Jadilah pendengar yang baik

Oleh Noriah Idris

MENJADI pendengar yang baik adalah segala-galanya bagi memulakan komunikasi lebih berkesan, sama ada sesama keluarga, rakan mahupun lingkungan yang lebih luas.

Ada hanya tahu bercakap tetapi kurang mendengar. Masalah ketidakcukupan masa bersama anak membuatkan mereka mencari orang luar terutama kawan rapat untuk berkomunikasi.

Bahkan ada di kalangan anak bermasalah cuba melakukan perbuatan tertentu sekadar meraih perhatian ibu bapa, kata Exco Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norshakila Abdul Satar.

Menurutnya, menjadi ibu bapa yang baik terutama mendengar masalah anak-anak melatih seseorang menjadi insan yang lebih baik dalam mengendalikan masalah terutama melatih sifat sabar dan mulia.

 

Kebanyakan masalah yang berlaku di kalangan anak yang meningkat remaja disebabkan cara komunikasi kurang berkesan menyebabkan sesuatu masalah gagal ditangani.

Katanya, komunikasi dalam keluarga sebenarnya salah satu faktor untuk mewujudkan keluarga yang ceria, bahagia dan harmoni.

“Ada ibu bapa yang hanya meluangkan masa antara lima hingga 10 minit sehari untuk berbual dengan anak-anak.

“Untuk itu, ibu bapa harus kenal pasti karakter dan personaliti anak. Jika ibu bapa rapat dengan anak-anak, mungkin pengaruh mereka akan lebih berkesan.

“Oleh kerana tidak menjadi pendengar yang baik, anak-anak sering bermasalah. Mereka lebih suka meluahkan perasaan di kalangan rakan sebaya mereka.

“Ini disebabkan rakan sebaya lebih memahami dan mendengar segala luahan perasaan berbanding orang yang lebih dewasa,” katanya.

Untuk memotivasikan anak-anak, ibu bapa perlu menggunakan kaedah komunikasi yang berkesan agar matlamat dan harapan mewujudkan insan yang berguna serta berakhlak akan tercapai.

Beliau yang juga Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Taman Desa, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, Selangor memperturunkan petua ke arah kaedah komunikasi berkesan selain meningkatkan motivasi:

1. Ganjaran. Anak yang tidak mempunyai motivasi dalaman yang kuat boleh dimotivasikan secara luaran dengan menyediakan pelbagai bentuk ganjaran. Lihat kelebihan anak dan suburkannya, mereka pasti mengulangi kebaikan itu di masa depan.

Pelbagai bentuk ganjaran boleh diberikan seperti hadiah, puji-pujian atau pelepasan daripada tugas harian. Ganjaran bukan saja diberikan terhadap pencapaian tetapi usaha yang diberikan.

Kajian menunjukkan kebanyakan kanak-kanak dan remaja tidak cemerlang dalam kerja rumah serta tugasan kerana mereka tidak tahu apa yang patut dilakukan. Ibu bapa sepatutnya perlu menjelaskan perkara berkaitan.

2. Tetap dan mantapkan matlamat. Setiap anak mestilah disuruh menetapkan matlamat untuk pendidikan dan masa depan. Ikuti perkembangan anak dan pastikan setiap anak mampu merealisasikan matlamat masing-masing.

3. Berikan perhatian. Anak akan memberikan tindak balas positif terhadap ibu bapa yang ambil berat mengenai diri dan masalah mereka. Memahami adalah lebih baik daripada menghukum.

4. Pembabitan dan penyertaan. Salah satu kunci motivasi diri ialah pembabitan aktif dan penyertaan dalam setiap aktiviti kekeluargaan. Rangsang anak untuk terbabit dalam aktiviti luar, berinteraksi antara adik-beradik dan saling membantu.

Anak akan lebih bermotivasi apabila mereka rasa diri mereka penting dan diperlukan. Oleh itu, babitkan mereka dalam pelbagai kerja ibu bapa seperti memasak, mengemas rumah atau berkebun.

5. Penuhi keperluan. Ibu bapa harus sedar setiap anak memerlukan daya hidup, kasih sayang, kuasa memilih, keseronokan dan kebebasan. Misalnya, berikan peluang anak yang lebih tua menyelesaikan masalah kecil di kalangan adik-beradik.

6. Kepelbagaian emosi dan watak. Kekuatan memori ada kaitannya dengan tahap emosi yang membentuk pengalaman seseorang. Anak akan lebih mudah mengingat dan memahami sesuatu yang disertai dengan pendekatan emosi.

Anak lebih bersedia untuk belajar apabila ada unsur kepelbagaian emosi dan watak kerana mereka tidak akan bosan. Jangan malu untuk mempelbagaikan watak, gaya dan pendekatan untuk menarik minat anak terhadap apa yang mahu disampaikan.

7. Terapkan aspek kemahiran. Ajarkan mereka beberapa aspek kemahiran komunikasi dan sosial. Contohnya, beri peluang mereka ‘memberi ceramah’ atau melayan tetamu yang datang.

Berikut antara langkah untuk menjadi pendengar yang baik:

– Wujudkan suasana mesra dalam perbualan atau interaksi.

– Dengar dengan teliti.

– Berikan perhatian sepenuhnya.

– Saling berpandangan dan lihat tepat ke dalam anak matanya.

– Angguk kepala tanda gerak balas serta ikuti perbualannya dengan berkata, ‘ya’.

– Selami perasaan orang yang sedang bercakap dan hayati ceritanya.

– Ubah mimik muka seiring dengan perkara yang dipertuturkan.

– Elak mengkritik.

– Jangan menyampuk dan memotong cerita yang belum selesai.

– Susuli dengan soalan sebagai tanda anda memang mendengarnya dengan penuh minat.

– Ulangi apa yang dibicarakan sebagai tanda anda faham atau untuk memastikan apa yang anda fahami itu betul.
 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s