Didik anak arus kini

Oleh NORAINON OTHMAN
Ikut perubahan zaman

MALAYSIA mengeluarkan kereta nasional pada 1985 dan sejak itu negara mula menjadi negara industri. Pembangunan begitu pantas dan pada 1990-an, kita mula mengenali kesesakan lalu lintas. Sebelum era itu kehidupan masyarakat kita ringkas, dengan kebanyakan wanita menjadi suri rumah menguruskan suami dan persekolahan anak.

Sebaik negara beralih kepada industri, ramai penduduk kampung mula berhijrah ke bandar besar. Masing-masing berlumba-lumba membina kehidupan lebih selesa, malah ramai membuat dua kerja dalam satu masa iaitu di waktu siang bekerja di pejabat manakala selepas waktu itu, bekerja sambilan bagi menambah pendapatan.

Kesibukan ibu bapa dengan kegiatan seharian menjadi penghalang untuk mereka memberi perhatian sepenuhnya kepada anak. Kos hidup yang tinggi turut menyebabkan golongan ibu bekerja bagi menjadikan ekonomi keluarga lebih kukuh.

Perubahan yang berlaku menyebabkan ibu bapa sukar menyesuaikan dengan kehidupan sekarang. Jika dulu setiap urusan atau majlis dijalankan secara bergotong-royong, kini amalan itu semakin kurang kerana masing-masing sibuk dengan tuntutan kerja.

Perunding psikologi, Khairol Anuar Masuan, berkata seiring perubahan zaman, cara mendidik anak juga berubah dan memerlukan pendekatan berbeza.

Anak sekarang tidak cukup dengan hanya bersekolah, sebaliknya perlu diberi bimbingan tuisyen kerana masing-masing berlumba mengejar ilmu dan meningkatkan pencapaian diri.

Bagaimanapun, di sebalik tuntutan mencari ilmu, tuisyen yang biasanya diadakan pada cuti hujung minggu atau waktu malam menyebabkan masa untuk ibu bapa bersama anak berkurangan.

“Walaupun kita menuju ke negara maju, pembangunan insan tidak harus diketepikan. Kita perlu mengambil iktibar daripada negara maju seperti Jepun, Korea, Jerman dan Amerika Syarikat. Perkara yang harus difikirkan ialah bagaimana hendak memenuhi kehendak industri dan pada masa sama, mengekalkan nilai murni dan pembangunan sahsiah anak.

“Dalam menekankan pembangunan insaniah, anak juga berubah. Kebanyakan anak zaman sekarang mempunyai telefon bimbit dan peka terhadap teknologi terkini, sedangkan ibu bapa masih ingat anak itu ada pada zaman dia kanak-kanak.

“Mereka mengambil model mendidik anak sebelum 1980-an iaitu sebelum era industri dan jika ini berterusan, ibu bapa itu akan ketinggalan,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa perlu mendidik anak mengikut cara sekarang, seiring dengan kepesatan teknologi maklumat.

“Anak zaman sekarang terdedah pelbagai jenis maklumat, dunia animasi, pergaulan dengan rakan serta pengetahuan seks. Jika sebelum ini cara hidup mudah dan ringkas, cabaran mendidik anak pada zaman ini lebih besar.

“Setiap pekerjaan juga perlu dilakukan lebih cepat dan tiada istilah membuang masa. Ibu bapa perlu mengetahui perkembangan, kecenderungan dan minat anak zaman sekarang.

“Sebenarnya tidak ada buku resipi yang boleh ikut 100 peratus dalam mendidik anak. Ia sebagai panduan dan kita ibu bapa cuba menyesuaikannya dengan keadaan. Ibu bapa perlu kreatif dalam mendidik anak, gunakan psikologi dan banyak berbincang dengan ibu bapa lain untuk bertukar pandangan.

“Ibu bapa juga perlu rajin bertanya guru sekolah mengenai perkembangan anak mereka. Daripada menyerang guru kerana tidak puas hati anak dimarahi atau didenda, lebih baik buat baik dengan guru kerana cara itu dapat mengatasi kelemahan yang timbul. Pasti guru akan membantu,” katanya.

Beliau berkata, pokok pangkal ialah agama iaitu ibu bapa kembali kepada agama dan tidak menyalahkan industri kerana ia satu keperluan.

“Jangan jadi ketam mengajar anak berjalan. Misalnya, marahkan anak membuang sampah merata-rata, tetapi ibu atau bapa sendiri membuang sampah di longkang atau ke luar tingkap kereta.

“Persiapkan diri dengan pengetahuan psikologi dan selami diri anak, khususnya remaja yang mempunyai sikap memberontak. Sebagai ibu bapa, kita juga perlu tahu dengan siapa anak kita berkawan. Apa salahnya jika menjemput rakan anak datang ke rumah dan lebih baik lagi jika kita mengenali ibu bapa kawan anak kita kerana ini dapat mengeratkan silaturahim,” katanya.

Menurutnya, seminggu sekali, bapa boleh membawa anak ke surau untuk mendedahkannya dengan agama dan kemasyarakatan.

“Jangan asingkan anak dengan masyarakat surau atau masjid. Sejak kecil, anak perlu didedahkan dengan agama dan kemasyarakatan. Aktiviti itu juga membolehkan bapa bersama anak.

“Pihak surau juga perlu mengubah paradigma terhadap kanak-kanak yang datang ke surau atau masjid. Jangan dimarahi jika mereka membuat bising.

“Lumrah kanak-kanak memang suka buat bising tetapi kita sebagai orang yang lebih dewasa dan berfikiran matang, sebaiknya tegur dengan cara yang baik. Masjid dan surau bukan hanya untuk orang dewasa, tetapi untuk semua lapisan umur.

“Jika ketika kecil mereka sering dimarahi ketika mengunjungi masjid atau surau, jangan hairan jika besar nanti dia mengunjungi pawagam atau kelab kerana di sana dia tak kena marah,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s