Saham ibu bapa

Oleh NORAINON OTHMAN

“IBU, binatang apa tu?” (tanya anak kecil kepada ibu ketika melihat tupai di hadapan rumahnya).

“Tupai.”

“Tupai tu kenapa dia lari-lari?”

“Dia takut orang tangkap.”

“Siapa nak tangkap dia ibu? Orang jahat ke?”

“Siapa-siapalah… orang tak jahat pun kalau suka dengan tupai, dia nak tangkap juga.” (Jawab ibu dengan acuh tak acuh).

“Orang tu jahatlah tu. Sebab itu dia nak tangkap. Kenapa ‘orang tak jahat’ nak tangkap tupai?”

“Sebab dia nak bela.”

“Kenapa dia nak bela?”

“Sebab dia suka.”

“Kenapa dia suka tupai, ibu?”

“Sebab tupai comel.”

“Comel? Tak comel pun, rupa macam tikus aje. Tupai itu ada kawan ke ibu?”

“Ada. Tupai pun macam orang, ada kawan, ibu dan ayah.”

“Nama kawan dia siapa?”

“Along, nama kawan tupai pun nak tanya ibu? Mana ibu tahu. Tanyalah tupai tu.”

“Tupai mana boleh cakap. Macam mana nak tanya dia. Nama kucing kita ‘Comel,’ nama kawan tupai apa?”

“Apa-apalah along, Tupai ke Tampoi ke…”

Situasi begini mungkin pernah dialami ibu bapa. Terlalu banyak soalan daripada anak kecil menyebabkan si ibu kurang sabar melayan pertanyaan anak.

Kadangkala si kecil bertanya soalan kurang munasabah atau mendesak jawapan yang dapat memuaskan hatinya, menyebabkan ibu memberi jawapan merapu atau mereka jawapan bagi mengelak anak bertanya bertalu-talu.

Perunding psikologi, Khairol Anuar Masuan, berkata tidak dinafikan ada ibu bapa tidak berminat melayan pertanyaan anak, malah ada juga yang ada pada mulanya melayan si anak tetapi akhirnya tidak larat menjawab apabila ditanya soalan yang bukan-bukan.

Menurutnya, ia cabaran bagi ibu bapa muda pada usia perkahwinan lima hingga 10 tahun yang selalunya berdepan masalah seperti itu.

Apapun, ibu bapa tidak harus melihat ia sebagai cabaran, sebaliknya satu pelaburan. Ini kerana, kadangkala anak paling ingat hubungannya dengan ibu bapa pada saat-saat manis seperti itu.

“Pada usia masih kecil, pada siapa seharusnya anak ini bertanya? Jika dia mula bersekolah, mungkin dia boleh bertanya guru, tetapi sebagai ibu bapa, kita harus sabar melayan anak berbual kerana dari situ baru kita tahu sama ada anak rapat dengan kita atau tidak.

“Ada ibu bapa buta mengenai perkara ini dan yang dia ingat hanya saham. Sebenarnya inilah pelaburan paling besar bagi ibu bapa kerana apabila sudah tua, pada siapa pula hendak mengadu jika bukan dengan anak,” katanya.

Menurutnya, mungkin si anak mengingati apa yang ibu bapa katakan kepadanya ketika dia masih kecil dan apabila meningkat remaja, kemungkinan si anak mudah mendengar cakap ibu bapanya.

“Jangan ingat situasi atau banyaknya pertanyaan anak sebagai perkara yang menyusahkan ibu bapa. Apabila anak bertanya kita, sebenarnya itulah kualiti masa. Tiada pakar boleh terangkan panjang lebar mengenai kualiti masa ibu bapa dengan anak.

“Jika ditanya apa itu masa berkualiti, kita akan dapati setiap orang ada tafsiran berbeza. Anak akan tentukan apa yang mereka anggap kualiti masa.

“Apabila anak bertanya sesuatu kepada kita, sudah tentu dia bersedia hendak mendengar jawapan daripada kita. Bukankah saham ibu bapa naik di mata anak,” katanya.

Melihat dalam dunia pelaburan dan perniagaan, saham akan naik jika sesuatu produk dijual berulang kali. Begitu juga situasi dalam hubungan kekeluargaan iaitu saham ibu bapa naik apabila anak bertanya berkali-kali.

Khairol Anuar berkata, siapa yang mengambil peluang itu (melayan anak) akan mendapat pulangan di hari tua iaitu apabila sahamnya matang.

“Apabila tua, bukankah kita mengharapkan perhatian anak berkali-kali? Melihat hubungan ibu bapa dan anak, sebagai ibu bapa, jangan kita tentukan topik perbualan, tetapi biar anak mulakan cerita.

“Ini adalah kemahiran mendengar yang harus dimiliki ibu bapa dan mereka seharusnya harap dengan mendalam apa yang tersurat dan tersirat daripada perbualan dengan anak.

“Yang tersurat ialah apa yang anak tanya dan maksud tersirat ialah anak meminta perhatian ibu bapa kerana anak sukakan sentuhan dan belaian ibu bapa ketika perbualan berlangsung. Apabila umur anak hampir baligh, ketika itu dia kurang mahu bertanya,” katanya.

Khairol Anuar berkata, tidak salah ibu bapa melabur dengan membeli buku ensiklopedia untuk memberi maklumat kepada anak. Ini kerana walaupun mahal, buku berkenaan boleh dibeli secara ansuran.

“Pada usia tiga tahun ke atas, anak suka membelek sesuatu. Jadi tanamkan minat dalam diri anak supaya sukakan buku dan apabila anak bertanya, biasanya soalannya berkisar topik dalam buku itu juga.

“Perkara ini jarang diberi perhatian oleh ibu bapa. Secara alami, manusia suka membaca sebagaimana yang tertulis dalam al-Quran. Ibu bapa boleh membacakan buku untuk anak kerana itu elemen kualiti masa,” katanya.

Menurutnya, walaupun kos untuk memiliki ensiklopedia mahal atau mencecah ribuan ringgit, ibu bapa harus memikirkan yang pelaburan itu akan mendapat pulangan pada masa akan datang.

“Selalunya, pulangan yang ibu bapa dapat daripada anak bukan berbentuk wang tetapi rasa hormat, kasih sayang, mendengar kata dan tidak banyak kerenah,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s