Wajib pulang barangan hantaran jika dituntut

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Hukum syarak tidak tetapkan ganti rugi putus tunang mesti diberi dua kali ganda daripada nilai asal

PERTUNANGAN adalah mukadimah atau langkah permulaan kepada gerbang perkahwinan. Lazimnya, pertunangan diadakan mengikut adat dalam sesuatu masyarakat. Dalam masyarakat Islam dan Melayu di negara ini, ketika adat pertunangan dilangsungkan kedua-dua belah pihak digalakkan bertukar-tukar memberi hadiah.

Pemberian hadiah itu secara tidak langsung boleh membawa kepada saling hormat dan menjalinkan kasih sayang sebelum mempelai itu diikat melalui perkahwinan. Hakikatnya, walaupun majlis pertunangan tidak dinyatakan dengan jelas dalam Islam, adat pertunangan yang diamalkan masyarakat Islam boleh juga dianggap sebagai undang-undang Islam. Ini berikutan, ada kaedah yang menjadikan sesuatu adat itu sebagai undang-undang dalam Islam.
Amalan itu juga selaras dalam hadis, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesuatu perkara yang dianggap baik oleh orang Islam atau masyarakat, maka adalah baik di sisi Allah.”

Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam, Daerah Petaling, Suhaimi Ahmad Wahid, berkata Islam tidak menetapkan bentuk atau cara bagaimana pertunangan itu seharusnya dilakukan, tetapi beliau tidak menyangkal, cara dan adat pertunangan itu boleh dilakukan jika tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Beliau berkata, bertunang hukumnya sunat dan dalam Islam digalakkan berbuat demikian bagi menjaga keharmonian kedua-dua belah pihak sebelum berkahwin. Selain itu, bertunang juga memberi hikmah bagi memberi peluang pasangan yang ingin bernikah mengenali lebih baik antara satu sama lain, tetapi dengan dibenteng oleh batas tertentu yang ditetapkan dalam Islam.

Begitupun, katanya, Islam tidak pernah menetapkan tempoh sesuatu pertunangan itu, tetapi adalah lebih baik jika pihak terbabit menyegerakan dan tidak mengikatnya terlalu lama.

“Dalam masyarakat hari ini, biasanya tempoh pertunangan antara pasangan ialah setahun, manakala tempoh dua tahun sudah pun jarang berlaku dan memang wajar dielakkan. Maksud disegerakan tempoh bertunang yang sebaik-baiknya ialah tiga bulan kerana ia membolehkan kedua-dua belah pihak membuat persiapan dan bagi mengikut adat. Lebih singkat tempoh itu adalah lebih baik kerana mengapa perlu lagi menangguhkan perkahwinan jika sudah ada kemampuan dan masing-masing sudah pun bersetuju,” katanya.

Suhaimi berkata, apabila seseorang itu sudah bertunang, bererti beliau mengikat suatu ikatan perjanjian yang dikenali sebagai perjanjian pertunangan dan mengharapkan suatu hari nanti akan berkahwin. Bagaimanapun, setiap perjanjian pertunangan ada kalanya tidak ditunaikan, sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja.

Dalam Islam adalah jelas ikatan pertunangan itu boleh diputuskan oleh kedua-dua belah pihak ataupun wakilnya seperti keluarga, tetapi ia mestilah dibuat atas persetujuan. Tetapi apa yang terjadi, memungkiri perjanjian itu akan mengakibatkan pihak yang satu lagi itu akan menanggung kerugian dan sebagainya.

“Sama ada lelaki atau wanita, masing-masing ada hak atau boleh memutuskan pertunangan. Jika pertunangan itu diputuskan oleh wakil atau keluarga, tetapi tidak dipersetujui oleh empunya diri apa yang membimbangkan ialah ia akan memudaratkan hubungan dan mungkin timbul masalah sosial keluarga. Jadi, adalah lebih baik pertunangan itu diputuskan dapat diterima oleh pasangan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, apabila berlaku pembatalan perjanjian itu sama ada pihak lelaki atau wanita yang berasa terkilan maka dibolehkan membuat tuntutan. Dalam Islam, hukumnya adalah harus untuk memulangkan semula barang-barang diterima ketika pertunangan dibuat, malah menjadi perkara wajib dilaksanakan jika barang itu dituntut oleh yang berhak.

“Semua barang itu hendaklah dipulangkan semula jika dituntut atau diganti dengan wang yang senilai dengan harganya. Kecualilah jika individu itu tidak mahu menuntut dan mahu menganggapnya sebagai pemberian hadiah. Perlu diingatkan juga, Islam tidak meletakkan syarat bahawa barang yang dipulangkan itu jumlahnya perlu digantikan dua kali ganda daripada nilai asalnya.

“Amalan memulangkan dua kali ganda sebenarnya mengikut adat masyarakat dan bukannya satu hukum syarak yang ditetapkan. Begitu juga istilah belanja hangus ia lebih menjurus mengikut adat. Namun, jika mana-mana pihak terbabit terkilan dengan pembatalan pertunangan berkenaan, tuntutan boleh dibuat termasuklah kos perbelanjaan untuk membuat persiapan perkahwinan seperti bayaran kad jemputan, deposit katering yang sudah dibuat dan sebagainya. Tuntutan itu boleh dibuat di Mahkamah Syariah jika pembatalan dilakukan tanpa alasan munasabah,” katanya.

Suhaimi berkata, tuntutan wajar dibuat jika perjanjian pertunangan itu dibatalkan kerana ia bukan saja berkaitan dengan hak yang menyebabkan dirinya teraniaya, tetapi juga adalah soal maruah individu berkenaan. Apa pun, pihak yang menuntut di Mahkamah Syariah hendaklah meyakinkan mahkamah bahawa tuntutannya itu tidak tersasar daripada apa yang digariskan dalam hukum syarak sebelum mahkamah boleh memberikan perintah pihak yang mungkir itu membayar ganti rugi akibat perasaan malu yang ditanggungnya selepas diputuskan pertunangan tanpa sebab yang sah.

Namun, beban pembuktian diletakkan kepada pihak yang menuntut bagi membuktikan bahawa ia tidak berlawanan dengan hukum syarak.

Justeru, beliau menasihatkan apa yang lebih penting dalam sesuatu ikatan pertunangan perlulah mendapat restu orang tua dan dengan niat ingin beribadah. Apabila ikatan pertunangan dibuat, jangan sama sekali ada mana-mana pihak mengambil kesempatan lain.

INFO: Perkara yang berkaitan dengan putus tunang:

Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan:

  • Jika seseorang mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis dan sama ada secara bersendirian atau melalui orang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab sah, manakala pihak satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak mungkir perlu:
    • Memulangkan segala hantaran yang diterimanya daripada pihak yang satu lagi ataupun jika tidak dapat memulangkannya maka perlu membayar dengan wang yang senilai dengan hantaran yang diberikan itu;
    • Menanggung perbelanjaan yang dikeluarkan oleh pihak yang bersedia untuk berkahwin itu di dalam membuat persediaan bagi perkahwinan itu. Kedua-dua perkara di atas hendaklah ditanggung oleh pihak yang mungkir kepada perkahwinan itu dan sekiranya ia enggan membayarnya maka pihak yang bersedia untuk berkahwin itu boleh menuntut remedi itu di Mahkamah Syariah melalui seksyen 15 Akta yang disebut di atas.
  • Bagaimanapun, jika pihak yang memutuskan pertunangan itu mempunyai sebab yang sah dan diiktiraf hukum syarak, maka pihak yang memutuskan pertunangan itu tidak perlu memenuhi kedua-dua keperluan yang diperuntukkan di dalam seksyen 15. Perlu dijelaskan di sini seksyen 15 di atas tidak memberi peruntukan secara spesifik untuk menuntut ganti rugi atas perasaan malu pihak yang dimungkiri untuk di kahwin itu.

 

8 thoughts on “Wajib pulang barangan hantaran jika dituntut

  1. saye akan bertunang tapi mase yang akan diambil selama bertunang adalah 2 atau 3 tahun kerana duet belum cukup dan belum bersedia buat mase sekarang..jadi soalan saye tak pe ke jika bertunang selama 2 3 tahun..apa akibatnye jika bertunang terlalu lame..

  2. yang wajib nye pulangan barang hantaran oleh pihak lelaki atau pihak perempuan…dari yang saye dengar jikalau pihak perempuan cube memutuskan tali pertunangan pihak perempuan harus memulang kan hantaran pertunangan dengan 2 kali gandaan dari aslnye…betol atau tidak?????? jadi jikalau pihak lelaki yang memutuskan adakah pihak lelaki juga harus melakukan seperti yang saye kate tadi…

  3. eida…dari pengalaman saya …waktu bertunang ni lah yang banyak cabaran dan godaan…sebelum bertunang..cuma nampak bakal tunang kita je yang jadi jodoh kita tapi bila dah bertunang…ramai pulak yang nak kat kita dan kita nampak ramai yang boleh jadi jodoh kita…sebab tu orang tua kata sape yang bertunang ni darahnya manis…hehe

    so kalau takes about 2 or 3 years baru nak kawin…so kuatkan semangat…

    Yang saya tahu..kalau pompuan nak putuskan pertunangan..dia kena bayar ganti rugi dan pulangkan cincin pertunangan tapi kalau pihak lelaki yang nak putuskan pertunangan…semua barang hantaran waktu majlis pertunangan dulu kira burn…pasai ganti rugi saya tak tau pulak…

    sebab tu sekarang ni orang suka bertunang tak sampai sehari dan esoknya terus nikah…so boleh dapat dua cincin..satu cincin tunang…dan satu cincin kawin..heheh

    • memg btul…mase sblum bertunang..xde pun org nk ngurat…bile dh bertunang…ade je nk kat kt..sy sendiri alami…hmm bile dh jadi cmni…hati kita kt tunang pun dh jadi lain…:-(..skrg dlm dilemma nk teruskan pertunangan ni atau x…

  4. saya bakal bertunang tidak lama lagi.cume saya risau gak dgn perkara mcm ni.yalah,mase bertunang byk dugaannya serta cabaran yg dtg.saya hrp majlis ni berjalan lancar.insyaallah….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s