Membaca Hati Untuk Mengelak Terpedaya

Oleh: DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj

Ketika Bos Amir sedang serabut dengan masalah, tiba-tiba Ahmad Serbi berkata, “Bos, boleh tak benarkan saya keluar sekejap sebab ada hal penting?”

Jawab Bos Amir, “Tak boleh!”

“Alaaa bos, bukan lama, setengah jam saja.”

“Tak boleh!” kata Bos Amir lebih keras.

Tidak lama kemudian, setiausaha Bos Amir, Cik Nina masuk, “Bos, nampaknya Ahmad Serbi dalam keadaan murung. Kereta dia rosak. Bolehkah kita benarkan dia menghantar keretanya ke bengkel?”

Bos Amir terdiam sebentar. “Iya, benarkan.”

Dua situasi ini melambangkan psikologi manusia yang banyak dipengaruhi oleh emosi dan keadaan-keadaan semasa. Ketika Ahmad Serbi meminta izin Bos Amir, mood Bos Amir tidak baik. Dia sedang serabut dengan masalah. Ahmad Serbi pula tidak pandai memainkan kata-kata, dia terus pada maksud. Maka jawapan yang diperolehinya juga terus pada maksud ¯ “Tidak boleh!”

Berbeza dengan Nina, dia masuk dengan menceritakan keadaan Ahmad Serbi yang murung. Itu menimbulkan persoalan dalam otak Bos Amir, murung kenapa? Apabila diberitahu disebabkan kereta yang rosak, Bos Amir segera membenarkan.

Kadang-kadang psikologi manusia boleh diramal kadang-kadang juga tidak. Ahmad Serbi bertindak begitu sebab biasanya Bos Amir pasti membenarkan. Sama ada moodnya okey atau tidak, tiada masalah dalam soal ini, sebab Bos Amir tahu dan percaya kepada orang-orang bawahannya. Tetapi apa yang terjadi pada hari itu membuktikan kadang-kadang kita tidak upaya meramalkan tindakan seseorang.

Begitu juga, kadang-kadang kita tidak dapat menduga psikologi orang dengan melihat wajahnya sahaja. Bukan semestinya orang yang berwajah bengis itu jahat dan orang yang berwajah baik itu jujur.

Suatu hari seorang jurujual datang ke rumah saya. Setelah mempromosikan barangan dagangannya dia pun balik. Anak-anak saya bertanya, “Ayah, apa orang tu nak?”

“Dia nak jual barang.”

“Nak jual barang? Muka dia macam muka penjahat. Macam mana nak jual barang?”

Saya tergelak mendengar komen anak-anak saya itu.

Kemudian mereka bertanya lagi, “Jadi, ayah belikah barangnya?”

“Ya, ayah beli. Bukan murah pula tu, dekat RM2000.” Alasan saya membeli barangan berkenaan ialah jenamanya yang popular bukan si penjual. Beliau bukan sahaja memiliki wajah ‘penjahat’ malah kurang pendengaran, juga tidak pandai bercakap.

Kita juga sukar meramalkan apakah orang serius ketika bertanya sesuatu dan benar-benar mengharapkan jawapan atau sekadar satu ujian. Cuba lihat kisah di bawah:

Pak A dan Pak B singgah di warung kopi setelah penat bekerja. Tiba-tiba Pak A berkata.

Pak A: Boleh tak engkau tolong aku. Aku tak tahulah jawapan pada soalan ni. Puas aku fikir tak dapat juga.

Pak B: Apa dia?

Pak A: Kenapa orang gali kubur tak pakai kasut?

Pak B: La…, itu pun engkau tak tahu. Sebab dia tak nak kasut dia kotor.

Pak A: Takkanlah, apa punya jawapan.

Pak B: Apa pulak salah? (Maka Pak B pun terfikir, entah-entah Pak A pun tak tahu jawapannya. Aku yang lebih pandai daripada dia pun tak tahu, dia tentu lebih tak tahu). Okeylah aku cabar engkau A. Kalau kau tahu, aku bayar semua hutang kau kat warung kopi ni.

Pak A: Orang gali kubur tak pakai kasut sebab dia pakai cangkul.

Suatu ketika yang lain seseorang telah didatangi oleh seorang lelaki yang pakar dalam IT. Banyak urusan internet dan pengkomputeran orang berkenaan diuruskan oleh lelaki berkenaan. Kepercayaannya padu, maka beberapa urusan perniagaan akhirnya turut diberikan kepada lelaki berkenaan untuk diurus.

Kira-kira setahun kemudian banyak daripada urusan yang mem****tkan wang gagal. Wang bukan sahaja hilang, urusan juga turut terbengkalai. Setelah gagal beberapa kali dihubungi. Akhirnya pecahlah rahsia, sebelum ini lelaki berkenaan telah memperdayakan ramai orang.

“Hai, muka macam orang baik-baik, tapi rupanya penipu besar!”

Beberapa orang lelaki di tempat saya tinggal memiliki wajah ‘sentiasa senyum’. Impresi pertama sewaktu melihat mereka ialah mereka tentu orang baik dan boleh dibuat kawan.

Ternyata benar. Barangkali wajah manis yang sentiasa terpamer itu membuatkan mereka hanya didampingi orang baik-baik.

Lihatlah betapa uniknya psikologi. Ia mengajar kita membina sempadan mengikut apa yang kita lihat, tetapi ia juga mengajar kita kemungkinan apa yang akan berlaku di sebalik kebiasaan. Seorang ahli psikologi dan kaunselor tidak terkecuali daripada tertipu atau terpedaya, sebab realitinya tiada siapa dapat meramal secara pasti apa yang ada di dalam hati seseorang itu.

Cubaan untuk memahami psikologi manusia secara tepat dan pasti adalah satu kerja penuh berisiko. Bagaimanapun, ia adalah satu bidang paling menarik untuk terus dikaji dan digali. Pandukan hal-hal berikut dalam meramal psikologi manusia:

i. Sentiasa berlindung kepada ALLAH daripada didampingi atau didatangi manusia yang berniat jahat. (Mereka ini ‘syaitan’, maka kita berlindung pada ALLAH dari syaitan)

ii. Sentiasa tanya gerak hati. Jika hati selesa mungkin boleh diteruskan, jika terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena, eloklah berhati-hati.

iii. Ramal peribadi seseorang melalui nama, tarikh lahir, tanda-tanda ketara pada wajah. (Gunakan kaedah 3E – boleh diperolehi melalui http://www.drtuah.com)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s