Cerai SMS tak beradab

Oleh Manan Samad

PADA 2003, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur mengesah dan mensabitkan perceraian sepasang suami isteri yang dilafazkan melalui SMS apabila si suami menghantar mesej kepada isterinya bertulis, “Kalau engkau tak keluar dari rumah mak bapak engkau, jatuh talak tiga.”

SMS itu dihantar pada jam 10.04 pagi dan isteri membacanya pada jam 8 malam apabila telefon bimbitnya dipasang. Isteri mengatakan, dia yakin suaminya yang mengirim mesej itu dan apabila mahkamah mengajukan soalan kepada defendan, dia memperakukan keterangan diberikan plaintif.

Hakim Syarie ketika membuat keputusan berkata, lafaz taklik cerai itu sah dan sabit serta gugur talak tiga terhadap plaintif.

Untuk menjawab kekeliruan masyarakat berhubung hal ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Kali Ke-55 yang bersidang pada 27 Julai 2003 membuat penelitian mendalam dan memberi pandangan mengenai hukum perceraian itu.

Fatwa yang diputuskan adalah, talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faks, SMS, emel dan sebagainya adalah talak berbentuk kinayah dan sah jika disertai dengan niat.

Namun semua perceraian perlu dikemukakan ke mahkamah syariah untuk mensabitkan talak berkenaan. Apapun, talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah kaedah perceraian yang dianggap tidak menepati adab perceraian digariskan oleh syarak.

Lima tahun berlalu, negara dikejutkan pula kes perceraian menerusi pos laju di Johor seperti didedahkan akhbar ini baru-baru ini.

Laporan itu menyebut seorang anggota polis marin di Muar didakwa menceraikan isteri keduanya menerusi khidmat pos laju yang dikirimkan kepada seorang rakan setugasnya di Ibu Pejabat Polis Marin Wilayah Selatan, di Tampoi, Johor Bahru.

Tindakan tidak bertanggungjawab lelaki itu menyebabkan bekas isterinya berada dalam kebingungan memikirkan masa depan dua anak lelaki berusia 10 dan 12 tahun berikutan perkahwinan pasangan terbabit tidak didaftarkan di negara ini.

Lelaki berusia 45 tahun itu memperoleh sijil cerai daripada Majlis Agama Islam Narathiwat, Thailand pada 2 Februari lalu sebelum menggunakan khidmat kurier untuk menghantar sijil cerai berkenaan kepada seorang pegawai polis marin di Tampoi, pada 18 Februari lalu.

Mengulas kes terbabit, Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut menasihati pasangan berkenaan supaya menyelesaikan segera kemelut itu demi kebajikan anak-anak mereka.

Nooh berkata, masalah yang timbul boleh diselesaikan secara baik dan mengelak daripada berlarutan, tetapi dengan syarat pasangan terbabit terlebih dulu mesti mendaftar perkahwinan mereka di Jabatan Agama Johor (JAJ).

“Bekas suami wanita itu perlu terlebih dulu mendaftar perkahwinannya di jabatan agama bagi membolehkan siasatan kesahihan pernikahan mereka di Narathiwat, Thailand, sebelum menguruskan proses selanjutnya.

“Saya nasihatkan kepada mereka supaya kasihankan anak-anak. Mereka tidak berdosa dan tidak tahu apa-apa jadi selesaikan cara baik untuk masa depan mereka,” katanya.

Perceraian kedua-dua pasangan itu menggunakan pendekatan berbeza, tetapi sah kerana kedua-dua cara itu tergolong dalam talak kinayah iaitu talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus.

Daripada kedua-dua perceraian itu, kes kedua lebih rumit kerana perkahwinan dan perceraiannya tidak diiktiraf pihak berkuasa agama di negara ini.

Secara teknikal, status wanita itu masih bujang selagi dia dan bekas suaminya gagal mencapai kata sepakat untuk mendaftarkan perkahwinan dan perceraian mereka.

Dalam kes itu, anak mereka yang menjadi mangsa keadaan. Selagi perkahwinan dan perceraian ibu bapa mereka tidak disahkan pihak berkuasa agama di negara ini, mereka akan berdepan pelbagai masalah dan kerenah birokrasi pada masa depan.

Antara masalah jelas ialah wanita itu tidak mungkin boleh menuntut nafkah untuk dirinya dan anak-anak. Tanpa pendidikan asas dan dengan pendapatan tidak menentu hasil upah membasuh pinggan, sukar baginya memberikan pendidikan sempurna kepada anaknya.

Bayangkan anda berada di tempatnya. Wanita malang itu sudah turun naik ke mahkamah syariah dan JAJ, tetapi kedua-dua pihak tidak dapat membantunya kerana dia tidak mempunyai sijil perkahwinan yang diiktiraf.

Dalam keadaan terdesak, dia tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa mendedahkan masalahnya kepada media dengan harapan ada pihak sedia membantu.

Namun jika semua pihak mengikut prosedur sedia ada, masalah Teena dan anak-anaknya hanya boleh selesai jika bekas suaminya menggunakan budi bicara untuk mendaftarkan semula perkahwinan dan perceraian di negara ini, demi anak-anak.

Tetapi sanggupkah bekas suaminya berbuat demikian? Ini kerana, sebagai polis marin berpangkat koperal, dia juga perlu memikirkan perbelanjaan lima anak dengan isteri pertamanya, tambahan pula jodoh mereka masih berpanjangan.

Kedua-dua kes itu adalah contoh komplikasi yang berlaku akibat perceraian di kalangan umat Islam di negara ini. Itu yang sudah didedahkan media tetapi masih terdapat ribuan kes perceraian setiap tahun yang jumlahnya boleh dikatakan konsisten.

Berdasarkan statistik yang diperoleh daripada laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), trend perceraian di kalangan umat Islam di Malaysia amat membimbangkan iaitu merangkumi kira-kira 10 peratus daripada jumlah perkahwinan setiap tahun.

Pada 2004 dan 2005, sebanyak 111,944 dan 110,951 perkahwinan didaftarkan di jabatan agama Islam seluruh negara, dan pada tahun sama juga sebanyak 16,509 dan 13,465 perceraian dicatat.

Kes rujuk di kalangan pasangan bercerai dalam kedua-dua tahun itu pula hanya membabitkan jumlah kecil iaitu 2,267 pada 2004 dan 1,749 pada 2005.

Meskipun poligami sentiasa diperkatakan, namun statistik Jakim dari 1995 hingga 2005 menunjukkan pendaftaran poligami hanya menunjukkan kira-kira satu peratus daripada jumlah perkahwinan setiap tahun iaitu antara 1,000 hingga 2,000 kes.

Dalam membicarakan isu rumah tangga, umat Islam seharusnya menjadikan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh untuk memastikan keharmonian dalam rumah tangga.

Sebagai contoh, baginda tidak keberatan membantu melakukan kerja rumah.

Ibnu Hajar pernah berkata bahawa Aisyah meriwayatkan katanya: “Baginda (nabi) yang menjahit kainnya, menjahit sepatunya, dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan lelaki di rumah mereka.” (Hadis riwayat Ahmad Ibnu Hibban)

Sikap baik Rasulullah terhadap isteri diakui sendiri oleh isteri Baginda Aisyah yang meriwayatkan: “Rasulullah tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Apabila hendak memulakan suatu perjalanan, baginda akan memastikan tempat duduk isterinya di atas unta dalam keadaan selesa dan Anas pernah mengatakan bahawa baginda akan duduk bagi membolehkan isterinya berpijak di atas lututnya untuk naik ke atas unta.

Dalam kehidupan berpoligami juga, baginda adalah contoh terbaik melaksanakan prinsip keadilan walaupun tidak dapat dinafikan bahawa perasaan kasih sayang tidak boleh dibahagikan sama rata.

Namun, sebagai suami seboleh-bolehnya mestilah pandai memainkan peranan supaya jangan ada di kalangan isteri yang tersinggung lantaran sikap suami yang pilih kasih.

Pernah berlaku dalam rumah tangga Rasulullah, suatu hari isteri-isteri datang menemui baginda, Aishah yang mewakili mereka terus bertanya, “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah paling Rasulullah sayangi? Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Baginda tidak terus menjawabnya. Bahkan baginda menyuruh semua isterinya pulang dulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.

Selepas itu, seperti biasa Rasulullah bermalam di rumah isteri-isteri baginda mengikut giliran dan sebelum meninggalkan rumah isterinya, setiap seorang dihadiahkan cincin dan berpesan supaya tidak memberitahu hal itu kepada isteri yang lain.

Kemudian Rasulullah menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana hendak memberi jawapan kepada persoalan dikemukakan.

Rasulullah berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka dia saja yang menerima cincin itu.

 

 

One thought on “Cerai SMS tak beradab

  1. 4tahun lalu,suami saya mengirimkn sms berbunyi’mulai saat ini aku ceraikan kau dgn talak satu’.sejak itu,kami tidak pernah berjumpa atau memfailkan penceraian.sehingga kini,baru saya temui dia dan hakikat meseg itu tanpa niat dan dia masih sayangkn sy dan anak.pada masa itu dia takut utk selesaikan masalah kerana campur tangan keluarga.kini saya berjumpa dia,dan dia masih menganggap saya isterinya.adakah cerai sms yang tiada pengesahan jabatan agama itu masih sah perkahwinan kami???

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s