Ibu bapa model anak

Oleh NORAINON OTHMAN
DALAM kehidupan seharian, ada kalanya ibu bapa tidak sedar perkataan tidak baik yang dituturkan mereka akhirnya menjadi ikutan anak.

Apabila anak mencuba perkataan baru yang diperoleh daripada orang tuanya, ibu atau bapa biasanya menegur supaya anak tidak lagi menyebut perkataan itu.

Bagaimanapun, apabila si kecil memberitahu dia mendapat perkataan itu daripada orang tuanya, mulalah si ibu atau bapa menggelabah dan menyedari kelemahan diri kerana tidak menjaga tutur kata.

Pendakwah dan panel perunding keluarga, Siti Nor Bahyah Mahamood, berkata anak adalah amanah Allah SWT dan menjadi tanggungjawab ibu bapa menjaga amanah yang diberi dengan sebaik mungkin.

Menurutnya, ibu bapa adalah sumber teladan penting untuk anak dan lumrahnya setiap perlakuan ibu bapa menjadi ikutan anak kerana naluri anak ialah mencontohi dan contoh paling dekat dan terawal ialah ibu bapa mereka.

“Sumber teladan ibu bapa bukan saja dalam cara bercakap dan berbahasa, tetapi juga cara melakukan sesuatu. Anak adalah pemerhati dan pengamat setia terhadap apa yang berlaku di sekitarnya. Memperlihatkan wajah ceria, bahasa santun dan merangsang, belaian dan kemanjaan menjadikan anak dalam keadaan fitrah,” katanya.

Beliau berkata, dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan suci. Ibu bapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Katanya, bidalan Melayu yang menyebut ‘bapa borek anak rintik’ dan ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’ jelas menggambarkan betapa saling berkaitnya antara ibu bapa dengan anak.

“Islam menitikberatkan soal perlakuan, peribadi dan disiplin dalam diri anak sejak mereka kecil lagi. Kadangkala kita tidak sedar kelakuan buruk kita, sedangkan anak sentiasa memerhatikan tindakan kita.

“Sebagai contoh, ketika memandu, ada kenderaan lain membuatkan anda marah, lalu secara tidak langsung keluar kata kesat dan tidak sepatutnya. Jiwa tengah marah dengan bisikan syaitan. Tanpa disedari, anak juga mendengar dan mengikutnya pada masa tertentu nanti,” katanya.

Menurutnya, banyak lagi contoh kebiasaannya berlaku di sekeliling kita, antaranya bapa merokok di depan anak, malah lebih merosakkan lagi apabila bapa menyuruh si anak membeli rokok untuknya.

Ada juga ibu bapa menyuruh anak solat, sedangkan mereka sendiri tidak menunaikan solat lima waktu.

Bagi anak perempuan pula, mereka disuruh menutup aurat untuk menjaga kehormatan diri, tetapi ibunya sendiri tidak bertudung dan terdedah sana sini, manakala bapanya pula sering berseluar pendek sekeliling kampung.

“Jika wujud perselisihan antara suami isteri, ia tidak boleh ditunjukkan di depan anak, jauh sekali melafazkan kata bersifat maki hamun atau sumpah seranah yang tidak menyumbang teladan baik kepada mereka.

“Di sini pentingnya daya kawalan diri kerana setiap gerak geri dan perbuatan ibu bapa juga memberi kesan kepada anak yang dalam tahap mempelajari sesuatu,” katanya.

Siti Nor Bahyah berkata, dalam al-Quran ada kisah teladan seperti kisah Lukman al-Hakim dalam mendidik anaknya, antaranya dalam kewajipan menyembah Allah SWT dan tidak melakukan syirik.

Ayat 13 dalam surah Lukman bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Lukman berkata kepada anaknya, ketika ia memberi nasihat kepadanya. Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”

“Daripada ayat itu jelas kepada kita, Lukman al-Hakim terlebih dulu menerapkan nilai tauhid ke dalam jiwa anaknya kerana ia asas akidah Islam yang penting dan semestinya kita berpegang kepada akidah betul dan diredai Allah,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s