Dilema pasangan kekasih Mesir

RAMAI pasangan kekasih di Mesir memilih untuk bertemu di jambatan Qasr el-Nil di tengah Kaherah sambil memikirkan masa depan mengenai hubungan mereka.

Pertemuan antara uda dan dara di jambatan itu merupakan peluang terbaik untuk berjauhan sekejap daripada ibu bapa.

Kod sosial yang menegah lelaki memegang tangan wanita dilihat tidak berlaku di jambatan tersebut.

Hampir semua golongan muda Mesir tinggal bersama keluarga sehingga mereka berkahwin dan tradisi negara itu menyukarkan pasangan bercinta untuk bertemu.

“Kami tidak boleh pergi ke tempat di mana kaum keluarga boleh melihat kami,” kata seorang pelajar kejuruteraan di Universiti Kaherah, Mohammed.

Ramai juga golongan muda tidak mampu untuk berbelanja lebih dengan membayar harga kopi di restoran atau pergi ke panggung wayang.

Majoriti pasangan kekasih menghadapi dilema untuk menamatkan zaman bujang mereka kerana kos perkahwinan yang semakin meningkat di negara itu.

Keadaan itu turut dirasai kesannya oleh pasangan yang sudah bertunang kerana terpaksa menangguhkan perkahwinan selama beberapa tahun untuk mengumpul wang.

Untuk mengahwini seorang wanita, golongan lelaki perlu menyediakan hadiah barang kemas daripada emas untuk pengantin perempuan selain membeli sebuah rumah.

Situasi itu menyebabkan ramai lelaki menamatkan zaman bujang mereka pada umur 30-an kerana perlu menyimpan wang dan membeli rumah sebelum berkahwin.

Seorang profesor di Universiti Amerika di Kaherah, Madiha el-Safty berkata, ramai lelaki berkahwin lewat kerana kos perkahwinan yang tinggi.

Menurutnya, faktor ekonomi seperti pengangguran yang tinggi dan gaji yang rendah turut menyumbang kepada masalah tersebut.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), satu perlima daripada 75 juta rakyat Mesir hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$1 (RM3.14) sehari.

Inflasi yang mencatatkan rekod tertinggi pada Mac lalu mengakibatkan kehidupan ramai penduduk di Mesir yang majoritinya berpendapatan rendah terjejas.

Jumlah penduduk yang hidup di paras kemiskinan juga meningkat walaupun Mesir sedang mengalami pertubuhan ekonomi yang pesat.

“Ramai lelaki muda berasa tertekan kerana tidak dapat berkahwin sekali gus menyebabkan mereka terjerumus ke dalam masalah sosial,” katanya.

Seorang bakal pengantin, Ragab, 24, pula menyalahkan pihak keluarga perempuan kerana terlalu meminta dan meletakkan pelbagai syarat.

Menurutnya, dia sudah bertunang dengan kekasihnya selama satu tahun tetapi masih belum dapat berkahwin kerana kekurangan wang.

“Tiada siapa yang boleh berkahwin di negara ini. Keluarga pihak perempuan mahukan barangan kemas dan sebuah apartmen yang lengkap dengan perabot,” katanya.

Ragab menganggarkan bahawa dia perlu mengumpulkan wang sekurang-kurangnya AS$4,500 (RM14,145) untuk majlis perkahwinan dan membeli hadiah barangan kemas yang wajib diberikan kepada pengantin perempuan.

Harga untuk membeli barangan kemas adalah antara AS$600 (RM1,886) untuk sebentuk cincin dan dua gelang sehinggalah AS$8,000 (RM25,148) untuk satu set perhiasan daripada emas.

Pendapatan yang rendah dan harga emas yang tinggi menyebabkan ramai pengantin lelaki yang kurang berkemampuan menyewa barangan kemas untuk perkahwinan.

Seorang lagi bakal pengantin, Ahmed Amin, 28, berkata, dia terpaksa bertungkus-lumus melakukan pelbagai pekerjaan di Kaherah untuk mengumpul wang.

Bagaimanapun, menurutnya, dia hanya mampu memperoleh pendapatan sebanyak AS$180 (RM565) sebulan sekali gus agak mustahil untuknya mengumpul wang untuk membeli barangan kemas.

“Kami sudah bertunang selama tiga tahun tetapi masih tidak dapat berkahwin,” katanya sambil berjalan bersama tunangnya di jambatan Qasr el-Nil.

“Sungai Nil adalah adalah jiwa rakyat Mesir dan sesiapa yang mempunyai kekasih, dia perlu membawanya ke sini,” ujarnya. – Reuters

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s