Hukum cabutan bertuah

Bersama Zaharuddin Abd Rahman
APAKAH hukum cabutan bertuah? Adakah ia judi? Soalan sebegini banyak saya terima. Cabutan bertuah ada pelbagai jenis. Ada yang halal dan ada yang haram. Dalam tulisan ringkas ini, saya cuba dedahkan beberapa jenis cabutan bertuah dan hukum setiap satunya.

Namun sebelum kita melihat bentuk semasa cabutan bertuah, daripada sudut hukum kes atau isu cabutan bertuah ini tergolong dalam perbincangan ‘al-musabaqat’ atau pertandingan. Namun jika tidak kena caranya, dengan mudah ia jatuh dalam masalah judi atau gharar.

Dalam masalah judi, keputusan majlis Fiqh Antarabangsa ‘Organization of the Islamic Conference, Islamic Fiqh Academy’ dalam sidang ke-14 pada 8 hingga 13 ZulQaedah 1423 H (11-16 Januari 2003) memutuskan (keputusan nombor 127 (14/1), unsur perjudian dalam sebarang peraduan, permainan dan pertandingan dalam dua bentuk seperti berikut:

1. Disebabkan jenis permainan, iaitu apabila ia bersifat permainan yang hanya bergantung kepada tuah (game of luck) untuk menang serta memerlukan bayaran untuk menyertainya.

2. Disebabkan hadiahnya, iaitu apabila hadiahnya diambil daripada kumpulan wang penyertaan semua peserta.

Ulama kontemporari dalam persidangan fiqh di atas mentakrifkan judi (al-qimar) mengandungi dua unsur utama:

1. Setiap permainan yang mensyaratkan mereka yang kalah untuk membayar sesuatu.

2. Mengambil harta orang lain dalam situasi ‘mukhatarah’ atau risiko sama ada akan dapat atau tidak dapat.

Ini disebutkan ulama silam sebagai: “Iaitu setiap permainan, peraduan, pertandingan yang tidak pasti akan kerugian atau untung.” (Hasyiah Al-Bajuri, 2/521)

Disebutkan juga: “Dan jika hadiah pertandingan atau permainan itu datang daripada kumpulan yuran peserta, ia haram kerana tergolong dalam bab judi nasib ‘qimar’, dan kerana setiap peserta tidak sunyi daripada peluang meraih untung atau menanggung rugi, justeru jelas ia daripada kategori memakan harta orang lain secara salah, membenihkan permusuhan dan pertengkaran.” (Al-Mughni, Ibn Qudamah )

Berdasarkan keputusan di atas, berikut adalah bentuk cabutan bertuah yang jatuh dalam kategori judi:

1. Mereka yang ingin menyertai cabutan mesti membayar yuran tertentu secara langsung iaitu:

a. Secara tunai iaitu berdepan dengan memberi wang dalam jumlah tertentu kepada penganjur bagi membolehkan penyertaan. Tanpa mengira sama ada yurannya sama atau berbeza. Hukumnya tetap haram. (Al-Badai’ Al-Sonai’, Al-Kasani)

b. Secara tunai melalui alat telekomunikasi. Maksudnya, bayaran dibuat disekalikan dengan kos telefon, Internet, SMS dan lain-lain. Sebagai contoh, kos biasa bagi satu minit bercakap di talian telefon adalah 15 sen, tetapi bagi yang ingin menyertai cabutan ini, satu nombor telefon khas akan diberi dan kos satu minit juga lebih tinggi, iaitu RM1. Kadar baru ini diberitahu secara jelas pada awal kontrak.

c. Syarikat menganjurkan makan malam dengan bayaran yuran RM100 bagi sesiapa yang ingin menyertai cabutan bertuah. Bagi yang tidak ingin menyertai cabutan bertuah, yuran hanya RM90. Cabutan bertuah sebegini adalah judi.

d. Menang cabutan bertuah dari Hong Kong atau Macau dan lain-lain. Peserta menerima SMS mendakwa menerima hadiah cabutan bertuah wang tunai mencecah RM50,000 yang diadakan di luar negara. Peserta bagaimanapun diminta membayar yuran pemindahan wang ke dalam akaun tertentu. Hukumnya haram kerana judi, malah dilaporkan banyak kes penipuan menggunakan cara ini.

2. Mereka yang ingin menyertai cabutan perlu membayar yuran secara tidak langsung, iaitu yuran dimasukkan dalam harga pembelian barangan biasa. Ini menyebabkan harga menjadi lebih tinggi daripada biasa.

Sebagai contoh, pasar raya mengadakan cabutan bertuah yang hadiahnya kereta. Sesiapa yang ingin menyertainya mesti membeli barangan tertentu yang dinaikkan harganya daripada harga biasa. Ia jatuh dalam kategori judi kerana bayaran lebihan itu dianggap yuran penyertaan.

Jenis cabutan bertuah yang halal

Semua jenis cabutan bertuah yang tidak memerlukan bayaran untuk menyertainya adalah halal dan harus. Ia disepakati ulama kerana melihatnya sebagai pemberian hadiah biasa daripada satu pihak (yang memberi dan menawarkan).

Tiada pihak akan menanggung kerugian walaupun tidak terpilih. Di sini juga tidak timbul isu memakan harta orang lain secara batil (salah) yang diharamkan oleh Allah SWT. (Syarah Al-Zarkasyi Ala Mukhtasar Al-Hiraqi, 4/320 )

Contoh cabutan bertuah yang termasuk dalam kategiri ini ialah:

a. Cabutan bertuah khas untuk pekerja — Semua pekerja layak memasuki peraduan dianjurkan syarikat, hadiah istimewa disediakan. Tiada bayaran dikenakan. Hukumnya halal.

b. Cabutan pada majlis makan malam — Syarikat menganjurkan makan malam dan semua kakitangan hadir tanpa bayaran. Cabutan bertuah dibuat sama ada cabutan bagi nombor meja, nombor kakitangan atau secara melekatkan tanda tertentu di bawah kerusi. Hukumnya halal dan tiada pihak menanggung kerugian.

c. Cabutan bertuah di pasar raya — Pasar raya melaksanakan promosi dengan menawarkan pelanggan yang membeli barangan berharga lebih daripada RM100 dalam satu resit akan diberi borang untuk penyertaan cabutan bertuah. Harga barangan pula kekal pada harga biasa.

Hukumnya halal dan tiada unsur perjudian kerana pelanggan tiada kerugian dan semua wangnya bukan untuk menyertai pertandingan cabutan ini, tetapi untuk membeli barangan. Demikian juga pihak pasar raya. Pelanggan membeli barangan pada harga asal dan tiada yuran.

Bersambung…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s