Hidup bersama dialisis

SETIAP tahun, lebih daripada 3,000 orang penduduk Malaysia disahkan menghidapi penyakit kegagalan buah pinggang kronik dan menerima rawatan dialisis. Buat masa ini, lebih 15,000 penduduk Malaysia sedang menerima rawatan dialisis. Pada tahun 2010 ianya dijangka meningkat kepada 20,000 orang.

Sellamah Sinakanu, 68, menghabiskan sisa-sisa hidupnya di atas kerusi roda akibat menghidapi penyakit kegagalan buah pinggang kronik. Dia bergantung kepada cucu lelakinya yang mengorbankan masa kerja untuk membawanya menerima rawatan dialisis.

“Saya hampir tidak dapat menerima rawatan dialisis kerana suami saya sudah berumur 85 tahun dan sudah tua, tidak bekerja lagi dan kami juga tidak mempunyai wang. Namun begitu, saya berterima kasih kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) kerana banyak memberi bantuan serta sokongan pada saya. Rawatan dialisis ini telah memberi peluang kedua untuk saya meneruskan hidup. Tanpanya, saya mungkin sudah tiada lagi,” kata Sellamah.

Lim Ah Chai, 58, pula terpaksa menyerahkan anak sulungnya berusia 13 tahun kepada abangnya selepas isterinya meninggal dunia kerana dia tidak bekerja. Enam bulan selepas kematian isterinya, Ah Chai pula disahkan menghidap penyakit kegagalan buah pinggang kronik dan terpaksa meneruskan hidup dengan rawatan dialisis di NKF.

“Rawatan dialisis ini memberi harapan kepada saya untuk menikmati kehidupan secara normal. Ada kalanya saya rasa terlalu sedih bila memikirkan perkara yang berlaku ke atas diri saya tetapi nasib baik ada rakan-rakan yang banyak menolong saya. Di NKF, kakitangannya yang baik serta bersopan santun telah memberikan semangat serta harapan baru untuk saya meneruskan kehidupan,” jelasnya.

Dia juga berharap agar dapat bertemu dengan anaknya lagi suatu hari nanti.

Mengikut jangkaan, pesakit yang menerima rawatan dialisis meningkat sebanyak tujuh peratus setiap tahun. Hidup dengan menerima rawatan dialisis juga amat menyeksakan. Bila seseorang mendapat tahu mereka mengalami kegagalan buah pinggang, diri mereka pasti hampir putus harapan untuk hidup lagi. Pesakit juga selalu berfikir bahawa dirinya tidak dapat hidup lama kerana bergantung kepada mesin dialisis untuk hidup dan seolah-olah terasing dan tidak diperlukan lagi di sisi keluarga dan rakan. Ini menyebabkan pesakit mengalami kemurungan akibat tekanan yang dihadapi.

Di samping tekanan emosi, pesakit juga terpaksa melalui perubahan dari segi fizikal. Ada beberapa aktiviti dan tanggungjawab yang tidak dapat dilaksanakan atau dilakukan seperti sebelum ini. Ada pesakit yang perlu menukar kerja dan gaya hidup kerana akan berasa cepat letih dan kurang berupaya. Sesetengah bahagian tubuh pesakit akan membengkak akibat pengumpulan lebihan air dan keadaan ini hanya kembali normal selepas rawatan dialisis dilakukan.

l Apa itu dialisis?

Makanan yang kita ambil adalah untuk bekalan tenaga dan membaik pulih tisu-tisu badan sementara bahan kumuh dan buangan akan dialirkan keluar melalui darah. Darah bersama sisa buangan tisu badan akan ditapis oleh unit-unit kecil di dalam buah pinggang yang dikenali sebagai nefron. Melalui proses penyaringan ini, bahan buangan serta air berlebihan akan disalurkan keluar dari badan melalui air kencing. Namun, apabila unit-unit nefron ini rosak, maka daya tapisan bahan buangan akan berkurangan.

Rawatan dialisis akan membantu tugas-tugas buah pinggang yang rosak serta membantu pengeluaran lebihan air serta bahan-bahan kumuh dari darah dan membantu mengimbangi elektrolit dalam badan. Rawatan dialisis merupakan salah satu rawatan pilihan di samping rawatan pembedahan pemindahan buah pinggang bagi pesakit dengan kegagalan buah pinggang kronik.

l Jenis-jenis dialisis

Terdapat dua jenis rawatan dialisis yang sering dilakukan iaitu hemodialisis dan dialisis peritoneal.

Dalam rawatan hemodialisis, pesakit perlu menjalani satu prosedur di mana dua jarum akan dicucuk pada lengan pesakit untuk mengalirkan darah pesakit kepada satu alat penapis iaitu ‘dializer’ yang berfungsi sebagai buah pinggang tiruan bagi menapis keluar bahan kumuhan serta air berlebihan dan darah yang bersih disalurkan kembali ke dalam badan pesakit. Rawatan ini biasanya dilakukan tiga kali seminggu.

Bagi rawatan dialisis peritoneal pula, ianya dilakukan dengan memasukkan satu tiub kateter ke dalam abdomen pesakit. Sejenis cecair dimasukkan melalui tiub kateter ke dalam abdomen dan selepas beberapa jam cecair ini akan bertindak menarik keluar bahan-bahan kumuh dari darah dan akan disalurkan keluar untuk dibuang. Cecair yang baru akan dimasukkan semula bagi pusingan rawatan seterusnya. Rawatan dialisis peritoneal ini boleh dilakukan dengan selesa di rumah pesakit sendiri, sebanyak empat hingga enam pusingan rawatan sehari.

l Kesan-kesan kerosakan buah pinggang

“Buah pinggang yang rosak tidak lagi berkesan dalam menjalankan fungsinya seperti mengawal tekanan darah. Dengan ini pesakit yang menghidapi kegagalan buah pinggang kronik perlu mengawasi pemakanan dan minuman mereka. Mereka juga terdedah kepada risiko dan kesan sampingan terhadap rawatan dialisis,” jelas Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan NKF, Profesor Datuk Dr. Zaki Morad Mohamad Zaher.

Kesan sampingan proses dialisis termasuk gangguan tidur, kulit kering, kekejangan otot, loya, muntah-muntah, pening kepala, jangkitan kuman, pendarahan dari tempat cucukan jarum, serta penurunan mendadak tekanan darah (hypotensi). Biasanya selepas lima tahun menjalani rawatan dialisis, pesakit mungkin akan mengalami DRA atau Dialysis Related Amyloidosis di mana berlakunya pemendapan protein-protein dari darah pada tendon dan sendi-sendi pesakit yang mengakibatkan pesakit mengalami kesakitan pada sendi mereka.

Pesakit juga boleh mendapat jangkitan Hepatitis B lantaran darah pesakit terdedah semasa menjalani rawatan dialisis. Keadaan anemia (kurang darah merah) juga boleh berlaku akibat hormon erythropoietin berkurangan di sum-sum tulang. Dalam usaha membantu pesakit dari dua masalah ini, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia juga ada menyediakan suntikan vaksin Hepatitis B pada harga kos sahaja.

l Kos perubatan

Pesakit perlu mendapatkan rawatan hemodialisis sekurang-kurangnya tiga kali seminggu atau kira-kira 13 kali sebulan. Di hospital-hospital swasta, pesakit memerlukan sehingga RM3,250 sebulan bagi menampung kos bayaran RM250 untuk setiap sesi rawatan hemodialisis.

Pesakit yang didaftarkan di bawah NKF pula hanya perlu membayar RM50 untuk kos setiap sesi rawatan, manakala kos untuk sebulan ialah sekitar RM650. Ini kerana kos selebihnya dibantu dan dibiayai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan NKF. NKF mempunyai lebih 20 cawangan di seluruh negara dan lebih daripada 1,000 orang pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis.

NKF juga membelanjakan RM3.5 juta setiap tahun hanya untuk perawatan dialisis, tidak termasuk kos ubat-ubatan dan sumbangan kewangan yang diberikan kepada pesakit buah pinggang yang memerlukannya.

“NKF membelanjakan banyak subsidi untuk dialisis kerana peningkatan bilangan pesakit dari tahun ke tahun. Kami amat mengharapkan sumber dana kewangan dari sumbangan agensi, badan korporat dan orang perseorangan yang prihatin pada khidmat masyarakat kami,” kata Pengerusi Lembaga Pengurusan NKF, Dr. SS Gill.

“Dalam usaha kita untuk mengelakkan penyakit kegagalan buah pinggang peringkat akhir dan rawatan dialisis, termasuklah kesan-kesan sampingan daripada penyakit ini, kita harus mengamalkan budaya hidup sihat, menjaga pemakanan, bersenam serta menjaga berat badan. Kita tidak sepatutnya memandang ringan kegagalan buah pinggang dengan adanya rawatan dialisis kerana ketika itu, semuanya sudah terlambat,” kata Pakar Perunding Nefrologi dan ahli Lembaga Pengurusan NKF, Dr. Goh Bak Leong.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s