Bercakap benar perkara utama elak perselisihan suami isteri

Oleh Aminudin Mansor

UMUMNYA, kebanyakan orang tidak bercakap benar setiap masa kerana boleh dikatakan pada masa tertentu kita terpaksa berbohong. Ada kalanya untuk tidak melukakan hati orang lain kita perkatakan sesuatu yang tidak benar.

Dalam rumah tangga, kebenaran atau bercakap benar penting untuk kerukunan, keselamatan dan kebahagiaan rumah tangga. Bapa atau ketua keluarga perlu sentiasa cuba mengamalkan bercakap benar kepada ahli keluarga.

Jika anda berbohong, lambat laun pembohongan itu akan diketahui isteri atau anak. Sudah tentu sukar untuk mendapat kepercayaan yang penuh dan sukar memimpin rumah tangga ke arah kebahagiaan.

Ada pepatah mengatakan, “Bercakap benarlah kamu, walaupun benar itu pahit, kerana kepahitan itu adalah penawar yang mujarab.” Pepatah dan kata-kata itu membawa seribu pengertian kepada mereka yang bercakap benar.

Bayangkan jika anda berbohong kepada ahli keluarga, tiba-tiba pembohongan itu terbongkar dan ahli keluarga mendapat tahu anda tidak bercakap benar. Secara jelas, anda tidak mendapat kepercayaan lagi daripada ahli keluarga.

Beberapa tokoh Islam sedunia memberikan pelbagai pendapat mengenai sikap tidak bercakap benar dalam kehidupan dan keluarga.

Ibnu Mas’ud berkata: “Sebaik-baik kaya ialah kaya hati, sebaik-baik bekal ialah takwa, seburuk-buruk buta ialah buta hati, sebesar-besar dosa ialah berdusta, sejelek-jelek usaha ialah memungut riba.”

Jaafar as-Sodiq pernah berkata: “Janganlah engkau bertemu dengan manusia ini: pendusta; engkau akan berada dalam penipuannya. Dia seumpama cahaya panas terasa dekat kepadamu, tetapi jauh.”

Saidina Abu Bakar as-Siddiq berkata: “Orang yang cerdas ialah orang yang takwa. Orang yang dungu ialah orang derhaka. Orang yang dusta ialah orang yang khianat. Orang yang benar ialah orang yang dapat dipercayai.”

Berpandukan nasihat tokoh Islam ini bercakap benar penting dalam kehidupan seharian terutama dalam rumah tangga untuk mendidik anak selain menjaga kerukunan rumah tangga. Contohnya, jika ingin keluar rumah anda mesti memberitahu isteri dan anak ke mana dan tujuan anda keluar rumah.

Jika anda bercakap benar, isteri tidak berasa risau atau khuatir. Isteri juga dapat menghubungi anda di mana saja jika berlaku kecemasan. Bayangkan jika anda bercakap bohong, Sudah tentu anda tidak dapat dihubungi dengan cepat. Ini juga boleh menyusahkan orang lain untuk menghubungi atau mencari anda.

Sebagai isteri atau pemimpin kedua terpenting dalam rumah tangga, juga penting untuk bercakap benar. Anak akan cepat meniru jika ibunya berbohong. Ibu adalah teladan paling rapat kepada anak. Oleh itu, ibu mestilah selalu bercakap benar kepada anak dan suami.

Bercakap benar adalah jalinan kasih yang menghubungkan kemesraan antara ahli keluarga dalam rumah tangga. Suami dan isteri, kedua-duanya berfungsi untuk saling bantu membantu dan tegur-menegur.

Ini bermakna, isteri wajib patuh dan taat kepada suami tanpa berbelah bagi. Bagaimanapun, jika suami menyuruh perkara yang tidak baik dan mungkar, isteri tidak seharusnya menurut perintah suami.

Suami dan isteri juga mestilah sering bercakap benar. Pembohongan antara satu sama lain akan menghancurkan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta dan kasih sayang.

Antara adab pergaulan sesama manusia dan antara suami isteri ialah bercakap dengan teratur supaya orang yang mendengar percakapan faham maksudnya, selain daripada bercakap benar.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Daripada Ibnu Mas’ud, Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu membawa kepada mereka. Seseorang yang sentiasa berdusta akan dicatatkan di sisi Allah sebagai seorang pendusta.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Ibu bapa jangan sekali-kali bercakap bohong kepada anak kerana kanak-kanak cenderung meniru tingkah laku orang dewasa terutama ibu bapa mereka. Jika anda merasakan anak tidak pernah menipu, bolehkah anda uji sikap anda sendiri tanpa mengira sekecil manapun keadaan yang memaksa anda berbohong.

Pernahkah anda menulis surat kepada guru sekolah anak memberi alasan yang tidak benar mengenai ketidakhadiran anak ke sekolah? Jika pernah, anda sudah berbohong dan sekali gus mengajar anak tidak bercakap benar.

Pernahkah anda memberitahu jiran bahawa anda tidak tahu siapa yang memecahkan pasu bunganya sedangkan yang melakukan perbuatan itu adalah anak anda sendiri. Jika pernah, anda sudah melakukan pembohongan yang diketahui anak dan tidak mustahil mereka akan mengikutnya.

Keadaan seumpama itulah yang menjadi ikutan tidak baik kepada anak terutama bagi mereka yang berumur 12 tahun ke bawah. Jika keadaan seumpama itu berterusan, lambat laun anak akan terpengaruh dan mula berbohong. Akhirnya penyakit itu akan merebak dalam keluarga.

Kanak-kanak biasanya tidak pandai berbohong. Tanyalah kanak-kanak apa yang dimakannya pada hari itu, mereka akan menjawab dengan terus terang. Pembohongan boleh menyebabkan kesan negatif dalam rumah tangga dan akhirnya menimbulkan masalah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s