Tiada pakaian seksi

DI dalam Islam, hak berpakaian bukan milik mutlak kita. Hak terutama dan yang tertinggi adalah hak Allah. Sama ada suka atau tidak, sesuatu hukum yang ‘putus’ seperti larangan zina, riba, tinggal solat dan menutup aurat tidak boleh berubah mengikut zaman.

Ia dinamakan hukum hakam bersifat ‘muhkamat’ atau ‘qatiyyat’. Tatkala itu, sebarang idea dan logik akal manusia tidak boleh masuk campur dalam hal urusan hukum sebegini untuk mengubahnya menjadi harus atau halal.

Mudahnya, ia disebutkan di dalam hadis ini yang bermaksud:

“Wahai Muadz, adakah kamu sedar dan tahu apakah hak Allah yang patut dijaga hamba-Nya dan apa pula hak hamba yang patut dijaga oleh Allah?” Muadz menjawab: “Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui.”

“Baginda menjawab, sesungguhnya hak Allah yang wajib dijaga oleh hamba-Nya adalah supaya mereka sentiasa tunduk abdikan diri kepada-Nya (dengan turuti perintah dan jauhi larangan-Nya) dan jangan ia mempersekutukan-Nya dengan satu apa pun.” (Riwayat Al-Bukhari, no 2701, 3/1079)

Hak kedua adalah hak Nabi Muhammad SAW secara peribadi, seperti berselawat ke atas baginda apabila mendengar nama baginda disebut.

Ada juga hak baginda yang bukan peribadi tetapi atas kapasiti nabi dan rasul yang mesti diikuti, manakala sebahagian lagi hanya disunatkan.

Hak ketiga ialah hak pemerintah yang adil dengan cara mentaati mereka selagi mana tidak dibawa kepada kebinasaan. Sebarang penyalahgunaan hak oleh kumpulan ini wajib dicanggahi.

Sabda Rasulullah, ertinya: “Tiada ketaatan kepada makhluk dalam hal yang membabitkan maksiat kepada Allah. Sesungguhnya taat hanyalah dalam hal yang membawa kebaikan.” (Riwayat Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, 4/209: Tirmidzi: Hasan Sohih)

Hak keempat dan seterusnya ialah hak orang ramai, antaranya hak jiran tetangga, hak rakan dan saudara, juga hak untuk tidak dicederakan. Hak lain ialah hak bersuara, hak tidak dimalukan dan tidak diganggu, hak tubuh badan dan pelbagai lagi.

Saya tidak berniat mengulasnya dengan terperinci, cuma ingin mengaitkannya dengan hak kebebasan berpakaian. Adakah Islam memberi umatnya hak kebebasan berpakaian, walaupun seksi, sesuka hati?

“Inikan tubuh saya, suka hati saya la nak buat apa!” kata seorang wanita muda yang marah bila isu ini muncul.

Jawabnya, tubuh ini pinjaman saja dan bukan milik kita. Jika milik kita, kita boleh mematikannya dan menghidupkannya semula sesuka hati kita.

Sebab itu juga kita tidak dibenarkan oleh Islam dan juga undang-undang untuk menjual sepotong tangan, sebiji jantung, sebiji kepala kita kepada orang lain sesuka hati. Tubuh kita mesti digayakan menurut kehendak pemiliknya, iaitu Allah.

Islam memberi kebebasan dalam pakaian, tetapi tidak terbuka begitu saja. Ia terikat dengan hak dan ketetapan yang ditentukan Allah dan rasul-Nya.

Berdasarkan hak itu, wanita dan lelaki yang masih ada keimanan terhadap Allah dan rasul-Nya serta hari kematian dan balasannya tidak boleh melanggar hak Allah ini.

Tiada pakaian seksi dibenarkan kerana ia:

  • Mencabuli hak Allah. Hak Allah lebih utama daripada hak kita secara peribadi sebagai manusia. Mana logiknya Allah yang memberi segala-galanya buat kita, tiba-tiba kita ingin diberi kebebasan ikut suka hati kita.

    Sabda Rasulullah, ertinya: “Sesungguhnya Allah meletakkan had tertentu (dalam kehidupan kita), maka jangan kamu cerobohinya dan mewajibkan bagi beberapa kewajipan dan jangan kamu sesekali mengabaikannya dan mengharamkan beberapa perkara dan jangan kamu langgarinya.” (Riwayat Al-Hakim, 4/129: Az-Zahabi tidak memberi komen mengenai tahap hadis ini)

  • Mencabuli hak manusia lain. Berpakaian seksi juga tidak dibenarkan kerana ia melanggar hak orang lain yang cuba menjaga iman dan mata mereka daripada dosa.

    “Jika nak seksi nampak pusat, seluar dalam, coli dan bahagian yang tidak sepatutnya ditayangkan, sila berpindah dari planet bumi,” jawab saya kepada sekumpulan wanita yang bertanya hukum kebebasan dalam pakaian.

    Saya memuji pemerintah negeri yang berusaha menjunjung hak Allah dan rasul-Nya sehingga mendesak diwujudkan undang-undang khas pemakaian atau ‘dress code’ dan dikenakan denda bagi sesiapa yang melanggarnya.

    Akibat pakaian wanita yang mencolok mata, suami orang terganggu kasihnya kepada isteri di rumah, pemuda terangsang dan dirangsang lalu porak peranda hidup mereka dengan zina dan dibuang keluarga akibat hamil sebelum kahwin.

    Hancur ikatan suami isteri, musnah ikatan keluarga hanya akibat pakaian seksi. Manusia tidak sedar dan sering menganggap ini perkara kecil.

    Hakikatnya, semua perkara yang termasuk dalam hak Allah dan rasul-Nya pasti bukan perkara kecil. Ia pasti memberi impak besar kepada ketidakstabilan hidup secara umum.

    Sudah tentu bukan kerana pakaian seksi itu semata-mata, tetapi ia pelengkap dan sebagai ‘medium’ menggabungkan nafsu lelaki yang tidak terkawal dengan nafsu wanita yang ‘gila’ seksi serta liar. Ia juga sebagai jambatan dan iklan untuk berlakunya zina, rogol dan seumpamanya.

    Itu akibat pakaian seksi dan berbogel secara ‘sipi-sipi’. “Sebenarnya ustaz, bogel terus kurang bahaya daripada seksi,” kata seorang mahasiswa kepada saya melalui SMS. Apabila ditanya mengapa, jawabnya:

    “Kerana bogel terus tak ‘best’, tak ‘suspens’, terus nampak je. Berbanding seksi, nampak sikit sana, sikit sini. Itu lebih mendebarkan jantung dan nafsu muda kami untuk melihat lebih lagi hingga boleh jatuh buat zina dan rogol,” sambung mahasiswa itu.

    Penjelasan jujur pada hemat saya

    “Hari ini ramai juga wanita bertudung dan tutup sana sini kena rogol, malah sesetengahnya dibunuh dijerut dengan tudungnya pulak. Kanak-kanak pun kena rogol dan bunuh. Ini maknanya, tudung bukan lagi penyelamat la ustaz.

    “Pernah tak anda berasa sangat marah sepanjang hidup anda?” soal saya.

    “Pernah juga ustaz. Kenapa? Apa kaitannya?” tanyanya.

    “Biasanya bila seseorang itu sangat marah, sempat tak agaknya dia berfikir, bahaya atau tidak tindakan yang dibuatnya.

    “Sebagai contoh; ada orang yang marah kerana bising tangisan kanak-kanak, maka ditendang (seperti berita yang saya baca di akhbar baru-baru ini).

    “Lalu ditolak jatuh anak itu ke tangga, ditekup wajahnya dengan bantal dan macam-macam lagi bagi menghilangkan kemarahan atau gangguan bising itu. Selepas beberapa ketika mungkin baru dia tersedar, lalu cemas dan mungkin menyesal.

    “Demikian juga nafsu jahat. Bila di tahap tinggi, ia tidak lagi melihat pakaian, umur wanita mahupun isteri orang di depannya.

    Kini, sebuah negeri di Amerika Syarikat (AS) mungkin semakin sedar buruknya pakaian seksi. Cuma akibat tiada keimanan dan ilmu mencukupi, mereka hanya mula larang ‘seluar londeh’ buat masa ini, sedangkan baju londeh, kain londeh dan londeh-londeh lain belum dapat ditanggapi keburukannya oleh akal manusawi mereka yang lemah.

    Dalam petikan berita pada Ogos lalu di Georgia, langkah menguat kuasakan larangan penggunaan seluar londeh atau berpakaian yang mendedahkan pakaian dalam di kawasan awam kini semakin meningkat di AS.

  •  

    Sumber: Harian Metro

    2 thoughts on “Tiada pakaian seksi

    1. betul tu. saya setuju sgt..

      kpd kaum semua kaum prmpn, jgn memakai pakaian yg terdedah. sila tutup aurat anda mengikut tuntutan agama..

      pakaian yg seksi boleh merangsang nafsu dan berahi kaum lelaki..
      akhirnya bleh mendatangkan bahaya pada kaum prmpn sendiri..
      fikir2 kan la dan renung2 kan..

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s