Risiko akibat kafein berbeza

Oleh Hafizah Iszahanid

MUNGKIN anak anda gemar menikmati secawan kopi setiap pagi sebelum ke sekolah atau anda yang membancuhkannya setiap malam sebagai teman mengulangkaji pelajaran.

Kesan pengambilan kafein pada setiap individu berbeza, tetapi secara umumnya kanak-kanak dan dewasa memiliki kesan yang hampir sama. Walaupun tidak ada garis panduan pengambilan kafein untuk kanak-kanak di Malaysia, di Kanada, kanak-kanak tidak dibenarkan mengambil lebih daripada 45 miligram (mg) kafein sehari.

Jumlah itu bersamaan dengan kuantiti kafein yang dijumpai dalam 355 mililiter (ml) minuman soda atau empat coklat bar dengan berat 43 gram.

Kafein boleh ditemui dengan jumlah yang banyak dalam kopi (54 peratus kafein dalam kopi), tetapi ia juga boleh dijumpai dalam teh, coklat, minuman koko, sesetengah minuman ringan, yang kandungan kafeinnya tidaklah sebanyak dalam kopi.

Perlu dijelaskan, kafein memiliki risiko kesihatan terhadap sesetengah pengguna. Anak kecil misalnya lebih sensitif kepada kafein kerana mereka tidak terdedah kepada bahan itu berbanding orang dewasa.

Bagi kebanyakan doktor perubatan pula, mereka menyarankan wanita hamil dan ibu yang menyusukan bayi patut mengurangkan pengambilan kafein. Walaupun dalam jumlah sedikit atau sederhana belum dapat dibuktikan boleh mengganggu bayi, tetapi yang selalu ditegaskan dalam kebanyakan kajian, kafein boleh memburukkan masalah jantung atau saraf.

Prof Suhaila Mohamad dari Fakulti Sains dan Sains Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata kafein bersifat diuretic (tindakan yang menyebabkan banyak air dikumuhkan).

“Bagi orang dewasa pula lazimnya sifat yang diuretic menyebabkan individu yang mengambil kafein akan kerap membuang air kecil,” katanya.

Prof Suhaila berkata, bagi kanak-kanak, ‘perkenalan’ dengan kopi sepatutnya dimulakan hanya pada usia mencecah lapan tahun.

Bagaimanapun, katanya bagi teh dan koko, pengambilan daripada awal tidak menjadi soal kerana kita juga perlu seimbangkan pengambilan makanan. Apatah lagi, teh dan koko mengandungi ejen anti oksidan yang baik untuk kesihatan.

“Ibu yang menyusukan bayi boleh mengambil minuman berkafein kerana kemungkinan kafein boleh membantu melancarkan lagi aliran susu kepada bayi. Kesan kafein pada bayi yang menyusu badan tidak menggugat kesihatan,” katanya.

Difahamkan meminum kopi lebih dari­pada tiga cawan boleh meningkatkan risiko barah, tetapi setakat ini tiada kajian saintifik yang menyokong kenyataan itu. Kajian hanya dijalankan kepada mereka yang gemar minum kopi dan sebaliknya, yang mana didapati orang minum kopi memiliki ingatan lebih baik.

Bagaimanapun, Prof Suhaila berkata, dalam apa juga pengambilan makanan sekali pun, sifat bersederhana adalah lebih baik kerana setiap perkara itu ada keburukan dan kebaikannya.

Kesan pengambilan kafein
Pakar Pemakanan Pusat Perubatan Pantai, Kanimolli Arasu, berkata kesan pengambilan kafein bergantung kepada kekerapan dan jumlah pengambilan bahan itu.

“Lebih tinggi kesan kepada kanak-kanak kerana saiz tubuh mereka yang kecil. Kafein cepat diserap dan mudah didistribusi kepada seluruh badan dalam masa yang singkat pada kanak-kanak berbanding orang dewasa,” katanya.

Beliau berkata, secara umum, kanak-kanak yang mengambil terlalu banyak kafein seperti minuman berkarbonat akan kurang minum susu. Ini menyebabkan pengambilan nutrien seperti kalsium berkurangan.

“Selain itu, pengambilan minuman berkarbonat yang banyak menyebabkan obesiti dan kerosakan gigi kerana minuman itu bukan saja mengandungi kafein malah mempunyai kandungan gula yang tinggi,” katanya.

Justeru, sifatnya yang diuretic, minuman berkafein memang tidak sesuai untuk kanak-kanak.

Beliau berkata, cara terbaik untuk mengurangkan kafein dalam diet kanak-kanak ialah dengan menggantikan minuman berkafein dengan air, susu, jus buah-buahan segar.

Kesan pengambilan kafein yang sedikit

Mengganggu corak tidur.

Meningkatkan degupan jantung.

Meninggikan tekanan darah.

Kerap membuang air kecil.

Tangan terketar-ketar perlahan.

Kurang selera makan.

Kesan pengambilan kafein dengan jumlah yang banyak

Resah dan gelisah.

Sukar menumpukan perhatian.

Sakit kepala.

Sukar tidur.

Keliru dan kadang-kala berhalusinasi.

Kafein dalam pemakanan

Secara umum kafein lebih banyak ditemui dalam kopi (54 peratus), teh (43 peratus), minuman kola dan ­­ubat-ubatan (3 peratus). Kafein biasanya ditambah dalam sesetengah makanan dan minuman sebagai perasa. Ia menyumbang kepada profil perasa makanan itu secara keseluruhannya.

Fakta: Kafein

Kafein adalah sejenis ‘ubat’ (drug) yang dihasilkan secara semula jadi dalam daun dan biji benih. Ia juga boleh dihasilkan secara tiruan dan ditambah ke dalam sesetengah makanan. Kafein dikategorikan dalam kumpulan ubat yang sama dan kadang kala digunakan untuk merawat lelah.

Bertindak menstimulasi sistem saraf tengah menyebab­kan peningkatan dalam degup jantung dan sifat waspada (alertness). Kebanyakan orang yang sensitif dengan kafein mengalami pertambahan dalam tenaga dan ‘elevation mood’.

Ada dalam daun teh, biji kopi, coklat, kebanyakan minuman soda dan sesetengah ubat melegakan kesakitan. Dalam bentuk semula jadinya kafein berasa pahit. Tetapi kebanyakan minuman berkafein yang kita nikmati kini sudah melalui proses untuk menyingkirkan rasa pahit itu. Majoriti remaja yang mengambil kafein menerusi minuman soda, juga mengalami pertambahan jumlah gula dan perasa tiruan.

Fakta: Jumlah kafein dalam minuman
Kopi yang disaring (250ml) 200-250mg
Kopi yang ditapis (250ml) 100-150mg
Kopi segera (250ml) 80-150mg
Kopi tanpa kafein (250ml) 4-8mg
Teh (250ml) 20-200mg
Teh ais (350ml) 12-28mg
Minuman kola (375ml) 30-75mg
Minuman untuk tenaga 375ml 150mg atau lebih
Coklat panas (250ml) 10mg
Coklat bar (200gram) 60mg

4 thoughts on “Risiko akibat kafein berbeza

  1. Salam perkenalan saudari haniey. Blog ni banyak memberikan saya ilmu pengetahuan dalam pelbagai isu. Pasal kafein ni, ada member saya yang boleh dikatakan memang dah ketagih sangat minum nescafe. Dalam sehari, kalau tak pekena 2-3 cawan memang tak sah. Komen dia, nanti tak bersemangat nak buat kerja & tubuh terasa lesu semacam kalau tak minum. Ha, macam mana pulak tu. Saya sendiri memang tak suka minum nescafe atau kopi, so kira okay la. Kalau time belaja kat kampus dulu, member-member suka minum nescafe untuk tahan mengantuk masa stay-up. Kira bagi lebih energetic la. Anyway, saya mintak izin untuk forward artikel ni kepada kawan-kawan yang dah ketagih sangat dengan kafein ni. Thanks for a very good info.

  2. Saya&Group member saya telah menjalankan kajian terhadap kesan kafein ke atas tumbuhan. Result yang kami dapat agak mengejutkan sebab berbalik kepada mitos, kafein apabila ditambah sebagai baja dalam tumbuhan, akan mempercepatkan pertumbuhan, sememangnya benar. Tetapi, kesan ini tidak lama. Apabila tiba suatu tahap di mana kafein sudah tidak dapat diterima sebagai baja untuk tumbuhan, tumbuhan mati. Ini juga membuktikan bahawa kafein sebenarnya lebih banyak memberi keburukan berbanding kebaikan. So, kepada penggemar kafein, hadkan pengambilan kafein because it is bad for your pancreas.
    Stay Healthy!

  3. saya memang gemarkan nescafe dan nampaknya mendatangkan kesan yang tidak baik kepada saya, mungkin kafien sudah berlebihan dalam badan sehingga setiap kali lepas meminum nescafe saya mengalami sakit dada hingga tembus ke belakang dan tangan kiri, sesak nafas,resah dan gelisah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s