Faktor kerosakan masyarakat

Bersama: KAMIL MAJID

SOALAN: Saya selalu mencari jawapan kepada persoalan kerosakan yang berlaku dalam masyarakat. Namun saya buntu mendapat jawapan yang tepat. Bolehkah tuan terangkan faktor sebenar kerosakan dan penyelesaian masalah masyarakat pada masa mutakhir?

– Haji Bakri Kuntum, Hulu Langat, Selangor.

JAWAPAN: Setiap orang mempunyai jawapan sendiri terhadap soalan yang saudara kemukakan. Faktor-faktor itu ada yang bersifat umum dan tidak kurang pula yang bersifat khusus. Ia boleh dilihat sebagai formula prinsipal dan boleh juga dilihat dalam bentuk kajian lapangan.

Apa pun yang lebih tepat, jika kita merujuk pandangan agama yang walaupun berbentuk umum boleh dijadikan panduan bagi kita semua.

Dalam dunia sekarang jika kita lihat, kemewahan hidup sering kali menjadikan orang lalai dan lupa, sehingga fitrah mereka hilang dan mereka semacam terpenjara dan terkurung dalam nafsu diri sendiri. Kemewahan menjadikan masyarakat berpecah belah kerana merebut habuan masing-masing. Malah timbulnya rasuah dalam masyarakat didorong oleh keinginan hidup bermewah setelah melihat orang lain hidup mewah.

Kemewahan membuka satu pertarungan sosial untuk mencari kedudukan yang lebih hebat daripada pihak lain. Justeru itu agama sangat menekankan supaya umatnya tidak bermewah. Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan baginda tidak takut umatnya hidup sukar berbanding apabila mereka tenggelam dalam kemewahan.

Kemewahan sering kali membuat orang lupa kepada asas-asas kerohanian. Apabila nilai kerohanian hilang, masyarakat akan kehilangan moral dan kurang beradab. Ketika itu tidak ada lagi perasaan segan dan malu malah tidak bersedia untuk menghormati antara satu sama lain kerana menganggap diri mereka yang betul dan orang lain salah.

Kekufuran yang beginilah disebut oleh maksud ayat al-Quran, bahawa kerosakan sosial berlaku apabila masing-masing pihak kurang bersyukur dengan nikmat yang ada. Masing-masing ingin menguasai lebih secara tamak dan haloba dan tidak ingin berkongsi lagi kerana sikap ego dan berkepentingan diri dan untuk puaknya sahaja.

Muncul

Dalam keadaan begini, perlu ada mereka yang berani muncul sebagai pembawa obor kebaikan yang mengawal agar tidak berlaku secara sewenang-wenang kebejatan sosial itu lagi. Mesti ada mereka yang berani membuat teguran dan menghentikan keterlampauan ini.

Jalan pelepasan akan ada dengan mengembalikan cara hidup yang betul dan lurus. Jangan ada kekejaman dan tidak juga kezaliman sesama manusia.

Padang kehidupan hendaklah dibuka untuk semua. Umat secara keseluruhan harus kembali semula ke pangkal jalan. Pintu dialog hendaklah dibuka seluas-luasnya. Mereka harus kembali ke arah kesatuan keimanan yang mampu menyatukan mereka sebagai iman yang positif, praktikal yang tidak berbaur dengan amalan dan sikap negatif, malah tidak juga sekadar pemanis lidah semata-mata. Agama Allah mestilah dijadikan tali yang kuat mengikat keutuhan umat yang berpecah belah dan bercerai-berai.

Setiap daripada kita tidak hanya harus berfikir menyelamatkan diri masing-masing tetapi juga menjaga diri orang lain. Demikian sifat umat yang baik dan mengajak kepada kebaikan. Al-Quran mengingatkan perpecahan akhirnya melemahkan perpaduan dan hilang keupayaan dalam menjaga survival umat.

Alangkah dahsyatnya jika berlaku perpecahan di kalangan para pemimpin masyarakat dan negara kerana ia akan menjerumus ke arah kehancuran.

Tidak akan ada pemimpin yang mampu berdiri tegap dalam keadaan hilang perpaduan ini. Justeru itu punca segala masalah akan berlaku apabila ditinggalkan syariat dan ajaran agama.

Ingatlah Allah sudah menganugerahkan kepada umat Islam jumlah modal insan yang ramai, kawasan yang strategik, sumber asli yang cukup banyak. Kealpaan menjaga nikmat Allah dengan permusuhan sesama sendiri menghancurkan masyarakat dan menimbulkan seribu satu masalah sosial.

Tanpa mengira puak, mana-mana golongan yang meninggalkan syariat Allah sudah tentu akan ditimpai musibah. Penolakan syariah akan melemahkan persiapan jiwa dan pemikiran, apalagi ia tidak membawa kegerunan kepada musuh-musuh yang ada di sekeliling lagi.

Apabila hilang kegerunan musuh dan tidak ada sifat percaya-mempercayai sesama sendiri, itulah tanda kehancuran sudah bermula.

Allah mengingatkan kepada semua orang Islam agar menyanjung konsep permuafakatan dan kerjasama sosial, tanpa ada prejudis dan buruk sangka.

Para ilmuan dan ulama harus tampil ke hadapan memainklan peranan di samping para pemimpin umat untuk menentukan segala penyakit sosial dapat dirawat, termasuk penyakit perpecahan.

Di sini penting sekali lagi ditekankan tidak harus ada mana-mana pihak yang bersikap ‘bodoh sombong’ bagi menyelamatkan masyarakat yang semakin hilang kawalan sosialnya. Justeru semua orang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t.

Peringatan

Oleh itu keadaan dan saat strategik muncul apabila dapat digunakan kesempatan dari mana-mana krisis dalam masyarakat untuk dibangkitkan kemuliaan Islam dalam diri setiap umat. Demikian peringatan Tuhan bagi mereka yang berhati perut dan ingin mendegar peringatan Allah.

Itulah sunatullah yang digambarkan oleh al-Quran bahawa masyarakat yang sedang sakit tidak akan bangun lebih maju ke hadapan. Ia akan mundur ke belakang jika tidak ada perawatan yang cukup berkesan.

Apakah sebagai umat Islam kita tidak percaya kepada anjuran al-Quran dalam menyelesaikan masalah dan sosial masyarakat kita?

Sayidina Ali pernah memberi jawapan kepada pertanyaan sahabatnya: Bagaimana jalan keluar? Jawabnya: “Berpegang teguhlah secara ilmu dan amalannya terhadap ajaran al-Quran, praktislah secara terperinci panduan dan bimbingan Nabi s.a.w.”

Justeru kita tidak ada ubat dan penawar daripada ubat dan rawatan lebih mujarab daripada itu.

Kata Muhamad Sadiq Arjun, bekas Dekan Fakulti Usuluddin Universiti al-Azhar, wajib setiap kita menganalisis diagnosis ubat secara berlembut sehingga tidak menakutkan si pesakit.

Merawat penyakit perlu tahu punca penyakit dan ubat yang sesuai dengannya. Penyelesaian masalah semestinya dicari jalan yang sejajar dengan realiti umat masa kini. Jangan kita berangan-angan dengan melupai realiti yang ada. Wallahualam.

– Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s