Sindrom Bahu Beku

Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

SELEPAS terbabit di dalam kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu, Adi mengambil keputusan untuk menggunakan tangan kirinya bagi melakukan kerja-kerja yang biasanya dilakukan oleh tangan kanannya.

Ini kerana, setiap kali Adi mahu menggunakan tangan kanannya untuk membawa komputer riba atau membuka pintu pacuan empat rodanya, dia pasti akan berakhir dengan mengaduh kesakitan.

Tidak lama kemudian, Adi tidak mampu pun mencapai barang di bahagian tempat duduk belakang kenderaannya mahupun menyeluk poket seluarnya.

“Selepas hampir setahun, saya tidak dapat mengangkat tangan melepasi paras pinggang untuk menyisir rambut, saya gagal mengancing baju mahupun menyarung kot tanpa memasukkan tangan kanan terlebih dahulu.

“Tidur malam saya turut terganggu kerana kerap terjaga disebabkan oleh kesakitan yang amat sangat. Bahu saya menjadi ketat dan tidak dapat digerakkan langsung. Agaknya, sebab itulah orang memanggilnya sebagai frozen shoulder,” kata Adi, 40-an, seorang pesakit sindrom bahu beku.

Di kalangan profesional perubatan, bahu beku dikenali sebagai adhesive capsulitis. Adhesive bermaksud perekat manakala capsulitis merujuk kepada inflamasi atau radang pada kapsul sendi.

“Bahu beku merupakan satu keadaan di mana bahu tidak dapat digerakkan secara aktif baik oleh pesakit itu sendiri mahupun dengan bantuan orang lain atau doktor yang merawatnya.

“Pemeriksaan menunjukkan bahu penderita tidak dapat digerakkan ke semua arah sama ada ke depan, belakang, sisi dan gerakan berputar,” demikian menurut Pakar Ortopedik, Atroskopi dan Kecederaan Sukan, Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Kol. (B) Dr. Azmi Abdul Latif.

Beliau berkata, pergerakan anggota terhad kepada siku dan pergelangan tangan sahaja. Penghidap berasa sakit yang berdenyut-denyut di dalam bahu terutamanya apabila tersentuh, terlanggar atau tertindih semasa tidur.

Pesakit juga berasa lenguh pada bahagian bahu, pangkal tengkuk, kebas-kebas lengan dan tangan serta tidak kuat untuk memegang barang, yang mungkin terlepas, seperti gelas.

Simptom ini datang secara perlahan-lahan sehingga penderita tidak dapat mengingati jangka masa ia berlaku dengan tepat.

“Bahu beku terjadi apabila kapsul sendi bahu menjadi kurang anjal atau tebal disebabkan oleh proses inflamasi yang berlaku di dalam sendi bahu glenohumeral.

“Ini menyebabkan pergerakan sendi bahu yang berpaksikan sendi glenohumeral tidak dapat digerakkan sepenuhnya ke semua arah,” ujarnya.

Limitasi pergerakan, jelas Dr. Azmi, bergantung kepada sejauh mana teruknya proses inflamasi yang berlaku.

Sindrom ini selalunya berlaku di sebelah bahu sahaja pada satu-satu masa namun bersama masa, sesetengah pesakit boleh mendapat bahu beku di sebelah bahu yang satu lagi.

Adakah bahu seseorang itu benar-benar menjadi beku?

“Tidak. Ia hanya tidak boleh digerakkan. Insiden bahu beku boleh terjadi apabila seseorang tidak menggunakan bahunya yang sakit atau menggunakannya secara bersela, disebabkan oleh kecederaan yang pernah dialaminya.

“Penggunaannya yang sekali-sekala boleh menyebabkan keradangan. Begitu juga sekiranya bahu tidak digunakan secara betul, selepas pembedahan, patah lengan atau ia juga boleh berlaku tanpa memerlukan sebab dan tinggal misteri,” ujar beliau.

Dr. Azmi berkata, tanpa alasan yang kukuh, penghidap bahu beku mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan pesakit kencing manis.

Adakah kerana kandungan gula dalam darah? Atau disebabkan oleh gaya hidup tidak aktif? Ataupun faktor kolagen, aliran darah dan tindak balas autoimun yang
menyerang ketahanan badan sendiri sebagaimana yang diperdebatkan oleh komuniti perubatan, mereka masih mencari-cari jawapannya.

Bagaimanapun, memetik kebimbangan pakar bedah ortopedik, Mayo Clinic, Rochester, Minnesota, John W Sperling, beliau meramalkan sindrom bahu beku bakal menjadi satu fenomena biasa kelak.

Kenyataannya itu dibuat berdasarkan pertambahan jumlah warga tua, peningkatan obesiti dan diabetes di seluruh dunia.

Sebanyak enam juta orang rakyat Amerika Syarikat (yang biasa dijadikan perbandingan), menghidapi bahu beku peringkat pertengahan ke teruk. Di Malaysia, kira-kira 15 hingga 20 peratus daripada penduduknya menderitai
gangguan yang sama.

Adalah juga dianggarkan, pesakit diabetes empat kali lebih berkemungkinan mengalami sindrom bahu beku berbanding individu yang tidak menghidapinya. Ia juga lebih sukar untuk sembuh.

Selain faktor kecederaan dan diabetes, risiko lain bahu beku termasuklah usia (40 tahun ke atas) dan penyakit sistemik seperti hipertiroidism (tiroid yang terlalu aktif), hipotiroidism (tidak aktif), kardiovaskular dan Parkinson.

Berita baiknya, selain pulih sendiri selepas melalui ketiga-tiga fasa kronik yang panjang, bahu beku boleh dirawat secara berkesan hanya dengan terapi fizikal seperti regangan – dengan syarat ia berjaya dikesan di peringkat awal lagi.

“Cara terbaik mencegah bahu beku adalah dengan memberikan perhatian terhadap tanda-tanda awal kesakitan atau ketidakselesaan bahu.

“Segeralah berjumpa doktor jika anda pernah mengalami kecederaan bahu akibat terjatuh atau tiba-tiba mengalami kesakitan melampau atau hilang mobiliti (pergerakan), sekalipun tanpa apa-apa sebab,’’ kata Dr. Azmi.

Anatomi bahu Bahu terdiri daripada tiga ketul tulang iaitu skapula (tulang kipas), humerus (tulang pada lengan atas) dan klavikel (tulang selangka).

Kapsul sendi merupakan pundi kedap air yang terdiri daripada sendi serta cecair yang menyiram dan melicinkannya.

Kapsul sendi mempunyai sejumlah tisu longgar dan kendur, membolehkan bahu bergerak tanpa batasan – satu-satunya struktur yang boleh berpusing sehingga 3600.

Dinding kapsul sendi diperbuat daripada ligamen iaitu satu jaluran kuat tisu perantara putih berserat yang menghubungkan dua tulang bersama sendi.

Ligamen yang anjal bertindak seperti tali pinggang keledar. Bagaimanapun, semakin bahu dipanjangkan contohnya apabila anda cuba mencapai kedudukan yang tinggi, ia menjadi lebih ketat untuk menstabilkan kedudukannya.

Dalam kes bahu beku – radang di dalam sendi menyebabkan kapsul sendi yang longgar, menjadi ketat kerana terlekat di antara satu sama lain.

Ruang sendi bahu semakin mengecil, kapsul melekat manakala ligamen mengetat atau mengencang pada kedudukan rehat, seperti tali pinggang yang ditarik untuk
diketatkan.

Keadaan ini mengehadkan keupayaan bahu untuk bergerak dan menyebabkan bahu membeku.

Secara umumnya, bahu beku terbahagi kepada tiga peringkat:

* Peringkat menyakitkan: Bahu akan terasa kaku dan kesakitan mengiringi setiap pergerakan bahu. Ia kemudiannya menjadi bertambah sakit dan lebih teruk pada
waktu malam. Keadaan ini boleh berlarutan di antara kira-kira tiga hingga lapan bulan.

* Peringkat perekat: Sakit mungkin berkurangan tetapi bahu menjadi lebih kaku manakala pergerakan bahu semakin berkurangan (empat hingga enam bulan).

Elakkan pergerakan melampau yang boleh mencetuskan kesakitan. Bagaimanapun, pesakit boleh terus menggunakan bahunya seperti biasa.

* Peringkat pemulihan: Keadaan menjadi bertambah baik dan tidak begitu menyakitkan (satu hingga tiga bulan). Pada mulanya, amat sukar untuk menggerakkan bahu walau sedikit namun selepas seketika, kekakuan beransur hilang.

Pesakit sudah boleh menggerakkan bahunya semula.Sekalipun tidak dapat mengembalikan keupayaan bahu untuk bergerak sepenuhnya, lebih banyak aktiviti yang boleh dilakukan. Kadangkala, anda mungkin masih boleh berasa
sakit terutama dalam pergerakan yang ekstrem.

Rawatan

Dr. Azmi berkata, pengambilan ubat penahan sakit hanya untuk mengurangkan sakit tetapi tidak membantu meningkatkan pergerakan sendi.

“Suntikan steroid dan lokal anestetik ke dalam sendi bahu glenohumeral dapat meredakan inflamasi, seterusnya mengurangkan sakit dan penderita dapat menjalankan rawatan fisioterapi intensif untuk menambah pergerakan bahu.

“Suntikan asid hialuronik ke dalam sendi bahu glenohumeral dalam volume yang tinggi sebanyak 10cc, tiga hingga lima kali seminggu dapat membantu meregangkan kapsul sendi bahu, seterusnya melembutkan kapsul dan membantu
meningkatkan pergerakan sendi bahu,” katanya.

Selalunya, rawatan ini memakan masa dari tiga hingga enam minggu.

Jika setelah menerima rawatan di atas keadaan bahu tidak banyak berubah, pesakit perlu menjalani pembedahan artroskopi di mana kapsul sendi bahu dibuka.

Tempat yang ketat dilonggarkan menerusi tiga portal utama yang dibuat untuk melonggarkan kapsul sendi bahu.

Pembedahan dilakukan di dewan bedah dan pesakit diberikan bius am (keseluruhan badan).

2 thoughts on “Sindrom Bahu Beku

  1. Bagaimana kita hendak merawat kecederaan yang berkaku pada bahgian bahu?
    Langkah-langka yang yang patut dilakukan @ cara-cara nak merawat kecederaan tersebut?

  2. KEPADA SESIAPA YANG INGIN
    1. MELIHAT ANAK2 CEMERLANG DALAM PEPERIKSAAN
    2. ADIK2 MENDAPAT KEPUTUSAN CEMERLANG DALAM PEPERIKSAAN
    3. BERKONGSI KEJAYAAN BERSAMA ORANG TERSAYANG
    4. BERKONGSI KEJAYAAN DENGAN ORANG LAIN
    SILA CALL ATAU SMS NAMA DAN LOKASI KE 0199518948

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s