti batu dan sebahagian yang lain lebih keras daripada batu seperti besi. Ini kerana di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; yang begitu banyak air dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah, lalu keluar mata air daripadanya; dan daripada batu yang pecah kerana takut kepada kebesaran Allah sehingga keluar air.

Syeikh an-Nasafi dalam tafsirnya, Madarik at-Tanzil, berkata: “Bahawa ia merupakan penerangan betapa kerasnya hati mereka berbanding batu. Kerana batu yang pejal tersebut boleh mengeluarkan air yang banyak, sedangkan hati akan menjadi gersang dan kering.

“Di samping itu, sebahagian batu gugur dari puncak gunung semata-mata kerana berasa takut dan gerun kepada Allah.

“Ia sentiasa mengikut fitrah Allah, sedangkan hati tidak tunduk dan patuh kepada segala yang diperintahkan.”

Dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; ada yang jatuh dari gunung-ganang kerana takut kepada Allah, sedangkan kamu wahai Yahudi tidak memberi kesan dan tidak takut kepada Allah: Ia sebagaimana firman Allah Taala dalam Surah al-Hasyr ayat 21 yang bermaksud:

Kalau sekiranya Kami menurunkan al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.

Sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan. Dan pasti Allah membalasnya pada Hari Kiamat: Iaitu ingatlah bahawa Allah Taala tidak terlepas pandang sesuatu pun dan Maha Mengetahui atas setiap perbuatanmu dan pasti kamu bertemu dengan-Nya pada Hari Kiamat serta amat berhajat dengan segala rahmat dan keampunan-Nya.

Justeru, jangan sekali-kali menjadikan hatimu keras sehingga dibuang daripada mendapat rahmat Allah sebagaimana sunyi hatimu daripada zikrullah.

Sayid Qutub berkata: “Apabila hati mereka dibandingkan dengan batu, tiba-tiba hati mereka lebih kering dan lebih keras lagi daripada batu.”

Batu yang dibandingkan dalam ayat ini ialah batu yang pernah diketahui mereka sebelum ini kerana mereka telah melihat batu yang mengalirkan dua belas mata air, dan mereka juga melihat batu-batu bukit bergegar apabila Allah bertajalli di bukit itu dan Musa a.s. rebah pengsan, tetapi hati mereka tidak juga lembut dan tidak juga melahirkan degup takut dan taqwa.

Hati mereka terus keras, pejal, kering dan kafir. Oleh sebab itulah al-Quran menyebut ancaman ini kepada mereka.

* DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s