Salah faham kontraseptif

Oleh YEO LI SHIAN

TAHUKAH anda, setiap tahun, kira-kira 150,000 kematian bayi di dunia boleh dielakkan jika wanita yang tidak inginkan zuriat mengambil inisiatif dalam perancangan keluarga?

Di Asia, perangkaan menunjukkan kira-kira satu daripada tiga kelahiran tidak dirancang.

Kehamilan tanpa dirancang yang menjurus kepada pengguguran anak bukan fenomena baru. Malah, ia melibatkan sekitar satu suku daripada keseluruhan populasi wanita di serata dunia. Ketiadaan perancang keluarga yang baik dan pengguguran anak hanya meletakkan kesihatan wanita dalam risiko.

Kehadiran anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya sepatutnya disambut dengan keriangan. Namun, bagi mereka yang belum bersedia, ia hanya mengundang kemurungan.

Dan akhirnya riwayat hidup fetus yang belum sempat menjenguk dunia pun ditamatkan. Apabila ini berlaku, soal siapa yang patut dipersalahkan mungkin tidak begitu signifikan lagi.

Hakikatnya, impak ke atas aspek fisiologi, psikologi dan bebanan kewangan, sosial mahupun ekonomi sepatutnya menyedarkan kaum wanita bahawa mereka mempunyai pilihan dan hak untuk mengawal kehidupannya sendiri.

Menurut Pengerusi Majlis Kontraseptif Asia Pasifik (APCOC), Profesor Soo Keat Khoo, kurangnya pengetahuan dan maklumat yang tepat mengenai kaedah pencegah kehamilan merupakan faktor penyumbang utama kepada kadar kehamilan (tanpa dirancang) yang tinggi.

APCOC adalah sebuah badan profesional yang pertama seumpamanya dalam mengemudikan kepentingan didikan perancang keluarga dan kontraseptif di rantau Asia Pasifik.

“Ramai wanita menderita kemurungan apabila berdepan dengan kehamilan tanpa dirancang. Baik sama ada kehamilan ini berlaku kerana ketiadaan penggunaan kontraseptif atau akibat dirogol, membuat keputusan untuk menggugurkan anak mahupun meneruskan kehamilan adalah sukar bagi seseorang wanita,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Kongres Obstetrik, Ginekologi dan Ketidaksuburan Asia (COGI) di Shanghai, China baru-baru ini.

Beliau yang juga pakar Obstetrik dan Ginekologi di Universiti Queensland, Australia berkata, dalam kebanyakan kes pengguguran anak, seseorang wanita hilang tempat mendapatkan sokongan moral mahupun simpati sebelum atau selepas menjalani prosedur berisiko itu.

Wanita yang memilih untuk menggugurkan bayi dalam kandungan tidak dibekalkan dengan maklumat lengkap berhubung prosedur risiko, mahupun kesan sampingan. Lebih teruk katanya, informasi kontraseptif juga tidak dibekalkan.

“Pengguguran anak yang digunakan oleh sesetengah pasangan sebagai kaedah menjurangkan kelahiran anak dan dilakukan secara berulang kali hanya akan menyebabkan wanita berdepan dengan bebanan trauma yang tidak perlu,” tambahnya.

Jelasnya, satu perangkaan lain melaporkan, setiap tahun kira-kira 46 juta pengguguran anak dilaporkan dan daripada bilangan tersebut, 20 juta daripadanya dilakukan secara tidak selamat.

Menggugurkan kandungan pada usia muda akan menggandakan risiko wanita melahirkan anak pramatang mahupun mengalami komplikasi kelahiran lain di kemudian hari.

Di negara-negara yang mengharamkan pengguguran anak, sesetengah wanita terpaksa menjalani pengguguran tidak selamat yang berisiko tinggi. Sejumlah 78,000 wanita mati akibat prosedur pengguguran anak tidak selamat setiap tahun manakala selebihnya menderita pelbagai komplikasi.

Sehubungan itu, perancangan keluarga dan penggunaan kontraseptif adalah mustahak untuk memperbaiki kuliti kehidupan kaum wanita dan keluarganya.

Profesor Madya Jamiyah Hassan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, penggunaan kaedah kontraseptif yang amat rendah iaitu kurang daripada 10 peratus di negara ini masih boleh dipertingkatkan.

“Kaedah kontraseptif seperti pil pencegah kehamilan boleh melindungi wanita daripada kanser pangkal rahim adalah satu salah tanggapan yang patut dikikis,” katanya yang turut hadir dalam simposium tersebut.

Turut sependapat dengannya adalah seorang lagi ahli APCOC, Profesor Cheng Linan dari Shanghai Institute of Family Planning Technical Instruction, China. Menurut beliau, kontraseptif pada amnya adalah bentuk kontraseptif yang efektif dalam membantu menjarakkan jurang kelahiran.

Menurut satu laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tahun 2002, sekitar 123 juta wanita di seluruh dunia yang tidak menggunakan kaedah pencegah kehamilan atau memilih cara yang kurang berkesan ekoran beberapa faktor.

Antaranya termasuklah kekurangan maklumat atau didikan tepat mengenai kontraseptif, kos, situasi ekonomi pengguna, kepercayaan agama mahupun salah tanggapan terhadap kontraseptif.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s