Panduan melengkapkan diri sebelum persaraan

SIAPA yang tidak menanti dan menyambut dengan penuh kegembiraan saat-saat untuk bersara. Inilah masa dan ketika yang dinanti-nantikan. Apa jua hobi atau keinginan melakukan sesuatu kini boleh dilakukan yang sebelum ini terpaksa dipendam dan ditunda dek kekangan masa dan kesibukan tugas.

Dalam pada itu, mungkin ramai juga antara kita yang tidak terfikir untuk merancang persaraan kerana mereka beranggapan simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencukupi untuk menampung hidup pada hari tua.

Malangnya, ia tidak sebegitu. Persaraan yang dilalui tanpa melengkapkan diri dengan persediaan yang sewajarnya boleh merumitkan kehidupan, lantas membuatkan ada segelintir yang terpaksa bergantung harap kepada anak dewasa.

 

Bagi memastikan anda tidak ditimpa nasib yang sama, Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) menawarkan beberapa saranan seperti yang digariskan dalam buku panduannya mengenai kewangan individu.

ACCA menyifatkan amat penting bagi kita merancang persaraan seandainya kita mahu hidup selesa dan teguh kewangan pada tahun keemasan.

Perancangan persaraan membabitkan beberapa langkah mudah yang boleh anda lakukan sendiri dan ia termasuklah menentukan berapa banyak yang anda perlukan sewaktu persaraan, berapa banyak yang anda miliki sekarang serta apa yang boleh anda lakukan untuk membetulkan keadaan.

Jawapan ini memerlukan pemikiran dan perancangan yang bersungguh-sungguh memandangkan jumlah wang yang anda perlukan ketika persaraan mempunyai hubung kait dengan gaya hidup yang anda inginkan.

Misalnya, andai kata, anda merancang untuk berpindah ke sebuah rumah yang lebih kecil di sebuah kawasan pinggir bandar, justeru kos hidup mungkin lebih rendah berbanding tinggal di sebuah rumah besar di kawasan bandar.

Sebaliknya, anda mungkin memerlukan wang lebih jika merancang untuk memulakan satu hobi yang mahal atau ingin melancong mengelilingi dunia. Sebelum memenuhi hajat itu, anda harus lihat perbelanjaan semasa dan menganggarkan bagaimana ia mungkin berubah ketika persaraan.

Umpamanya, anda boleh mengurangkan kos pengangkutan dan perbelanjaan hiburan, tetapi anda mungkin perlu meningkatkan perbelanjaan perubatan kerana kemungkinan untuk anda jatuh sakit meningkat dengan peningkatan usia.

Secara alternatif, anda boleh membuat andaian bahawa anda hanya memerlukan 70 peratus hingga 80 peratus daripada perbelanjaan semasa sewaktu persaraan.

Misalannya, katakan gaji terakhir anda ialah RM66,000 setahun. Anda hanya memerlukan kira-kira RM52,800 daripada pendapatan tahunan setelah bersara (80 peratus x RM66,000). Jawapannya ada kaitan langsung dengan jangkaan hayat anda.

Perangkaan bulan Disember 2007 Jabatan Perangkaan mencatatkan purata jangka hayat bagi lelaki ialah 72 tahun dan 76 tahun bagi wanita. Bagaimanapun, jika anda sekarang menikmati kualiti hidup yang tinggi dan kesihatan yang bagus, anda boleh lanjut usia sehingga 80 tahun.

Jadi, jika anda bersara pada usia 56, anda memerlukan sekurang-kurangnya 24 tahun pendapatan persaraan.

Ancaman paling besar dalam memenuhi keperluan kewangan semasa persaraan adalah inflasi. Inflasi ialah peningkatan kos hidup yang diterjemahkan sebagai peratus kenaikan harga berbanding tahun sebelumnya.

Anda mungkin tidak memberi tumpuan terhadap inflasi ketika anda bekerja kerana pendapatan anda cenderung meningkat seiring dengannya. Bagaimanapun, apabila anda berhenti bekerja, pendapatan anda lebih kurang tetap dan ini membuatkan inflasi muncul sebagai masalah besar.

Seperti contoh terdahulu, anda perlu mempunyai pendapatan tahunan sebanyak RM52,800 selepas bersara. Bagaimanapun, ekoran inflasi, jumlah itu perlu dinaikkan bagi membolehkan anda mengekalkan gaya hidup anda. Oleh itu, pendapatan persaraan sebanyak RM52,800, katakan 5 peratus daripada purata kadar inflasi untuk 25 tahun akan menjadi:

Pendapatan persaraan

RM52,800 x Faktor nilai faedah masa depan (25 tahun, 5%)

RM52,800 x 3.386 = RM178,781

Kini anda tahu bahawa inflasi boleh menjejaskan pendapatan ketika persaraan, langkah seterusnya ialah untuk mengetahui jumlah dana yang boleh bertahan sehingga 24 tahun. Andaikan bahawa purata kadar pulangan ke atas pelaburan untuk 25 tahun akan datang ialah lapan peratus. Memandangkan kadar inflasi ialah lima peratus, maka kadar sebenar pulangan ke atas pelaburan ialah 3 peratus.

Jumlah dana

RM178,781 x Faktor anuiti nilai faedah masa kini (25 tahun, 3 peratus)

RM178,781 x 17,413 = RM3,113,114.

Berapa aset yang ada tatkala bersara

Mencari jawapan ini agak rumit kerana anda perlu tahu nilai setiap pelaburan masa depan, termasuk KWSP, nilai tunai insurans, pelaburan dalam syarikat yang melabur dan membayar dividen dan hartanah. Bagi memudahkan pengiraan, katakan anda sudah mengumpulkan sejumlah RM1 juta tatkala bersara.

Ternyata, dengan hanya RM1 juta dalam tangan, ia adalah tidak mencukupi bagi jumlah dana yang diperlukan yakni RM3,113,114. Anda kekurangan RM2,113,114.

Memandangkan anda kekurangan RM2,113,114, cara terbaik untuk mengatasinya ialah dengan menabung secukup wang setiap tahun. Persoalannya, berapa banyak simpanan yang mencukupi untuk memenuhi kekurangan itu

Jumlah simpanan

RM2,113,114/ Faktor anuiti nilai faedah masa depan (25 tahun, 8 peratus)

RM2,113,114 /73.106 = RM28,905

Berdasarkan butiran ini, jumlah simpanan yang anda perlukan ialah RM28,905 setahun atau RM2,409 sebulan.

Bagi rancangan persaraan, anda dinasihatkan memilih pelaburan jangka panjang seperti saham, bon dan mutual funds memandangkan pelaburan jenis ini menghasilkan pulangan yang tinggi berbanding bentuk pelaburan lain umpamanya faedah daripada akaun simpanan atau deposit tetap.

Melabur dalam saham memberikan anda status pemilik dalam sesebuah syarikat yang anda melabur. Jika syarikat itu berjaya, anda seharusnya boleh menjana wang dengan menjual balik saham itu. Anda juga mungkin boleh meraih keuntungan daripada dividen yang dikeluarkan oleh syarikat itu secara tetap.

Bon pula sebenarnya adalah pinjaman kepada perniagaan dan kerajaan yang dipegang untuk sesuatu masa. Lazimnya ia lebih selamat untuk melabur dalam bon dan sesetengahnya disokong oleh kerajaan.

Mutual funds adalah wang yang ditabung bersama oleh pelabur. Wang itu kemudian dilaburkan dalam beberapa syarikat, yang dengan demikian ia dapat meminimumkan risiko. Melalui kepelbagaian ini, kerugian sesebuah syarikat boleh diserap oleh keuntungan syarikat lain.

Nyata sekali, anda perlu memikirkan satu perancangan kewangan yang lengkap untuk persaraan anda dengan mengambil kira aset, hutang, perbelanjaan, tabungan, matlamat kewangan anda.

Seandainya anda buntu untuk melakukannya, usah risau. Dapatkan bantuan perancang kewangan yang berkelayakan. Tetapi, jika anda memilih untuk melakukan sendiri, sebuah perisian kewangan yang ada di pasaran boleh membantu anda.

Dengan perisian itu, anda boleh melihat graf malah pelbagai saranan mengenai jenis pelaburan boleh anda pertimbangkan.

Malah lebih menarik, anda boleh mencuba butiran yang ada untuk mengetahui sejauh manakah kukuhnya kewangan anda berada dalam keadaan berbeza.

Pokok pangkalnya, lagi awal anda merancang persaraan anda, lagi cerah masa depan persaraan anda. – Bernama

2 thoughts on “Panduan melengkapkan diri sebelum persaraan

  1. Merancang persaraan adalah baik. Untuk merancang, pertamanya cuba kira berapa umur anda. Say 35. Bermakna anda ada lagi 30 tahun untuk bekerja. Jangan lihat KWSP lagi, cuba kira sekiranya kita menyimpan RM100 sebulan maka dalam 30 tahun kita menyimpan RM100 x 12 x 30 = RM36,000. Kalau semua RM36000 masuk ASB dengan pulangan 8% setahun maka kita akan mendapat: RM2880 setahun.

    Kalau dlm KWSP anda ada:
    RM100,000, masuk ASB, sebulan anda akan dapat RM666 sebulan.
    RM200,000, masuk ASB, sebulan anda akan dapat RM1,333 sebulan.
    RM300,000, masuk ASB, sebulan anda akan dapat RM2,000 sebulan.
    RM400,000, masuk ASB, sebulan anda akan dapat RM2,666 sebulan.

    so kalau nak lebih carumkan dalam KWSP anda banyak2 sikit. Selain KWSP ada banyak lagi peluang untuk menambah caruman anda. Salah satunya masuklah skil anuiti takaful KWSP.. pasti wang KWSP anda bertambah dari ulan ke bulan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s