Mesti Bijak Tangani Kekusutan Emosi

KEHILANGAN atau kematian seorang ahli keluarga yang tersayang lazimnya menyebabkan seisi keluarga sedih dan pilu. Jika suami meninggal dunia, selalunya isteri akan bersedih, jika ayah meninggal, anaknya pula akan mengalami perubahan emosi sama.

Perubahan emosi seperti ini dikatakan normal kerana setiap ahli keluarga mempunyai perasaan kasih sayang antara satu sama lain. Dalam keadaan sedemikian, orang terbabit kerap terkenang-kenang dengan orang yang meninggal.

Malah, untuk sementara waktu, dia juga akan mengalami gangguan tidur dan selera makan. Individu berkenaan juga tidak suka bermesra dengan orang lain, lebih gemar bersendirian dan kurang minat bergaul seperti sebelum kejadian.

Perubahan emosi seperti ini selalunya akan beransur-ansur menjadi normal dalam jangkamasa dua bulan hingga enam bulan.

Untuk mempercepatkan proses pemulihan, individu terbabit digalakkan bercakap dan berbual mengenai orang yang meninggal supaya apa-apa perasaan yang disimpan di hati dapat diluahkan dengan sempurna.

Pendekatan seperti ini memberi peluang kepada mereka mencurahkan perasaan dan lama kelamaan mereka dapat menerima hakikat yang pergi tetap pergi dan tidak akan kembali lagi. Kepada orang Islam, kita reda dengan apa yang terjadi dan berserah kepada Tuhan yang maha kuasa untuk mencucuri rahmat ke atas roh orang yang kembali ke alam barzakh.

Biasanya, selepas kesedihan ini reda, mereka boleh secara beransur-ansur berfungsi seperti sediakala dan mampu menjalankan tanggung jawab masing-masing.

Namun, ada juga individu menunjukkan reaksi emosi yang jauh berbeza. Contohnya perasaan sedih dan pilu menjadi amat sangat hingga boleh menjejaskan tugas dan tanggung jawab mereka.

Mereka tidak dapat berfungsi dengan sempurna dan memerlukan bantuan dan rawatan. Kekusutan emosi yang dialami boleh mengganggu tidur dan selera makan, hingga badan menjadi susut. Mereka tidak bermaya, perasaan bersalah menyelubungi jiwa dan berasa mereka tidak lagi berguna.

Ada kalanya kekusutan emosi yang mereka alami berpanjangan hingga melebihi enam bulan. Apabila perubahan emosi ini berpanjangan, ia dikatakan terkeluar daripada paras normal, oleh itu golongan ini memerlukan bantuan dan rawatan.

Ada dua keadaan perubahan emosi susulan daripada berlakunya kematian dalam keluarga. Pertama ialah perubahan emosi yang memang diduga akan berlaku, ia tidak begitu teruk dan orang yang terbabit masih mampu mengawal diri sendiri.

Mereka tidak perlu ubat-ubatan, mereka hanya perlu sokongan sosial dan moral. Lazimnya, mereka akan pulih kembali dan boleh menjalankan tanggung jawab dengan sempurna.

Keadaan kedua membabitkan individu yang menunjukkan kekusutan emosi yang keterlaluan hingga mereka tidak boleh berfungsi dengan sempurna. Mereka memerlukan bantuan dan rawatan sewajarnya supaya gangguan emosi yang dialami dapat diatasi secepat dan sebaik mungkin.

Faktor yang membezakan antara reaksi emosi yang normal daripada reaksi emosi tidak normal, dalam keadaan seperti ini ialah pertama: aspek kualiti kekusutan emosi, dan kedua: selama mana gangguan berkenaan berlaku.

Sebagai contoh, dihuraikan dua kes di mana kekusutan emosi terjadi akibat kematian ahli keluarga.

Pertama seorang isteri berumur 40 tahun mengalami gangguan kemurungan yang amat serius selepas suaminya berumur 45 tahun meninggal dunia akibat serangan strok.

Kematian suami terjadi secara mengejut dan tidak disangka-sangka, oleh itu isteri ini mendapati sukar untuk menerima hakikat mengenai apa yang berlaku. Lama kelamaan disebabkan gangguan pada emosi dan pemikirannya, dia menjadi agresif dan perlu rawatan sebagai pesakit.

Selepas diberi ubat-ubatan antidepresan yang bersesuaian, akhirnya dia mampu kembali kepada keluarganya yang tersayang untuk mendidik anaknya.

Soalannya, kenapa balu ini menunjukkan reaksi emosi yang keterlaluan? Tidakkah boleh beliau menerima hakikat sebenar?

Jawapannya ialah emosi seseorang insan sangat kompleks dan dipengaruhi pelbagai faktor. Ini termasuk perwatakan seseorang, jaringan rakan yang ada, sokongan moral daripada sanak saudara, hubungan antara balu dengan arwah suaminya, situasi yang menyebabkan kematian, kehilangan sumber pendapatan dan sejarah kesihatan mental balu (jika ada).

Justeru, dalam proses memberi bantuan kepada balu ini, perkara berkenaan perlu diambil kira bagi menentukan pendekatan terbaik untuk mempercepatkan status mentalnya menjadi stabil semula.

Keduanya adalah seorang remaja yang kehilangan ayahnya. Remaja berkenaan mendapati sukar untuk menjalankan tugas harian tanpa ayahnya. Oleh itu, dia mudah mengalami tekanan jiwa. Dalam keadaan demikian, adakala dia hilang kewarasan dan membuat sesuatu di luar dugaan.

Dalam keadaan seperti ini, ia agak serius dan perlu kepada rawatan intensif. Apabila dia pulih daripada permasalahan dialaminya, dia boleh terus bekerja seperti biasa.

Kes ini menunjukkan hubungan rapat remaja dengan arwah ayahnya.

Kehilangan ayah tersayang memberi kesan mendalam kepadanya kerana di peringkat remaja, ia sangat memerlukan bimbingan dan mencari-cari model terbaik untuknya.

Apabila berlaku kematian ayahnya, dia hilang sumber ilham dan ini membuatkan jiwanya menjadi kosong.

Yang dihuraikan adalah kekusutan emosi yang mungkin berlaku susulan daripada pemergian orang tersayang. Ada golongan mampu mengatasi tekanan ini dan ada juga kumpulan yang memerlukan bantuan.

Bagi umat Islam, semua yang datang daripada Allah, akan kembali kepada-Nya juga. Sebagai insan biasa, kita diberi akal untuk berfikir dan berikhtiar bagi menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran.

Dengan berkat kesabaran dan pendekatan yang bersesuaian, mereka mampu mencari jalan penyelesaian kepada masalah dihadapi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s