Amal konsep 7P

Oleh NORAINON OTHMAN
DALAM mencari keselesaan hidup dan sibuk dengan urusan pekerjaan, ada ibu bapa terleka untuk menerapkan elemen pendidikan berkesan kepada anak.

Keluar rumah ketika matahari belum muncul dan pulang pula ketika malam menjengah, tentu tidak banyak masa dapat diluangkan bersama anak.

Apapun, asuhan terhadap anak tidak harus diketepikan, malah lebih malang lagi jika menyerahkan urusan mendidik dan menjaga anak kepada pembantu rumah.

Pengerusi Yayasan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Hanafi Abdul Malek, berkata ibu bapa perlu mengamalkan konsep 7P dalam mendidik anak, iaitu memberi perhatian, pujian, pendidikan, pukul, pujuk, periksa dan penghargaan.

Menurutnya, perhatian bermaksud mengambil berat kebajikan anak meliputi keperluan diri dan emosi anak.

“Ada ibu selalu menyindir anak mengenai akademik atau membanding pencapaian anak dengan saudara mara lain yang lebih cerdik. Ini membuatkan anak tertekan, rendah diri dan bosan.

“Ibu bapa perlu pandai berbual dengan anak sehingga anak selesa untuk bercerita sebarang topik dengan ibu atau bapanya hingga tiada rahsia.

“Mereka perlu bijak menembak soalan untuk mendapat jawapan daripada anak dan jangan cuma menanti anak buka cerita,” katanya.

Menurut Hanafi, mudah untuk ibu bapa mengesan jika si anak bercakap bohong, iaitu melalui gerak geri atau tingkah laku. Misalnya ketika memberi jawapan, anak menggaru kepala atau hidung atau nada suaranya tiba-tiba tinggi.

“Jika ketika berbual, ibu atau bapa bertentang mata dengan anak dan tiba-tiba mata si anak besar atau dia memandang ke arah lain ketika bercakap, itu juga tanda dia berbohong.

“Jika berdepan anak yang merokok dan mahu memberhentikan tabiat itu, caranya ialah ibu beritahu anak itu supaya mengajarnya merokok.

“Berdasarkan pengalaman, ada anak menangis apabila ibu minta ajar merokok dan dia tidak mahu ibunya nampak seperti jalang,” katanya.

Beliau berkata, ada satu doa yang baik diamalkan oleh ibu ketika membasuh beras untuk ditanak, iaitu ayat yang bermaksud: “Ya Allah, kau Tuhan kami dan Tuhan mereka. Hati kami dan hati mereka ada dalam genggaman Mu. Sesungguhnya Kau menguasai atas mereka.”

Dalam memberi perhatian, didapati ramai ibu bapa membantu membawa beg sekolah anak. Meskipun ada yang berpendapat kita tidak boleh membezakan zaman sekarang dengan zaman ketika kita bersekolah dulu, tindakan itu sebenarnya melayan anak menjadi ‘tuan’ dan anak itu tidak belajar mengenal erti kesusahan.

Menurutnya, faktor pendidikan berkesan ialah kemesraan antara suami dan isteri iaitu anak melihat contoh nilai kasih sayang, kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada anak, memberi ilmu secukupnya, memberi hadiah serta kualiti masa.

“Akan cacat pendidikan jika ibu bapa bergaduh depan anak, tidak mengurus masa lapang anak serta tidak mengambil peduli siapa teman anak,” katanya.

Hanifi berkata, sebaik-baiknya ajar anak mengaji dalam rumah kerana rumah yang tiada bacaan al-Quran umpama kubur.

“Cari ustaz di kalangan pelajar universiti kerana cara itu boleh membantu pelajar berkenaan menampung pembiayaannya.

“Selain itu, lantik anak remaja menjadi imam dalam solat serta lembutkan anak dengan falsafah, misalnya bersusah dulu bersenang kemudian,” katanya.

Didik anak supaya bertolak ansur serta jangan amal sikap suka menunjuk-nunjuk, misalnya membanggakan anak kerana mendapat pencapaian cemerlang dalam peperiksaan.

“Jika hendak memuji anak, jangan puji melambung tinggi. Selain itu, jangan kutuk anak yang tidak cerdik kerana ia membuatkan anak berasa rendah diri.

“Nanti apabila mereka dewasa, anak yang bijak sibuk dengan pekerjaan, anak yang tidak bijak itulah yang menghantar orang tuanya ke hospital bila sakit.

“Buatkan juga jadual harian untuk anak. Jangan amalkan tidak kejut anak bangun bersolat Subuh pada hari cuti persekolahan iaitu Sabtu dan Ahad dengan alasan hari persekolahan anak bangun awal kerana solat perlu dititikberatkan.” katanya.

Menurut Hanafi, jika anak melakukan kesalahan, minta dia berubah sikap dan jangan mengulangi lagi dan jika masih berdegil, beri amaran akan merotannya.

“Anak boleh dirotan sebelum berumur 15 tahun. Rahsiakan hukuman rotan itu daripada anak lain dan jangan gunakan bahasa kasar.

“Jangan cakap perkataan kasar kepada anak, misalnya ‘Apa nak jadi kau ni ha? Nak jadi penagih dadah, jalang, mat rempit’ sebab kata-kata ibu adalah doa.

“Selepas menghukum anak, memujuk ialah tugas ibu. Anak perlu dipujuk selepas satu jam atau pada waktu malam, iaitu selepas ibu mengambil wuduk atau selepas solat.

“Bawakan air untuk anak, rendahkan diri dan dengar rasa tidak puas hatinya. Jangan bangkang kata-kata anak atau memotong cakapnya dan biar dia beri pendapat,” katanya.

Sebagai ibu bapa, selalu periksa khidmat pesanan ringkas (SMS) di telefon bimbit anak bagi mengetahui perkembangannya. Ini bagi memastikan anak tidak terbabit dengan aktiviti kurang sihat.

Rangsang anak dengan kerja amal seperti melawat persatuan orang buta, rumah perlindungan untuk ibu tunggal, orang kurang upaya supaya hati anak seronok dengan kerja amal dan ingin membuat kebajikan.

Beri penghargaan apabila anak melakukan perkara baik dan sering tiupkan kata rangsangan kepada anak, misalnya ‘Umi yakin abang boleh berubah’.

One thought on “Amal konsep 7P

  1. As salam saya ingin bertanya bagaimana saya dapat membantu anak saya yg mula terlibat dengan pergaulan lelaki dan perempuan, mula menipu dan keluar malam tanpa pengetahuan. Saya berhasrat utk menghantar beliau untuk pemulihan . Apa pendapat tuan. Utk makluman beliau perempuan berusia 14 tahun. Masih bersekolah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s